Monday, May 23, 2016

SUDAH DAPAT KUNCI SYURGA TAPI....

SUDAH DAPAT KUNCI SYURGA TAPI…

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Kunci sudah dipegang erat. Kaki semakin laju mengatur langkah ke arah gerbang syurga. Rombongan penuh seri ahli syurga sudah melepasi titian sirat satu persatu. Pada  ketika itu kunci yang dipegang  tiba-tiba tercicir dari tangan lalu jatuh menjunam ke dalam kawah neraka. Aduhai malangnya! Langsung harapan menghuni syurga hilang dalam kelam. Kelam segelap malam yang muram. Pada waktu itu, manusia malang itu menggigit jari tanda sesal, namun apa gunanya lagi menyesal barang yang sudah lepas:

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا

Ertinya: Dan (ingatkanlah) perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama Rasul? (al-Furqan [25:27]).

Itulah situasi malang yang menimpa beberapa pemuda Mekah yang pernah beriman kepada Islam semasa baginda Rasulullah SAW berada di Mekah dahulu. Mereka adalah ‘Ali bin Umayyah bin Khalaf, Abu Qays bin al-Walid bin al-Mughirah, Abu al-‘As bin Munabbih bin al-Hajjaj dan al-Harith bin Zam’ah (Tafsir Ibn Kathir). Ketika bersama, mereka pernah melaungkan janji taat setia bersama Islam. Setelah datang arahan hijrah ke Madinah, mereka berasa berat hati dan enggan bersama. Sayang nak meninggalkan negeri dan keluarga kerana agama baru ini. Ketika kerahan dibuat oleh orang Mekah untuk ke medan Badar mereka keluar bersama orang Mekah melawan Rasulullah. Akhirnya mereka terbunuh di pihak Musyrikin (Sahih al-Bukhari). Nasib malang disebut Allah dalam firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Ertinya: Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (al-Nisa’ [4:97]).

Inilah contoh yang akan berlaku sepanjang zaman. Akan ada jenis manusia yang enggan berkorban kerana Islam walaupun lidahnya senantiasa basah menuturkan perkataan Islam. Kisah sekumpulan pemuda yang terbunuh dalam kandang Musyrikin Mekah seperti kisah di atas wajib dijadikan tauladan agar ia tidak menimpa diri kita atau orang yang kita sayang. Pengorbanan kepada Islam boleh berlaku dalam berbagai cara. Antara yang paling utama adalah mendalami Islam agar kejahilan kita tidak memfitnah keindahan Islam.

Para sahabat Rasulullah SAW yang lain sanggup berpeluh jerih serta meninggalkan segalanya untuk berhijrah kerana “ilmu” mereka tentang kepentingan Hijrah menggerakkan mereka. Mereka tahu harta boleh dicari dan keluarga yang rosak akidah tak guna dibelai. Apa yang paling utama adalah redha Allah dan RasulNya. Mereka juga tahu janji Allah pasti benar, hijrah akan membuka dunia baru yang lebih luas kebebasan bergama dan keberkatan rezeki:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Ertinya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’ [4:100]).

Rekod al-Quran terhadap kisah ini bukan sekadar kisah malang penghias dada Mushaf al-Quran tetapi menjadi pedoman penting untuk semua umat Islam. Kita wajib berkorban demi Islam dan jangan terjun dalam jerat yang bakal memangsakan kita di dunia dan akhirat. Ya Allah! Selamatkan kami.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...