IBLIS TIDAK MEMILIKI NERAKA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Terkejut besar saya mendapat mesej “yang berbau agama” dari seorang teman dalam sebuah What’s Group alumni sekolah. Mesej itu menyebut kisah seorang penjahat yang koma ditembak Polis. Dalam komanya dia bermimpi dibawa malaikat ke neraka. Dia sangat terkejut kerana didapatinya dalam neraka ramai orang berdisko, minum arak, berjudi, ramai perempuan seksi dan sebagainya. Penjahat itu mahu segera masuk ke neraka tapi dihalang oleh Iblis yang bertugas sebagai penjaga pintu neraka seraya berkata:
“Tunggu dulu! Waktumu belum tiba. Kembalilah ke dunia dan buatlah yang LEBIH JAHAT lagi maka kau pasti akan MASUK NERAKA!”
Setelah sedar dari koma dia berbuat lebih jahat, lalu akhirnya dia ditembak mati. Iblis kemudiannya dengan segera menghantarnya ke neraka. Ketika masuk neraka dia dapati api menjulang-julang, bau hamis darah menusuk hidung, banyak binatang berbisa, bingit telinga mendengar teriakan meminta tolong dan sebagainya. Penjahat itu kebingungan lalu berkata:
“Mengapa dahulu neraka bukan begini?”
Iblis lalu tersenyum sambal berkata: “Itu dulu, masa promosi!”
Pada hujung mesej diminta agar ia disebarkan sebagai suatu peringatan kepada orang lain.
Astaghfirullah! Ketahuilah bahawa isu syurga neraka adalah perkara ghaib yang bukan boleh difiksyenkan apatah lagi dibuat gurauan. Mesej itu juga sangat menongkah fakta dari al-Quran apabila mengatakan Iblis yang menghantar atau mentadbir neraka. Ini bukan akidah Islam! Setengah akidah agama lain menggambarkan Allah adalah Pemilik syurga dan Iblis pula pemilik neraka. Islam adalah agama Tawhid yang meletakkan ajaran bahawa HANYA ALLAH SATU-SATUNYA TUHAN BERKUASA KE ATAS SEMUA MAKHLUKNYA. ALLAH MEMILIKI SEGALANYA TERMASUKLAH NERAKA. Neraka pula sangat patuh kepada Allah:
يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلَأْتِ وَتَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ
Ertinya: (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: "Adakah engkau sudah penuh? " Ia menjawab: "Adakah lagi sebarang tambahan?" (Qaf [50:30]).
Neraka juga begitu marahkan makhluk yang mengingkari Allah. Jauh sekali mahu membenarkan Iblis memilikinya. Firman :
إِذَا أُلْقُوا فِيهَا سَمِعُوا لَهَا شَهِيقًا وَهِيَ تَفُورُ (7) تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ الْغَيْظِ كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ (8)
Ertinya: Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya (neraka), mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir sahaja ia (neraka) pecah berkecai kerana kuat marahnya. Setiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?" (al-Mulk [67:7-8]).
Bahkan Iblis sendiri sangat gerunkan azab neraka sehingga mahu segera mati apabila diseksa dalam neraka kelak. Makhluk yang dimaksudkan ayat ini adalah Iblis:
وَإِذا أُلقوا مِنها مَكانًا ضَيِّقًا مُقَرَّنينَ دَعَوا هُنالِكَ ثُبورًا
Ertinya: Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu) (al-Furqan[25:13]).
Ia disokong oleh sebuah hadith ketika Rasulullah SAW menceritakan perihal penghuni neraka, Rasulullah SAW bersabda:
أَوَّلُ مَنْ يُكْسَى حُلَّةً مِنْ النَّارِ إِبْلِيسُ فَيَضَعُهَا عَلَى حَاجِبِهِ وَيَسْحَبُهَا مِنْ خَلْفِهِ وَذُرِّيَّتُهُ مِنْ بَعْدِهِ وَهُوَ يُنَادِي وَا ثُبُورَاهُ وَيُنَادُونَ يَا ثُبُورَهُمْ
Ertinya: Ahli neraka yang pertama dipakaikan pakaian neraka adalah Iblis, lalu dia diletakkan atas dahinya dan diseret dari belakangnya sedangkan zuriat keturunannya (syaitan) mengekorinya selepasnya sedang Iblis meraung: Aduhai alangkah baiknya aku mati segera. Zuriat Iblis juga meraung dengan perkataan yang sama (Musnad Ahmad, Tafsir al-Tabari).
Mungkin ada yang berkata “APA SALAHNYA, BENDA BAIK. LAGIPUN KAMI HANYA BERGURAU.” Maka renunglah pula amaran Allah ini:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآَيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Ertinya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" (al-Tawbah [9:65]).
Kesimpulannya, usahlah bermain api cuba menfiksyenkan atau melawakkan perkara ghaib dalam agama. Tazkirah kreatif atau gurauan murah anda atas nama peringatan mungkin menjadi cemeti api neraka menyebat anda kelak di akhirat. Agama ini ada disiplin. Disiplinnya berpaksi pada al-Quran dan Sunnah yang Sahih. Tanpa disiplin itu sudah pasti Islam akan rosak kerana campur tangan manusia sebagaimana runtuhnya integrity agama Nasrani dan Yahudi.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment