Monday, March 28, 2016

NABI YUSUF BIJAK ME"LOGIK"KAN TAWHID

NABI YUSUF BIJAK ME"LOGIK"KAN TAWHID

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:39-40]) pada  23 Mac 2016. Antara isunya kebijaksaan nabi Yusuf AS mempromosikan agama Tawhid kepada 2 teman sepenjara baginda.

Sukar sekali berurusan di pejabat itu, untuk satu permohonan sahaja terpaksa menapak jauh, naik turun tangga mendapat kelulusan berbagai pihak. Semua pihak ada portfolio yang mahu menempel bahagian atas satu permohonan yang dibuat. Alangkah baik jika semua portfolio atau permohonan diletakkan di bawah satu payung sahaja. Biar jabatan yang satu itu menguruskan segalanya. Bukankah mudah begitu? Jika ditanya mahu menyelesaikan sesuatu urusan secara susah dengan menempuhi banyak peringkat atau cuma bertemu satu pihak sahaja, sudah pasti manusia yang “sihat akalnya” akan memilih kerja mudah dan cepat dengan bertumpu hanya pada “SATU PIHAK” yang menguruskan segalanya. Perhatikan betapa bijaknya nabi Yusuf AS me”logik”kan konsep Tawhid kepada 2 teman sepenjaranya:

يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ أَأَرْبَابٌ مُتَفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ (39) مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآَبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (40)

Ertinya: "Wahai 2 teman sepenjaraku, adakah memuja dan menyembah tuhan yang ramai lagi bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?  Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama yang kamu namakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Yusuf[12:39-40]).

Cara nabi Yusuf AS memudahkan kefahaman Tawhid sangat bertepatan dengan makna ayat kedua surah al-Ikhlas:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "ALLAH YANG MENJADI TUMPUAN SEKALIAN MAKHLUK UNTUK MEMOHON SEBARANG HAJAT; (al-Ikhlas [112:1-2]).

Selain itu, dakwaan banyak tuhan di alam ini bakal merosakkan kestabilan alam kerana sudah pasti setiap Tuhan akan angkuh memperlihatkan kuasanya. Dengan itu alam akan musnah akibat pertembungan serta persaingan antara mereka. Usahkan ramai tuhan, jika sebuah jabatan mempunyai ramai ketua, sudah pasti kecelaruan yang maha dahsyat akan berlaku. Logik sekali firman Allah ini:

مَا اتَّخَذَ اللَّهُ مِنْ وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُ مِنْ إِلَهٍ إِذًا لَذَهَبَ كُلُّ إِلَهٍ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلَا بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

Ertinya: Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (KALAULAH ADA BANYAK TUHAN) TENTULAH SETIAP TUHAN ITU AKAN MENGUASAI DAN MENGURUSKAN SEGALA YANG DICIPTAKANNYA DENGAN BERSENDIRIAN, DAN TENTULAH SETENGAHNYA AKAN BERTINDAK MENGALAHKAN SETENGAHNYA YANG LAIN. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu (al-Mu’minun [23:91]).

Mungkin ada pula segelintir penyembah berhala berkata:

“Anda silap! Kami tidak menyembah batu kaku atau patung kosong, sebaliknya kami menyembah wakil kepada Tuhan sebenar. Batu atau patung ini hanya wakil kerana kita tidak boleh terus sampai kepada Tuhan yang maha tinggi. Wakil Tuhan ini juga membantu kita agar lebih fokus pada bayangan Tuhan kerana mata kita mesti melihat sesuatu baru boleh mempercayainya.”

Jika ini logik mereka, hujah nabi Yusuf dalam ayat 40 sudah menjawabnya:

“Mana mungkin anda berkata patung atau batu ini wakil Tuhan? Siapa berikan mereka tauliah atau watikah? Lemah sungguh Tuhan yang sebenar jika sifatnya diserah bulat-bulat kepada wakilnya di bumi untuk dibentuk. Jika wakilnya berbangsa India, maka wajah tuhan menjadi seakan wajah orang India? Jika wakilnya bermata sepet atau berperut buncit, maka begitulah gambaran rupa Tuhan sebenar? Boleh jadi Tuhan sebenar jauh lebih cantik dan anggun. Jika itu yang berlaku, pastinya Tuhan sebenar sangat lemah kerana tidak mampu menggambarkan keanggunannya yang sebenar kerana wakilnya bodoh tak pandai melukis. Suhanallah! Maha Suci Allah Tuhan semesta alam dari persamaan dengan makhluk kerana cantik itu terlalu subjektif pada mata yang memandang. Mata ini nampak objek pujaannya cantik, tapi mata itu pula memandangnya sekadar objek biasa yang tidak cantik. Bak kata pepatah Inggeris “Beauty is in the eye of the beholder.” Jika wajah Tuhan boleh digambarkan dalam berbagai rupa pastinya nama Tuhan akan cacat kerana Dia cantik pada mata sesetengah orang dan huduh pula pada mata setengah yang lain. Saya tak mahu Tuhan yang subjektif cantiknya. Saya mahu Tuhan sembahan saya mutlak cantiknya mengatasi segalanya di alam ini. Oleh itu, wajah Tuhan “TIDAK BOLEH DILUKIS ATAU DIGAMBARKAN OLEH TANGAN MANUSIA YANG BUTA.” Benar sekali firman Allah ini:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (al-Syura [42:11]).

Lihat betapa teguhnya para nabi yang giat memperjuangkan Tawhid. Malang sekali sesetengah orang Melayu yang mahu kacak tampan setara Yusuf tetapi masih bertuhankan nafsu atau kelabu kaca mata akidahnya dengan berbagai syirik, khurafat dan takhayyul. Ya Allah! Teguhkan akidah serta Tawhid kami padaMu sebagai teguhnya akar Tawhid nabi Yusuf AS.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...