Thursday, June 9, 2016

AMAN DAHULU BARU DATANG REZEKI?

AMAN DAHULU BARU DATANG REZEKI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ringkasan isi tadabbur al-Quran malam pertama Ramadhan selepas 4 rakaat solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad 5 Jun 2016.

Saya biasa solat terawih di belakang al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz semenjak kecil di Masjid Pulau Melaka, Kota Jembal (nama lama Kedai Lalat). Almarhum abah saya sangat mencintai Tuan Guru dan rasa cinta itu turut beliau pupuk pada anak-abak. Antara kebiasaan Tuan Guru adalah berhenti selepas 4 rakaat dan mengulas secara ringkas isi ayat yang baru dibacanya. Alhamdulillah Allah berikan sedikit laluan untuk saya mendalami al-Quran dan memanjangkan rasa cinta saya kepada tradisi Tuan Guru apabila saya menjadi imam terawih.

Ahad lepas saya memilih beberapa ayat dalam juzuk pertama, antaranya:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آَمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آَمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH (NEGERI MAKKAH) INI, NEGERI YANG AMAN SENTOSA, DAN BERIKANLAH REZEKI dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk tempat kembali" (al-Baqarah [2:126]).

Nabi Ibrahim AS sebenarnya seorang nabi yang bijak prinsip ekonomi. Baginda tahu keamanan seakan satu rukun kuat bagi melancarkan siraman rezeki di sebuah tempat. Para pelabur atau pedagang lebih selesa datang ke sebuah negeri yang aman bagi menjalankan urusan perniagaan berbanding negara yang bergolak. Ini logik mudah yang disinggung Allah dalam ayat di atas.

Keberkatan doa “KEAMANAN” nabi Ibrahim yang menyebabkan limpahan “REZEKI” kepada penduduk Mekah tidak datang percuma. Penduduk Mekah dicubit agar kenal siapa tuhan mereka. Firman Allah:

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آَمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan mereka (yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)". MENGAPA MEREKA (BERKATA DEMIKIAN)? BUKANKAH KAMI TELAH MELINDUNGI MEREKA DAN MENJADIKAN (NEGERI MAKKAH) TEMPAT TINGGAL MEREKA SEBAGAI TANAH SUCI YANG AMAN, YANG DIBAWA KEPADANYA HASIL TANAMAN DARI SEGALA JENIS, SEBAGAI REZEKI PEMBERIAN DARI SISI KAMI? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur) (al-Qasas [28:57]).

Untuk kita di Malaysia sekarang, syukurilah ni’mat aman dan limpahan rezeki kurniaan Allah kepada kita. Bandingan keamanan dan limpahan rezeki kita dengan banyak negara Islam lain yang tak kunjung padam api krisisnya. Selain itu, jangan pula disempitkan makna keamanan hanya pada aspek luaran. Lihatlah juga dari sudut dalaman sebagai seorang hamba Allah. Amankan jiwa anda dari sebarang gelojak nafsu, kejahilan dan kegilaan melampau kepada dunia. Janganlah dirosakkan keamanan dalaman dan luaran dengan sikap tidak bertanggungjawab kita. Kembalilah pada agama nescaya keamanan kita bertambah dan keberkatan rezeki kita berganda.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...