Friday, January 22, 2016

ZAYD BIN 'AMR DAN UMAR BIN AL-KHATTAB TIDAK MEMBUNUH ANAK PEREMPUAN MEREKA

ZAYD BIN ‘AMR DAN UMAR BIN AL-KHATTAB TIDAK MEMBUNUH ANAK PEREMPUAN MEREKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Siapa Zayd bin ‘Amr bin Nufayl? Apa kaitannya dengan khalifah agung ‘Umar bin al-Khattab? Mengapa nama beliau disebut harum oleh para ulama sejarah dan hadith? Bahkan keduanya tergolong dari kalangan ahli syurga. Kedudukan ‘Umar bin al-Khattab sebagai salah seorang dari 10 orang sahabat ahli syurga memang sudah kita maklum (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad). Rupanya Zayd bin ‘Amr juga dijanjikan syurga sebagaimana sebuah riwayat yang diceritakan ‘Amir bin Rabi’ah RA:

إِنِّي خَالَفْت قَوْمِي ، وَاتَّبَعْت مِلَّة إِبْرَاهِيم وَإِسْمَاعِيل وَمَا كَانَا يَعْبُدَانِ ، وَكَانَا يُصَلِّيَانِ إِلَى هَذِهِ الْقِبْلَة ، وَأَنَا أَنْتَظِر نَبِيًّا مِنْ بَنِي إِسْمَاعِيل يُبْعَث ، وَلَا أَرَانِي أُدْرِكهُ ، وَأَنَا أُومِن بِهِ وَأُصَدِّقهُ وَأَشْهَد أَنَّهُ نَبِيّ ، وَإِنْ طَالَتْ بِك حَيَاة فَأَقْرِئْهُ مِنِّي السَّلَام . قَالَ عَامِر : فَلَمَّا أَسْلَمْت أَعْلَمْت النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِخَبَرِهِ قَالَ : فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَام وَتَرَحَّمَ عَلَيْهِ ، قَالَ : وَلَقَدْ رَأَيْته فِي الْجَنَّة يَسْحَب ذُيُولًا

Ertinya:  ‘Amir bin Rabi’ah menceritakan Zayd bin ‘Amr pernah berkata kepadanya: Aku menyanggah kaumku (dalam akidah) dan mengikut agama nabi Ibrahim dan Isma’il. Mereka dahulunya bersolat ke arah kiblat ini (Ka’abah). Aku sedang menunggu seorang nabi dari keturunan nabi Isma’il yang bakal diutus, namun aku belum menemuinya lagi. Pun begitu aku sudah beriman dengannya, membenar dan bersaksi atas kenabiannya. Jika umurmu panjang (Wahai ‘Amir bin Rabi’ah) maka sampaikan salamku padanya. ‘Amir menyambung: Setelah aku memeluk Islam, aku menceritakan kepada nabi perihal pesanan Zayd, baginda menjawab salamnya serta mendoakan kerahmatan untuknya seraya berkata: Aku melihatnya (Zayd bin ‘Amr) berada dalam syurga mengheret ekor bajunya (sebagai lambang kebahagiaan dan kemewahan pada orang Arab) (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani).

Zayd bin ‘Amr adalah sepupu ‘Umar bin al-Khattab dan ayah kepada Sa‘id bin Zaid yang termasuk dalam 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Anaknya Sa’id bin Zayd berkahwin dengan adik ‘Umar al-Khattab yang bernama Fatimah Binti al-Khattab. Zayd meninggal dunia 5 tahun sebelum Baginda Rasulullah dibangkitkan menjadi Rasul. Antara keistimewaan lain Zayd adalah beliau sanggup menebus nyawa mana-mana bayi perempuan yang cuba dibunuh oleh bapanya. Ia disebut dalam sebuah riwayat:

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَتْ رَأَيْتُ زَيْدَ بْنَ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ قَائِمًا مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْكَعْبَةِ يَقُولُ يَا مَعَاشِرَ قُرَيْشٍ وَاللَّهِ مَا مِنْكُمْ عَلَى دِينِ إِبْرَاهِيمَ غَيْرِي وَكَانَ يُحْيِي الْمَوْءُودَةَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقْتُلَ ابْنَتَهُ لَا تَقْتُلْهَا أَنَا أَكْفِيكَهَا مَئُونَتَهَا فَيَأْخُذُهَا فَإِذَا تَرَعْرَعَتْ قَالَ لِأَبِيهَا إِنْ شِئْتَ دَفَعْتُهَا إِلَيْكَ وَإِنْ شِئْتَ كَفَيْتُكَ مَئُونَتَهَا

Ertinya: Asma’ Binti Abu Bakar RA pernah melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufayl berdiri sambil menyandarkan belakangnya pada dinding Ka’abah seraya berkata: “Wahai kaum Quraish. Demi Allah, selain aku nampaknya tiada seorang pun antara kalian yang masih berpegang dengan agama Nabi Ibrahim!” Zayd juga menebus mana-mana bayi perempuan yang mahu dibunuh oleh bapanya. Zayd akan berkata kepada si bapa yang berhasrat membunuh anaknya: “Jangan kamu bunuh bayi ini. (Serahkannya padaku kerana) Aku akan menanggung kos sara hidupnya.” Zayd akan membela bayi itu sehingga meningkat dewasa. Setelah anak perempuan itu dewasa Zayd akan menemui bapanya dan berkata: “Jika kamu mahu mengambil kembali anakmu, aku sedia menyerahkannya kepadamu. Dan jika kamu mahu aku sedia menanggung kos saraannya” (Sahih al-Bukhari).

Subhanallah! Sungguh mulia akhlak Zayd. Beliau dan ‘Umar bin al-Khattab RA berkongsi datuk yang sama iaitu Nufayl. Keduanya berasal dari kabilah Bani ‘Adi yang berbangsa Quraysh dan antara kemuliaan bangsa Quraysh adalah mereka tidak mengamalkan tradisi jahat lagi bejat sesetengah orang Arab Jahiliah yang membunuh bayi perempuan. Rupanya bukan semua kabilah Arab mengamalkan budaya bunuh bayi perempuan. Antara kabilah Arab Jahiliah yang mengamalkan budaya jahat ini adalah Bani Tamim dan Bani Asad. Bukti paling mudah adalah bagaimana adik perempuan ‘Umar iaitu Fatimah binti al-Khattab yang berasal dari kabilah Bani ‘Adi dan berbangsa Quraysh boleh hidup dan berkahwin dengan suaminya Sa’id bin Zayd.

Lalu bagaimana pula kisah ‘Umar bin al-Khattab membunuh anak perempuannya ketika kecil boleh tersebar meluas? Ianya berpunca dari riwayat ini:

وقد جاء عن عمر رضي الله عنه قوله : أمران في الجاهلية . أحدهما : يبكيني والآخر يضحكني .
أما الذي يبكيني : فقد ذهبت بابنة لي لوأدها ، فكنت أحفر لها الحفرة وتنفض التراب عن لحيتي وهي لا تدري ماذا أريد لها ، فإذا تذكرت ذلك بكيت.والأخرى : كنت أصنع إلهاً من التمر أضعه عند رأس يحرسني ليلاً ، فإذا أصبحت معافى أكلته ، فإذا تذكرت ذلك ضحكت من نفسي .

Ertinya: ‘Umar RA berkata:  “Ada 2 perkara (yang aku lakukan) pada zaman jahiliah. Satunya menyebabkan aku menangis, manakala yang satu lagi menyebabkan aku ketawa. Adapun yang menyebabkan aku menangis adalah: Aku membawa anak perempuanku untuk menanamnya (hidup-hidup). Lalu aku menggali sebuah lubang untuknya sehingga habis berterabur tanah pada janggutku sedang dia tidak tahu hasratku (mahu membunuhnya). Apabila mengingatinya aku menangis. Manakala peristiwa yang menyebabkan aku ketawa adalah aku pernah membuat sebuah berhala dari buah kurma lalu aku letakkannya pada bahagian kepalaku agar ia mampu menjagaku pada waktu malam. Apabila Subuh tiba dengan selamat, aku makan berhala tersebut. Apabila mengingatinya aku ketawa sendiri (Kisah ini disebut dalam kitab Tafsir Adwa’ al-Bayan Fi Idah al-Quran bi al-Quran pada tafsiran ayat 8 dan 9 surah al-Takwir [81], karangan Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti tanpa dibawa sanad sandaran kisahnya).

Oleh kerana kisah ini dinyatakan tanpa sandaran dalil, kita perlu hindarinya demi menjaga nama besar ‘Umar bin al-Khattab. Pun begitu, saya sangat menyanjung Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti sebagai tokoh tafsir moden yang sangat berwibawa.

Menarik sekali, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah Wa al-Nihayah ketika mengulas mengenai biodata Umar telah menyenaraikan semua isteri dan hamba wanita Umar sama ada yang kekal sehingga mati atau yang dicerai. Mereka adalah; (1) Zaynab binti Maz’un (perkahwinan pertama Umar pada zaman jahiliah dan melahirkan tiga anak iaitu Abdullah, Abdul Rahman (yang tua) dan Hafsah yang menjadi salah seorang isteri Rasulullah SAW. Hafsah lahir lima tahun sebelum perlantikan Rasulullah SAW di Mekah), (2) Jamilah binti ‘Asim bin Thabirt bin al-Aqlah, (3) ‘Atikah binti Zayd bin ‘Amru, (4) Qaribah binti Abi Umayyah (kemudiannya dicerai oleh Umar), Malikah binti Jarwal (juga dicerai),  (5) Ummu Hakim binti al-Harith, (6) Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Talib dan 2 hamba wanita bernama (7) Luhayyah dan (8) Fukayhah.

Manakala anak beliau adalah; Zayd yang besar, Zayd yang kecil, ‘Asim, Abdullah, Abdul Rahman yang besar, Abdul Rahman yang tengah, Abdul Rahman yang kecil, ‘Ubaydillah, ‘Iyadh, Hafsah, Ruqayyah, Zaynab dan Fatimah.  

Inilah kehebatan para ulama hadith seperti Imam Ibn Kathir, beliau menyenaraikan semua anak lelaki dan anak perempuan Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab. Jika benar ada anak perempuan beliau yang dibunuh ketika jahiliah sudah pasti ia turut disenarai sama. Juga jika benar ‘Umar pernah membunuh anaknya, sudah pasti Hafsah adalah mangsa pertama kerana beliau adalah anak perempuan pertama ‘Umar.

Pesan saya kepada semua, cukuplah menyebar kisah palsu terhadap kahlifah agung ini. Kemuliaan beliau dan sepupunya Zayd bin ‘Amr bukan dikekal harum secara kebetulan oleh Allah, tetapi mempunyai pengajaran kepada kita agar kemuliaan akhlak mereka berdua diikuti oleh semua. Jangan nama keduanya menjadi busuk hanya dengan cerita-ceriti yang tiada sandaran. Apa pun, jika masih ada yang tegar mahu mengatakan “benar Umar pernah membunuh anak perempuannya semasa jahiliah” usahlah kita bertegang urat bergaduh mengenainya kerana ia bukan isu pokok dalam Islam. Cuma pesan saya, siapkan hujah anda ketika bertemu dengan manusia agung ini di akhirat kelak. Ya Allah! Selamatkanlah kami dari menyebar berita tidak sahih berkaitan insan mulia yang sudah lama menempah tiket ke syurga.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...