Friday, January 22, 2016

JANGAN PANDANG LEKEH ORANG LAIN KERANA MEREKA JUGA BATU-BATA YANG MEMBANTU ANDA

JANGAN PANDANG LEKEH ORANG LAIN KERANA MEREKA JUGA BATU-BATA YANG MEMBANTU ANDA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Walaupun hanya seorang pencuci masjid, dia tetap diingati. Itulah tanda Rasulullah SAW adalah orang "besar yang hebat" kerana mengingati jasa orang bawahan yang dianggap kecil. Walaupun kelihatan kecil dan kerdil pada sesetengah orang, mereka tetap berjasa untuk membangunkan sebuah ummah.

Setengah kerja yang tampak LEKEH pada sesetengah orang sebenarnya amat mulia di sisi agama. Hadith ini menunjukkan betapa hebatnya Rasulullah SAW yang kenal orang kecil di sekitar baginda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوْ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَ فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ أَوْ قَالَ قَبْرِهَا فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Ertinya: Dari Abu Hurayrah: Ada seorang lelaki atau wanita berkulit hitam yang biasa mengutip (sampah atau membersihkan) masjid Nabawi. Beliau telah meninggal dunia, lalu Rasulullah SAW bertanya perihal kehilangannya. Para sahabat memberitahu tentang kematiannya. Baginda lalu berkata: mengapakah kamu tidak memberitahuku? Tunjukkan padaku kuburnya. Baginda SAW lalu menziarahi kuburnya dan bersolat (jenazah ghaib) padanya (Sahih al-Bukhari).

Doa khusus dari Rasulullah SAW untuk seseorang adalah "khazanah syurga" yang sanggup dibayar dengan apa sahaja oleh sesiapa pun:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); "DAN DOAKAN LAH UNTUK MEREKA, KERANA SESUNGGUHNYA DOAMU ITU MENJADI KETENTERAMAN BAGI MEREKA." Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Tawbah [9:103]).

Rasulullah SAW sangat menghayati ayat ini:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan "MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA DIA HENDAK MENGUJI KAMU ADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU." Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An'am [6:165]).

Benar sekali! Semua orang mempunyai peranan tersendiri di dunia ini. Ramai orang mempunyai peranan mereka kita tanpa kita sedari.  Usahlah sombong dengan bau badan si pengutip sampah. Tanpa sumbangan mereka pastinya rumah kita turut berbau busuk dengan longgokan sampah yang tidak dikutip.

Usahlah memandang lekeh mekanik yang berkeringat di bengkel, tanpa mereka kita mungkin letih berkeringat mengatur langkah ketika kereta rosak.

Usahlah memandang rendah pada guru yang cuma mengajar ABC atau ALIF-BA-TA di tadika kerana kita sendiri belum tentu mampu bersabar mengajar anak kecil kita membaca dan mengira walaupun kita memiliki sijil tertinggi dari sebuah Universiti. 

Apa sahaja profesyen atau jawatan adalah bata-bata yang melengkapkan binaan rumah sebuah masyarakat. Hargailah semua manusia sebegaimana Rasulullah SAW menghargai para sahabatnya. Dengan mentaliti sebegini, dunia akan aman dalam senyuman penghargaan kepada semua.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...