Sunday, March 27, 2016

ADAKAH JIN BOLEH DITANGKAP? APA KATA NASS AGAMA?

ADAKAH JIN BOLEH DITANGKAP? APA KATA NASS AGAMA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Sad [38:35-38]) pada 18 Mac 2016. Antara isunya adalah  mukjizat khusus untuk nabi Sulayman AS iaitu KEMAMPUAN MEMBELENGGU ATAU MENANGKAP JIN..

Rasulullah SAW tidak mampu menukar tongkat menjadi ular. Baginda juga tidak mampu menghidupkan anak baginda Ibrahim yang meninggal ketika kecil. Baginda juga tidak mampu mengawal jin dan syaitan dari bermaharajalela apatah lagi mengarahkan mereka menyerang Musyrikin Quraysh. Darjat baginda sebagai penghulu para rasul tidak berkurang sedikit pun walaupun semua mukjizat tersebut tidak dianugerahkan kepada baginda. Mengapa? Ini kerana setiap Rasul dikurniai mukjizat yang berbeza antara satu sama lain bersesuaian dengan keperluan zamannya.  Nabi Musa AS yang berhadapan dengan kemuncak sihir mendapat mukjizat tongkat bertukar ular bagi mengalahkan segala sihir zamannya. Nabi Isa pula bangkit pada zaman perubatan dan baginda dianugerahi mukjizat menghidupkan orang mati kerana ia di luar kemampuan pakar perubatan pada zaman itu. Itulah hakikatnya, mukjizat para nabi berbeza mengikut zaman.

Dalam cereka bomoh dan hantu di alam Melayu, banyak sekali dakwaan kemampuan sesetengah orang menangkap dan mengurung jin dalam botol atau bekas tertentu. Soalannya, adakah dakwaan ini suatu realiti atau khayalan? Apa kata al-Quran dan al-Sunnah mengenainya? Orang beriman kepada Allah akan beradab apabila berbicara dengan yang ghaib seperti syaitan dan jin kerana segala yang ghaib adalah mutlak milik-Nya.  Patinya pintu untuk mengetahui yang ghaib hanyalah al-Quran dan al-Sunnah:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: KATAKANLAH LAGI: TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).

Mudahnya, kemampuan menangkap atau mengurung jin yang degil adalah mukjizat khusus untuk nabi Sulayman sahaja. Firman Allah:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ (35) فَسَخَّرْنَا لَهُ الرِّيحَ تَجْرِي بِأَمْرِهِ رُخَاءً حَيْثُ أَصَابَ (36) وَالشَّيَاطِينَ كُلَّ بَنَّاءٍ وَغَوَّاصٍ (37) وَآَخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِي الْأَصْفَادِ (38)
Ertinya: (Sulayman berdoa, katanya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, DAN KURNIAKANLAH KEPADAKU SEBUAH KERAJAAN (YANG TIDAK ADA TARANYA DAN) YANG TIDAK AKAN ADA PADA SESIAPAPUN KEMUDIAN DARIPADAKU; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ". Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) (1) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK ditujunya; (2) Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (dia memerintah) golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). (3) DAN JIN SYAITAN YANG LAIN (YANG DEGIL) DIPASUNG DALAM RANTAI BELENGGU (Sad [38:35-38]).

Ayat di atas menunjukkan 3 mukjizat nabi Sulayman AS yang hanya dimiliki oleh baginda, tidak pada nabi Musa, Isa atau Rasulullah SAW. Anda belum berpuas hati? Ayuh kita perhatikan pula hadith ini:

إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي فَقُلْتُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ قُلْتُ
أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَنْ آخُذَهُ وَاللَّهِ لَوْلَا دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لَأَصْبَحَ مُوثَقًا بِهَا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ

Ertinya: Sabda Rasulullah SAW: “Si Musuh Allah, Iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah dari (kejahatan)mu” sebanyak 3, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak 3 kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! KALAULAH BUKAN KERANA DOA SAUDARA KITA NABI SULAYMAN (DALAM SURAH SAD [38:35] YANG PERNAH MEMOHON AGAR KELEBIHAN SEBEGINI HANYA MENJADI MILIKNYA), sudah pasti Iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah (Sahih Muslim).

Juga hadith lain:

إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ جَعَلَ يَفْتِكُ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ وَإِنَّ اللَّهَ أَمْكَنَنِي مِنْهُ فَذَعَتُّهُ فَلَقَدْ
هَمَمْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى جَنْبِ سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا تَنْظُرُونَ إِلَيْهِ أَجْمَعُونَ أَوْ
كُلُّكُمْ ثُمَّ ذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ{ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي }
فَرَدَّهُ اللَّهُ خَاسِئًا

Ertinya: Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku. Allah membantuku untuk menewaskannya lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada salah satu tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat (nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulayman: (Sad[38:35]), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina (Sahih Muslim).

Zahir kedua hadith menampakkan seolah-olah baginda Rasulullah SAW tidak mampu menangkap jin yang menggangunya berikutan doa nabi Sulayman AS. Ketika menghuraikan hadith di atas, Imam al-Nawawi menyebut kata-kata al-Qadi yang bermaksud:
“Kelebihan itu (menangkap jin) adalah dikhususkan untuk nabi Sulayman AS, oleh itu nabi kita baginda SAW terhalang dari mengikatnya, ia berlaku sama ada kerana”:

(1) baginda SAW tidak mampu, atau

(2) setelah baginda mengingati ia adalah kelebihan khusus untuk Sulayman, baginda tidak mengikat (jin tersebut) kerana menyangka beliau tidak mampu menangkap jin, atau

(3) baginda merendah diri dan menjaga adab dengan nabi Sulayman AS (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Setakat pemerhatian saya, Nabi SAW sendiri tidak pernah menangkap jin. Apa yang pernah berlaku adalah baginda SAW hanya mengusir jin atau syaitan. Dalam sebuah hadith, seorang wanita membawa anak kecilnya yang terkena rasukan syaitan bertemu nabi SAW. Nabi lalu mengusir syaitan itu dengan sabdanya:

اخْرُجْ عَدُوَّ اللَّهِ أَنَا رَسُولُ اللَّهِ قَالَ فَبَرَأَ فَأَهْدَتْ إِلَيْهِ كَبْشَيْنِ وَشَيْئًا مِنْ أَقِطٍ وَشَيْئًا مِنْ سَمْنٍ

Ertinya: “Keluarlah kamu (dari tubuh anak ini) wahai musuh Allah, aku adalah utusan Allah!” Anak itu kemudiannya sembuh dan wanita tersebut memberikan nabi 2 ekor kibays, dadih dan keju sebagai hadiah (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Dalam sebuah hadith lain, sahabat nabi (‘Uthman bin Abi al-‘As) yang diamanahkan oleh nabi SAW untuk suatu urusan di Taif terkena gangguan misteri ketika mendirikan solat. Gangguan misteri itu menyebabkannya lupa keadaan solatnya. Beliau memberitahu nabi tentang masalah tersebut, lalu nabi mengatakan bahawa itu adalah gangguan syaitan. Nabi kemudiannya menepuk dadanya dan meludah ke dalam mulutnya sebanyak 3 kali seraya berkata:

اخْرُجْ عَدُوَّ اللَّهِ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ قَالَ الْحَقْ بِعَمَلِكَ قَالَ فَقَالَ عُثْمَانُ فَلَعَمْرِي مَا أَحْسِبُهُ خَالَطَنِي بَعْدُ

Ertinya: “Keluarlah kamu (dari tubuh ini) wahai musuh Allah!” Nabi melakukannya sebanyak 3 kali. Kemudian nabi berkata: “Teruskan urusanmu (di Taif)”. ‘Uthman berkata, demi umurku, selepas itu gangguan itu tidak lagi menyerangku (Sunan Ibn Majah).

Ada yang tegar mempertahankan wujudnya kemampuan sesetengah orang menangkap jin dengan mengutarakan kisah Abu Hurayrah RA yang menangkap syaitan pencuri Tamar sedekah Ramadhan di gedung Tamar Madinah (Sahih al-Bukhari). Jawapannya, apabila jin menjelma dalam fizikal lain yang berjisim (seperti kisah Abu Hurayrah itu), mereka bukan sahaja mampu ditangkap tetapi mampu dibunuh. Bukti lain adalah kisah jin yang mati dibunuh seorang sahabat apabila jin tersebut menjelma dalam bentuk ular. Berikutan peristiwa itu, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ بِالْمَدِينَةِ جِنًّا قَدْ أَسْلَمُوا فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهُمْ شَيْئًا فَآذِنُوهُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَإِنْ بَدَا لَكُمْ بَعْدَ ذَلِكَ فَاقْتُلُوهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

Ertinya: Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah Islam. Maka sesiapa yang telah melihat jin ini, beri izinlah dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah. Kerana itu adalah syaitan.”  (Sahih Muslim).

Usahlah kalut mahu membelenggu atau mengurung syaitan dalam botol atau balang jika syaitan dalam jiwa masih bebas menghasut melakukan dosa kepada Allah. Apa yang lebih penting adalah berpegang teguh kepada agama Allah agar syaitan dalam diri kita terus terkurung dengan botol iman dan taqwa.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...