BAHAGIA CELIK DALAM BUTA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
“Ustaz! Kalau ikutkan hati memang susah dan letih nak datang ke kelas Tafsir kita setelah seharian berkerja. Tapi apabila mengenangkan kegigihan pelajar istimewa seperti KAK HALIMAH, segala letih dan malas bagai terbang ditup angin.”
Siapakah Kak Halimah yang begitu berkesan memberi inspirasi kepada seorang murid dewasa dalam kelas saya ini?
Kak Halimah adalah pelajar saya yang buta semenjak lahir. Setiap minggu beliau diiringi suaminya hadir ke dalam kelas Tafsir saya. Sudah hampir 4 tahun dia mengikuti kelas saya. Bacaannya juga fasih serta mengatasi ramai pelajar lain dalam kelas kami yang celik.
Semasa saya belajar di Darul Quran JAKIM pada tahun 1994 dahulu, pihak Kementerian Dalam Negeri dan JAKIM (atau nama lamanya BAHEIS – Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri) telah mencetak al-Quran Braille yang baru. Saya diminta oleh guru kami untuk menyemak al-Quran Braille itu dengan beberapa pelajar buta di Darul Quran pada ketika itu. Pelajar buta yang menyemak al-Quran Braille dengan saya bernama Abang Zulkifli. Pada ketika itu umurnya mencecah 30 tahun dan hilang penglihatan ketika berusia 17 akibat demam panas.
Itulah lumrah hidup. Setiap manusia diberi ujian oleh Allah. Jika dilihat dari sudut positif, semua ujian pasti memberikan bahagia tersendiri. Ketika orang celik berjuang setiap hari menjaga pandangan mata dari yang terlarang, mereka sudah bebas dari dosa mata:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (al-Nur [24:30]).
Orang buta jangan dipandang rendah kerana mereka memiliki keistimewaan tersendiri di sisi Allah. Lihat kisah sahabat nabi yang bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Beliau adalah tukang azan kedua selepas Bilal bin Rabah.
Abdullah ibn Umm Maktum memang istimewa kerana satu ayat diulang turun kerana pertanyaannya:
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمً
Ertinya: Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - SELAIN DARIPADA ORANG YANG ADA KEUZURAN - dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; (al-Nisa’ [4:95]).
Sejurus selepas ayat ini diturunkan, Rasulullah SAW mengarahkan seorang sahabat menulisnya. Abdullah ibn Umm Maktum yang buta lalu mengadu kepada Rasulullah:
“Wahai Rasulullah SAW, jika mampu pasti aku akan turut berjihad, namun apakan daya, aku seorang yang buta!”
Setelah itu, ayat di atas ditambah dengan perkataan PENGECUALIAN غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ. Lalu ayat itu dilengkapkan dengan penambahan tersebut (Sahih al-Bukhari):
Bukan setakat itu sahaja, Abdullah sangat sensitif dengan lantunan ayat al-Quran. Ketika Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada para pembesar Quraysh di Mekah, beliau segera menghampiri Rasulullah SAW tetapi beliau diabaikan seketika oleh baginda yang berusaha menarik pembesar Quraysh kepada Islam. Tindakan baginda ini membawa kepada teguran Allah dengan penurunan awal surah 'Abasa [80:1-11]).
Walaupun mata zahir mereka buta, Abdullah bin Umm Maktum, Kak Halimah dan Abang Zulkifli memiliki mata hati yang jauh lebih terang dan cerah berbanding sesetengah orang yang celik mata zahir tetapi buta mata hati. Syukurilah ni'mat mata zahir yang Allah anugerahkan kepada kita ini sebaiknya. Sungguh! Ni'mat mata ini akan disoal kelak:
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Ertinya: Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (Al-Takathur [102:8]).
Jangan sampai di akhirat kelak kita menjadi buta kerana tidak pernah peduli dengan ayat Allah semasa di dunia walaupun al-Quran sudah lebih 1400 tahun bersama kita. Firman Allah:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (124) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (125)قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَىٰ (126 )
Ertinya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat DALAM KEADAAN BUTA".
Dia berkata: "WAHAI TUHANKU, MENGAPA ENGKAU HIMPUNKAN DAKU DALAM KEADAAN BUTA, PADAHAL AKU DAHULU MELIHAT?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan" (Taha[20:124-126]).
Semoga Allah kurniakan kita semua mata zahir dan mata hati yang sentiasa celik untuk meni'mati al-Quran.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment