Saturday, January 2, 2016

SI KAFIR MAHU MENJADI "TANAH" SESUDAH MELIHAT HAIWAN DIHISAB

SI KAFIR MAHU MENJADI “TANAH” SESUDAH MELIHAT HAIWAN DIHISAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:38]) pada 18 Oktober 2014. Antara isunya semua haiwan di bumi adalah UMAT seperti manusia yang bakal dihisab.

Seperti manusia, segala macam haiwan di bumi adalah makhluk yang mempunyai struktur sosial dan cara hidup yang mirip seperti manusia. Fakta ini memang bertepatan dengan kajian ahli kaji haiwan (zoologist). Firman Allah:

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Ertinya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka "UMAT SEPERTI KAMU." Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan) (al-An’am [6:38]).

Imam al-Razi membawakan beberapa makna perkataan “UMAT SEPERTI KAMU”, antaranya; umat yang mengenal dan bertasbih kepada Allah (al-Isra’[17:44]), makhluk yang diatur rezekinya oleh Allah (Hud[11:6] & al-‘Ankabut [29:60]) dan makhluk yang bakal dihisab seperti manusia dan jin (Tafsir al-Razi).

Merujuk kepada hisab haiwan pula, ia terangkum dalam bahagian terakhir ayat tersebut yang bermaksud “KEMUDIAN MEREKA SEMUANYA (MANUSIA, JIN DAN HAIWAN) AKAN DIHIMPUNKAN KEPADA TUHAN MEREKA (UNTUK DIHISAB DAN MENERIMA BALASAN).”

Kebangkitan haiwan dijelaskan Allah:

وَإِذَا الْوُحُوشُ حُشِرَتْ

Ertinya: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan (pada hari kiamat); (al-Takwir [81:5]).

Rasulullah pernah bersabda:

لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya semua hak (yang belum sempurna di dunia) akan ditunaikan kepada pemiliknya pada hari kiamat. Sehingga akan ditunaikan balasan untuk kambing tidak bertanduk (yang diserang) oleh kambing bertanduk (Sahih Muslim).

Dalam hadith lain pula disebut sesudah mereka diberikan keadilan, Allah mengarahkan mereka menjadi debu atau tanah (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Setelah melihat mudahnya hisab haiwan yang berakhir dengan kembalinya mereka kepada tanah, orang kafir berharap mereka pun turut bertukar menjadi tanah seperti haiwan dan tidak dihumban ke neraka. Firman Allah:

إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Ertinya: Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" (al-Naba’[78:40]).

Oleh itu, kita mesti bijak membuat pilihan. Usahlah berharap menjadi haiwan. Bersyukurlah dengan kejadian manusia yang paling sempurna. Lengkapkan kesempurnaan ini dengan pengabdian kepada Allah dan jangan rosakkan kemuliaan insan ini dengan derhaka kepada Allah kerana kelak kita tetap akan dihisab seperti manusia dan bukannya hisab haiwan yang berkahir dengan tanah atau debu.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...