Thursday, February 4, 2016

BAHAYA BUTA DALAM CELIK

BAHAYA BUTA DALAM CELIK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Yasin [36:9-10]) pada  2 Februari 2016. Antara isunya adalah musibah buta mata hati yang menimpa Musyrikin Quraysh pada zaman Rasulullah SAW.

Bukan sehari dia mereka mengenali Rasulullah SAW, sudah 40 tahun. Firman Allah:

قُلْ لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ وَلَا أَدْرَاكُمْ بِهِ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِنْ قَبْلِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); KERANA SESUNGGUHNYA AKU TELAH TINGGAL DALAM KALANGAN KAMU SATU MASA YANG LANJUT (40 TAHUN DAN KAMU PULA MENGENAL AKU SEBAGAI SEORANG YANG AMANAH) SEBELUM TURUNNYA AL-QURAN INI; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?" (Yunus [10:16]).

Ketika bertemu dengan Abu Sufyan yang dalam perjalanan dagangnya ke Syam, salah satu soalan yang diajukan Maharaja Rom Hiraclius kepadanya tentang Rasulullah SAW adalah:

قَالَ فَهَلْ كُنْتُمْ تَتَّهِمُونَهُ بِالْكَذِبِ قَبْلَ أَنْ يَقُولَ مَا قَالَ قُلْتُ لَا……فَقَدْ أَعْرِفُ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ لِيَذَرَ الْكَذِبَ عَلَى النَّاسِ وَيَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ

Ertinya: Heraclius bertanya: “Adakah kamu semua biasa menuduhnya berdusta (sebelum dia mendakwa mendapat kerasulan?). Aku (Abu Sufyan) menjawab: “Tidak pernah.”…….(Seterusnya Heraclius berkata): Aku memang tahu bahawa (sangat tidak logik bagi Muhammad) yang tidak pernah berdusta kepada manusia, (tetapi boleh pula) berdusta kepada Allah (dengan dakwaan mendapat wahyu) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Benar sungguh kata-kara Maharaja Rom yang bijaksana. Agak mustahil Rasulullah SAW mula belajar menipu tentang Allah setelah berusia 40 tahun, sedangkan selama ini baginda tak pernah pun berdusta kepada manusia. Seakan dikata mustahil bagi seorang lelaki yang baik untuk membunuh manusia jika nyamuk seekor pun tak pernah dibunuhnya. Ternyata Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq sangat bijak kerana mudah memahami dan menerima sifat benar lagi amanah Rasulullah SAW. Inilah hikmahnya mengapa Allah menjaga baginda dari sebarang dusta selama 40. Rupanya ia bertujuan memudahkan orang Mekah menerima seruan baginda pada kemudian hari.

Lalu timbul persoalan, mengapa mereka masih mengingkari baginda? Mata hati mereka menjadi buta akibat kilauan dunia dan cinta syirik yang begitu tebal. Bimbang sungguh pangkat dan kedudukan mereka hilang jika beriman kepada Rasulullah. Inilah bahaya buta dalam celik. Kisah “mental block” mereka ini diulang sebut banyak kali dalam al-Quran, antaranya dalam surah kegemaran orang Melayu:

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ (9) وَسَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (10)

Ertinya: Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman (Yasin[36:9-10]).

Besar sungguh bezanya antara orang yang membaca serta beriman dengan al-Quran berbanding orang yang menutup mata dari membaca al-Quran sama ada atas alasan sibuk, malas atau benci:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآَنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآَخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا (45) وَجَعَلْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ وَفِي آَذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِي الْقُرْآَنِ وَحْدَهُ وَلَّوْا عَلَى أَدْبَارِهِمْ نُفُورًا (46)

Ertinya: Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu. Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri (al-Isra’ [17:45-46]).

Oleh itu, ambillah peluang ketika hidup yang sekali ini untuk membaca al-Quran. Jangan sampai musibah agama yang menimpa sesetengah orang Mekah sebagaimana disebut dalam ayat di atas turut menimpa kita. Apabila Allah menyebut “baca” ia sudah pastinya beriring dengan faham kerana orang Arab yang membaca al-Quran dalam bahasa mereka sudah pasti memahaminya. Bagi orang bukan Arab seperti orang Melayu, maksud baca yang sempurna memerlukan 2 usaha iaitu (1) melafazkan ayatnya secara bertajwid dan usaha (2) memahami maknanya dalam kerangka Tafsir atau terjemahan.

Pastinya kesusahan kita melakukan 2 kerja dalam interaksi dengan al-Quran menjadi sebab pahala kita lebih banyak berbanding orang yang dilahirkan sebagai orang Arab. Sama juga sesetengah kita yang bersungguh mempelajari bahasa Arab demi memahami al-Quran. Pahala kita juga pastinya berganda. Jika orang Arab diberikan kelebihan oleh Allah memahami al-Quran, kita pula diberikan pahala berganda dengan usaha yang dilakukan. Semuanya ada kelebihan, asal sahaja kita ada keinginan dan usaha.

Orang yang memberi berbagai alasan untuk tidak membaca, mempelajari atau memahami al-Quran sebenarnya manusia yang sangat malang. Mereka seumpama orang yang masih kelaparan hidayah dan kekurangan zat rohani walaupun hidangan paling sedap dan berzat sudah sekian lama berada di depan mata:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللَّهِ فَخُذُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Ertinya: Al-Quran adalah hidangan Allah (untuk manafaat manusia), maka ambillah (manafaat/belajar) daripadanya semampumu (Sunan al-Darimi).

Rugi! Sungguh rugi manusia yang celik mata zahir tapi buta mata hati dengan “mental block” sebegini. Jika kita tergolong dalam golongan yang buta dalam celik seperti ini, segeralah melakukan perubahan kerana celik mata hati dengan memahami al-Quran akan memberikan kita faedah yang besar di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...