Wednesday, May 4, 2016

LOGIK KE CERITA AMBIL PENCUNGKIL GIGI TANPA IZIN LALU DIAZAB 70 TAHUN?

LOGIK KE CERITA AMBIL PENCUNGKIL GIGI TANPA IZIN LALU DIAZAB 70 TAHUN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Kalau cerita ini disebarkan lalu didengar oleh bukan Islam, saya bimbang agama kita akan dimomokkan mereka. Nampak Islam tiada rahmat, tiada logik kerana sebarang kekurangan dalam sukatan atau timbangan walau sekadar beberapa “micron” akan diancam azab kubur selama 70 tahun. Apa pandangan Ustaz? Benarkah kisah ini?”

Agak terkejut saya malam tadi (30 April 2016) diajukan soalan tersebut oleh seorang Jemaah di Masjid al-Mustaqim, Bangi. Usai ceramah khas saya malam tadi yang bertajuk “DOSA HALIMUNAN MEDIA SOSIAL”, saya dikerumuni beberapa orang Jemaah, tapi lelaki yang seorang ini kelihatan agak terpelajar dengan soalannya. Lebih-lebih lagi apabila istilah “micron” diluahkan olehnya.

Dia menyebut baru-baru ini beliau mendengar seorang Ustaz berceramah dan membawa cerita ajaib berkaitan nabi Isa AS. Dikatakan nabi Isa AS pernah menghidupkan orang mati. Setelah lelaki itu hidup kembali, dia menceritakan kedahsyatan bagaimana dia diazab dalam kubur oleh Allah selama 70 tahun kerana pernah mengambil kayu pencungkil gigi tanpa izin tuannya. Dikatakan semasa hidupnya lelaki ini berkerja sebagai penghantar kayu. Pada suatu hari semasa dalam urusan kerjanya, dia berhenti makan dan mengambil secebis kayu yang perlu dihantarnya untuk mencungkil makanan yang lekat pada giginya.

Lelaki yang mengajukan soalan kepada saya mengangap cerita ini tidak logik dan meminta saya memberi komen. Saya jawab mudah “Saya tak pernah dengar cerita ini dan sepatutnya awak perlu tanya Ustaz tu mana sumber ceritanya.”

Setelah pulang saya membuat sedikit pencarian dan berjaya menemui kisah ini diriwayatkan oleh “kitab GOOGLE” tanpa dinyatakan sumber ambilannya. Tidak dinafikan nabi Isa AS dikurniakan mukjizat mampu menghidupkan orang mati. Ia jelas dari firman Allah:

وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآَيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ…

Ertinya: Dan (Allah akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu adilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, DAN AKU BOLEH MENGHIDUPKAN KEMBALI ORANG YANG MATI DENGAN IZIN ALLAH; ……(Ali ‘Imran [3:49]).

Dalam beberapa kitab Tafsir disebut nabi Isa AS pernah menghidupkan 4 lelaki. Kelihatannya kisah ini tergolong dalam riwayat Isra'iliyyat yang tidak jelas statusnya. Seorang daripadanya adalah anak nabi Nuh AS yang bernama Sam bin Nuh. Dikatakan ketika mati, Sam masih muda belia namun apabila bangkit hidup berkat dari doa nabi Isa AS, rambut Sam putih beruban kerana gempar menyangka kebangkitannya adalah kebangkitan kiamat (Tafsir al-Baghawi & al-Durr al-Manthur Fi al-Tafsir bi al-Ma’thur oleh Imam al-Suyuti). Jika benar kisah ini, ia seiring dengan firman Allah:

فَكَيْفَ تَتَّقُونَ إِنْ كَفَرْتُمْ يَوْمًا يَجْعَلُ الْوِلْدَانَ شِيبًا

Ertinya: (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - (DARI AZAB) HARI YANG HURU-HARANYA MENYEBABKAN KANAK-KANAK MENJADI TUA BERUBAN? (al-Muzzammil [73:17]).

Soalan yang utama ditimbulkan oleh lelaki dari Masjid al-Mustaqim adalah “benarkah Islam begitu sempit kerana satu kesilapan kecil seperti mengambil pencungkil gigi akan menyebabkan azab kubur yang berpanjangan.” Lalu saya kongsikan ayat ini dengan beliau:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا….

Ertinya: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); DAN SEMPURNAKANLAH SEGALA SUKATAN DAN TIMBANGAN DENGAN ADIL". - KAMI TIDAK MEMBERATKAN SESEORANG DENGAN KEWAJIPAN MELAINKAN SEKADAR KESANGGUPANNYA …. (al-An’am[6:152]).

Ringkasnya sekiranya kesilapan berkaitan amanah atau hak orang berlaku secara tidak sengaja atau niat khianat, ia dimaafkan Allah kerana Allah tahu kelemahan kita. Kita tidak mampu menyempurnakan keadilan sehingga pada tahap “micron.” Ia boleh difaham dari frasa “KAMI TIDAK MEMBERATKAN SESEORANG DENGAN KEWAJIPAN MELAINKAN SEKADAR KESANGGUPANNYA” dalam ayat di atas. Sebaliknya jika penipuan itu dilakukan dengan niat khianat yang sengaja ia akan diaudit dengan adil oleh Allah walaupun usaha itu sekadar sebesar “micron.” Firman Allah:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Ertinya: Dan "Kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" ADUHAI CELAKANYA KAMI, MENGAPA KITAB INI DEMIKIAN KEADAANNYA? IA TIDAK MENINGGALKAN YANG KECIL ATAU YANG BESAR, MELAINKAN SEMUA DIHITUNGNYA!" DAN MEREKA DAPATI SEGALA YANG MEREKA KERJAKAN ITU SEDIA (TERTULIS DI DALAMNYA); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun (al-Kahf[18:49].

Dalam sebuah hadith disebut seorang hamba kepada Rasulullah SAW bergelar Mid’am akan diselimuti selimut neraka kerana menggelapkan hanya sehelai kain selimut dari rampasan perang Khaybar. Kisahnya selepas perang Khaybar, Rasulullah SAW menuju ke Wadi al-Qura untuk berhadapan sekumpulan Yahudi yang masih bersembunyi di situ. Mid’am yang berjalan di hadapan tunggangan Rasulullah SAW ditembak mati oleh sebatang anak panah sesat. Para sahabat yang melihat peristiwa itu menganggap Mid’am sungguh beruntung kerana gugur syahid pada jalan Allah. Baginda menafikan perkara itu dengan sabdanya:

بَلْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي أَصَابَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنْ الْمَغَانِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا فَجَاءَ رَجُلٌ حِينَ سَمِعَ ذَلِكَ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِرَاكٍ أَوْ بِشِرَاكَيْنِ فَقَالَ هَذَا شَيْءٌ كُنْتُ أَصَبْتُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شِرَاكٌ أَوْ شِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ

Ertinya: Tidak sama sekali. Demi yang jiwaku berada pada tangan (KuasaNya), sesungguhnya kain selimut yang dia gelapkan dari perang Khaybar yang belum dimasukkan ke dalam bahagian pembahagian (harta Khaybar) akan menjadi (sebab) nyalaan api (neraka terhadapnya).  Setelah mendengar sabda Rasulullah itu, seorang lelaki datang membawa sebatang atau 2 batang kayu (penutup bahagian hadapan selipar) kepada Rasulullah SAW seraya mengaku: “Ini adalah bahagian (rampasan) yang aku perolehi (dari perang Khaybar dan aku tidak isytiharkannya).” Rasulullah SAW menyambung: “(Ini juga) sebatang atau 2 batang kayu (penutup bahagian hadapan selipar) dari neraka (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Kesimpulan yang boleh saya buat berikutan soalan lelaki dari Masjid al-Mustaqim ini adalah;

1) Amanah adalah tanggung jawab yang wajib ditunaikan walaupun ia dalam nilai yang sangat kecil.

2) Para penceramah wajar berwaspada dengan penyampaian maklumat berkaitan agama. Kita tidak tahu siapa audiens kita. Mereka mungkin duduk mendengar ceramah kita tapi tidak semestinya mereka jahil atau bodoh dalam menilai. Sepatutnya si Ustaz yang bercerita perihal “pencungkil gigi” membawa nass atau dalil yang lebih berkredibiliti atau sahih dalam menyampaikan mesej agama. Usahlah kutip riwayat “kitab GOOGLE” yang tidak ketahuan asal usulnya.

3) Sebarang penjelasan berkaitan agama wajib diterangkan dengan terang dan jelas agar orang awam di luar sana tidak keliru. Kekeliruan mereka mungkin boleh memangsakan agama.

Semoga Allah senantiasa membimbing kita agar tidak tersasar sama ada kita seorang pelajar atau pengajar. Ya Allah! Jangan Engkau biarkan diriku pada diriku sendiri walaupun sekelip mata! (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...