Wednesday, April 6, 2016

KHAYALAN 'AYNUL HAYAH DAN PRODUK ANTI PENUAAN

KHAYALAN ‘AYNUL HAYAH DAN PRODUK ANTI PENUAAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tua, lemah dan mati! Itulah 3 penyakit pasti yang sangat ditakuti manusia. Berikutan kegentaran mereka yang memuncak dengan 3 penyakit ini berbagai usaha dilakukan bagi menjamin jasad fana mereka tidak dijamah sakit tua, lemah dan mati. Berbagai produk kecantikan anti penuaan muncul dalam pasaran. Manusia yang bimbang tua dan lemah sanggup berhabis wang ringgit bagi mengelakkan dipandang lemah atau tua. Jika ada produk kebal mati pun manusia akan bertambah ghairah mengejarnya. Takut atau berani, mahu atau enggan, manusia tetap tidak dapat lari dari sumpahan tua, lemah dan mati:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Ertinya: Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa (al-Rum [30:54]).

Sering kita saksikan bagaimana penyakit tua menampakkan kelemahan manusia. Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Ertinya: Ya Allah! Aku mohon perlindunganMu dari (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindunganMu dari (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindunganMu dari “DILANJUTKAN USIA SEHINGGA TUA NYANYUK.” Aku juga mohon perlindunganMu dari ujian dunia dan aku juga mohon perlindunganMu dari azab kubur (Sahih al-Bukhari).
Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa orang berusia sudah tenang gelora lautnya. Pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, mana gula, mana kaca dan mana permata sebenar.

Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “AIR AJAIB” yang boleh melanjutkan usia serta mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “AYNUL HAYAH (air kehidupan), AIR ATMA JIWA dan FOUNTAIN OF YOUTH. Kisah pencarian Fountain of Youth turut diepikkan dalam filem Pirate of Carribean lakonan Johny Deep. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan al-Sunnah tentang khayalan ini. Setelah meneliti beberapa kitab Tafsir, saya menemui 2 kisah yang menceritakan wujudnya air ini:

1) Satu kisah yang dikaitkan dengan pengembaraan nabi Musa AS bersama muridnya Yusya’ bin Nun mencari Khidir. Ketika mereka singgah berehat di sebuah batu, berlaku keajaiban sebagaimana direkodkan al-Quran:

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا

Ertinya: Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah (al-Kahf [18:61]).

Ketika berhenti rehat di tempat pertemuan 2 laut itu, Yusya’ mengambil wudhuk dan air itu rupanya ‘AYNUL HAYAT (air kehidupan). Percikan air wudhuk Yusya’ terkena ikan bekalan mereka yang sudah mati lalu ikan itu hidup dan meluncur ke laut (Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Baghawi). Tempat itulah yang menjadi tempat tinggal Khidir AS yang dikaitkan dengan kelebihan hidup kekal sehingga kiamat. Walau bagaimanapun, kisah ini tergolong riwayat Isra’iliyyat. Tambahan pula, ikan bekalan yang hidup kembali di tempat itu berkait rapat dengan  Mukjizat nabi Musa AS yang menjadi tanda sampainya baginda ke tempat arahan Allah (Tafsir al-Munir).

2) Kisah Zulkarnain yang berkawan dengan satu malaikat bernama Ranaqil atau Rafa’il atau Zarfa’il. Malaikat itu memberitahu Zulkarnain tentang ‘Aynul Hayah yang mampu mengekalkan keremajaan. Air tersebut terletak di sebuah dunia gelap. Baginda pun keluar mengembara bersama pasukannya untuk mencari air tersebut. Antara yang terlibat dengan pengembaraan tersebut adalah Khidir AS. Akhirnya Khidir berjaya menemui air itu tetapi gagal ditemui oleh Zulkarnain. Berikutan kesempatan Khidir mandi dan minum dari “Aynul Hayah, beliau dikekalkan hidup sehingga akhir zaman (Tafsir al-Durr al-Manthur Fi Tafsir bi al-Ma’thur, Tafsir al-Tha’labi, Tafsir al-Nasafi). Kisah ini juga  tergolong dalam riwayat Isra’iliyyat yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Para pengkaji hadith menolak riwayat tersebut kerana ia mempunyai kecacatan dalam rantaian sanadnya. Bagi yang mampu membaca Arab boleh merujuk pada link ini:

http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=329628

Selain itu, sesetengah ulama menolak dakwaan Khidir masih hidup sampai akhir zaman dengan banyak hujah, antaranya Firman Allah:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ (34) كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ (35)

Ertinya: DAN KAMI TIDAK MENJADIKAN SESEORANG MANUSIA SEBELUMMU DAPAT HIDUP KEKAL (DI DUNIA INI). MAKA KALAU ENGKAU MENINGGAL DUNIA (WAHAI MUHAMMAD), ADAKAH MEREKA AKAN HIDUP SELAMA-LAMANYA?  setiap jiwa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan (al-Anbiya’ [21:34-35]).

Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ‘AYNUL HAYAH atau AIR ATMA JIWA semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban “anti penuaan.” Bukanlah saya engkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggap penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun system kawalan peribadi dilakukan:

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ

Ertinya: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh (al-Nisa’ [4:78]).

Jangan terlalu panjang angan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kita. Sabda baginda:

لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ

Ertinya: Hati orang berusia (tua) senantiasa MUDA pada 2 perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang (Sahih al-Bukhari).

Juga sabda baginda:

يَهْرَمُ ابْنُ آدَمَ وَتَشِبُّ مِنْهُ اثْنَتَانِ الْحِرْصُ عَلَى الْمَالِ وَالْحِرْصُ عَلَى الْعُمُرِ

Ertinya: Anak Adam semakin tua, tetapi 2 perkara padanya bertambah muda: KEHENDAK PADA HARTA DAN KEHENDAK UNTUK UMUR PANJANG (Sahih Muslim & Sunan al-Tirmidhi)

Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan. Jika melihat kedut wajah atau himpunan rambut putihdi cermin, usahlah kalut mahu mencari ‘AYNUL HAYAH atau PRODUK ANTI PENUAAN. Sebaliknya syukuri Allah yang memberikan kita peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal untuk dibawa ke alam sana. Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah tidak bersedia untuk bertemu Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...