Sunday, May 15, 2016

CONTOHILAH RASULULLAH DALAM MENGHARGAI SUMBANGAN ORANG ISLAM6

CONTOHILAH RASULULLAH DALAM MENGHARGAI SUMBANGAN ORANG BAWAHAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Dalam sebuah restoran tersohor, nama si tukang masak biasanya dipuji melangit kerana kemahirannya mengadun lazat hidangan yang disediakan untuk pelanggan. Jarang sekali disebut apatah lagi dikenang nama petani yang menanam sayuran, penternak yang memelihara ayam atau membela ikan, ahli dapur yang teliti memilih bahan mentah masakan, pencuci restoran yang saban waktu memastikan tiada atau bau tak enak yang bakal mengganggu selera pengunjung, tukang ambil pesanan dan juru hantar hidangan.

Sedar atau tidak, tanpa penglibatan tangan mereka, si tukang masak tersohor akan menghadapi masalah untuk menguruskan segalanya. Mana mungkin dia ke pasar mencari bahan, mengambil pesanan, memasak, menghidang makanan, membersihkan setiap inci restoran dan sebagainya.

Begitulah lumrah hidup di dunia ini. Yang terpapar di depan mata sahaja yang dikenang. Penggerak belakang dapur atau belakang pentas jarang sekali disebut. Ternyata ini bukan sikap Rasulullah SAW. Kagum saya apabila membaca sikap baginda dalam menghargai para sahabat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perang Badar.

Menurut catatan para ulama sejarah, sejumlah 14 orang sahabat nabi gugur syahid dalam perang Badar. Mereka terdiri dari 6 orang Muhajirin (berasal dari Mekah) dan 8 dari orang Ansar (berasal dari Madinah). Walaupun mereka gugur syahid, Rasulullah tetap memberikan bahagian harta rampasan perang kepada waris mereka.

Bukan setakat mereka, beberapa sahabat yang terhalang dari menyertai perang Badar kerana arahan Rasulullah SAW untuk sesuatu urusan turut diberikan habuan dari rampasan perang. Mereka adalah:

1) Abu Lubabah al-Ansari yang ditugaskan menjaga Madinah sepeninggalan Rasulullah SAW,

2) ‘Asim bin ‘Adiy yang ditugaskan menjaga kawasan Quba’ dan al-‘Aliyah,

3) Al-Harith bin Hatib yang ditugaskan menjaga kabilah Bani ‘Amru bin ‘Awf,

4) Al-Harith bin al-Sammah dan Khawwat bin Jubayr yang tidak dapat meneruskan perjalanan ke Badar kerana patah kaki di sebuah tempat bernama al-Rawha,’

5) Talhah bin ‘Ubaydillah dan Sa’ad bin Zayd yang ditugaskan sebagai perisik mengintai kedudukan musuh,

6) ‘Uthman bin ‘Affan yang ditugaskan menjaga puteri Rasulullah (Ruqayyah yang juga isterinya) yang sedang sakit sebelum Rasulullah bergerak ke Badar.

(Dipetik dari al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah karangan Dr Muhammad Muhammad Abu SYahbah).

Tanpa sedar, tindakan ini menjadi bukti kebijaksanaan baginda dalam hubungan sosial kerana kejayaan sesebuah perjuangan bukan hanya kerana usaha seorang tetapi usaha banyak pihak. Pemimpin yang tahu menghargai sumbangan orang bawahan pasti dikenang dan dicintai semua. Kajilah ketokohan baginda melalui hidangan al-Quran, Sunnah yang Sahih dan Sirah baginda, nescaya kita akan menemui banyak permata kehidupan yang akan menyuluh kehidupan walau atas kapasiti apa kita memainkan watak sama ada pemimpin negara, organisasi atau keluarga.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...