TAQWA - JANGAN SAMPAI PIJAK KACA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-Anfal [8:29]) pada 23 April 2016. Antara isunya adalah kelebihan taqwa yang bakal membuahkan cahaya petunjuk.
“Hati-hati! Baru sekejap tadi botol kaca pecah berterabur di ruang dapur. Saya belum sempat cuci. Jangan sampai terpijak nanti parah kesannya.”
Sejurus mendengar peringatan itu, anda pasti menjadi sangat peka dan mata dibuka luas agar serpihan halus kaca dapat dilihat dengan teliti. Jika ia menusuk kaki pasti seluruh jasad akan merana. Itu baru serpihan kaca dunia, bayangkan pula bagaimana jadinya jika percikan ganas api neraka bersulam asap tebal lagi beracun menghambat kita? Jika kita peka sepenuh hati menjaga jasad agar tidak dilukai semasa di dunia, sewajibnya kita turut peka menjaga iman agar tidak terpijak kaca kufur, syirik, bid’ah, dosa dan ajaran sesat.
Banyak sekali takrif taqwa diberikan oleh para ulama. Antara yang mudah difahami adalah "melakukan segala arahan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Setiap suruhan dibuat dengan tekun dan setiap larangan atau dosa dipandang bagai duri yang bakal melukakan iman. Langkah orang bertaqwa sangat berhati-hati seumpama seseorang yang melalui laluan penuh kaca dan duri."
Taqwa adalah pesanan purba kepada semua nabi:
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ وَإِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا (131)
Ertinya: Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH PERINTAHKAN ORANG YANG DIBERI KITAB DAHULU DARIPADA KAMU, DAN JUGA (PERINTAHKAN) KAMU, IAITU HENDAKLAH BERTAQWA KEPADA ALLAH; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji (al-Nisa’ [4:131]).
Apabila pokok taqwa sudah berbuah, hasilnya sungguh luar biasa. Banyak sekali manafaatnya. Hati seorang insan akan terbuka dengan suluhan cahaya iman. Orang bertaqwa akan mendapat “kuasa pembeza yang dipanggil FURQAN.” Dia akan dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Dosanya juga senang diampunkan dalam limpahan berganda rahmat Allah SWT. Perhatikan janji Allah ini:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! JIKA KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH, NESCAYA DIA MENGADAKAN BAGI KAMU (PETUNJUK) YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN MENGHAPUSKAN KESALAHAN KAMU, SERTA MENGAMPUNKAN (DOSA) KAMU. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal [8:29]).
Juga firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآَمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), SUPAYA ALLAH MEMBERI KEPADA KAMU DUA BAHAGIAN DARI RAHMATNYA, DAN MENJADIKAN BAGI KAMU CAHAYA UNTUK KAMU BERJALAN DENGANNYA (PADA HARI KIAMAT KELAK), SERTA DIAMPUNKANNYA DOSA KAMU; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Hadid [57:28]).
Antara contoh anugerah “FURQAN atau kuasa menilai baik atau buruk” yang berfungsi dengan cemerlang dalam hati jantung mereka adalah ketika menghadapi hasutan syaitan:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa, APABILA MEREKA DIGANGGU (BISIKAN) OLEH SESUATU IMBASAN HASUTAN DARI SYAITAN, MEREKA INGAT (KEPADA AJARAN ALLAH) MAKA DENGAN ITU MEREKA NAMPAK (JALAN YANG BENAR) (al-A’raf[7:201]).
Alangkah indahnya hidup jika semua manusia menghayati makna taqwa. Sudah pasti negara aman. Tiada kaca maksiat atau duri dosa. Semua pastinya mampu berjalan bebas tanpa risaukan apa-apa. Saya impikan suasana begini sebagai buah ranum dari pokok taqwa yang melebarkan manafaatnya kepada semua manusia.
Pun begitu, perlu difahami dengan jelas cara membuahkan taqwa adalah dengan menuntut ilmu agama dan bukannya dengan angan kosong mat jenin. Bukan juga dengan meminum air jampi 30 juzuk. Dalamilah agama. Apabila tahu dan kenal siapa Allah barulah taqwa akan meresap ke dalam jiwa. Ya Allah! Bantulah kami mencapai darjat taqwa padaMu.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment