INDAHNYA TEDUHAN SYURGA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Fatir [35:19-21]) pada 29 Disember 2015. Antara isunya adalah keindahan teduhan syurga.
“Anda mahu berpayung teduh atau berjemur di bawah panas mentari?”
Jika diberi pilihan untuk duduk dalam teduh dan panas, pastinya manusia yang waras akan memilih untuk teduh kerana ia sesuai dengan fitrah manusia. Pernah Rasulullah melarang seorang sahabat berdiri tanpa sebab di bawah terik matahari kerana nazarnya:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فَسَأَلَ عَنْهُ فَقَالُوا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ وَلَا يَقْعُدَ وَلَا يَسْتَظِلَّ وَلَا يَتَكَلَّمَ وَيَصُومَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرْهُ فَلْيَتَكَلَّمْ وَلْيَسْتَظِلَّ وَلْيَقْعُدْ وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ
Ertinya: Abdullah ibn ‘Abbas menceritakan: PAda suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah, kelihatan seorang lelaki sedang berdiri (di tengah panas). Baginda lantas bertanya tentang perihalnya. Para sahabat menjawab: “Dia adalah Abu Isra’il yang bernazar untuk berdiri (di tengah panas matahari), tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak mahu bercakap dan (dia sedang) berpuasa.” Rasulullah lantas bersabda: “Suruhlah dia bercakap (seperti biasa), berteduh, duduk dan sempurnakan puasanya (seperti biasa) (Sahih al-Bukhari).
Tahukah anda, “TEDUH DAN PANAS” biasa dikiaskan sebagai syurga dan neraka oleh Allah dalam al-Quran:
وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ (19) وَلَا الظُّلُمَاتُ وَلَا النُّورُ (20) وَلَا الظِّلُّ وَلَا الْحَرُورُ (21)
Ertinya: Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat. Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang, Dan tidaklah sama suasana yang “TEDUH DENGAN YANG KENCANG PANASNYA” (Fatir [35:19-21]).
Buta atau celik, gelap atau cahaya dan “TEDUH ATAU PANAS” dalam ayat ini bukan membawa maksud hakiki, sebaliknya menjadi kiasan antara yang baik dan yang buruk (Tafsir al-Qurtubi). Ia dijelaskan oleh ayat lain:
مَثَلُ الْفَرِيقَيْنِ كَالْأَعْمَى وَالْأَصَمِّ وَالْبَصِيرِ وَالسَّمِيعِ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Ertinya: Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf? (Hud [11:24]).
Benar! Syurga itu sangat indah teduhnya. Allah sengaja menyebut godaan mendapat teduh dan mengelak panas dalam al-Quran kerana mahu menggalakkan hambaNya terutama sekali orang Arab yang menerima al-Quran pada zaman Rasulullah SAW agar terkecur air liurnya mendengar keindahan teduhan syurga:
مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوْا وَعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ (35)
Ertinya: Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertaqwa itu ialah air sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus dan “NAUNGANNYA SENTIASA TEDUH.” Itulah kesudahan usaha orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka (al-Ra’d [13:35]).
Dalam ayat lain Allah juga berfirman:
وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ (27) فِي سِدْرٍ مَخْضُودٍ (28) وَطَلْحٍ مَنْضُودٍ (29) وَظِلٍّ مَمْدُودٍ (30)
Ertinya: Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, Dan “TEDUHAN YANG TETAP TERBENTANG”, (al-Waqi’ah [56:27-30]).
Teduhan syurga bukan calang-calang! Panjangnya menjangkau logik manusia. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةً يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا مِائَةَ عَامٍ لَا يَقْطَعُهَا وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ
{ وَظِلٍّ مَمْدُودٍ }
Ertinya: Dalam syurga ada sejenis pokok yang panjang teduhannya. Jika seorang penunggang berjalan di bawah teduhannya selama 100 tahun pun masih tidak putus teduhannya. Jika kamu mahu (lebih faham), maka bacalah (Firman Allah pada ayat 30 surah al-Waqi’ah): Dan “TEDUHAN YANG TETAP TERBENTANG” (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Selepas ini jika hati tergerak mahu melakukan dosa, cubalah barang seketika berdiri di tengah terik sinaran matahari. Semoga panas matahari yang hanya secebis kecil dari bakaran neraka itu dapat “menghanguskan terus rasa jahat mahu melakukan dosa kita.” Saya percaya “terapi panas dan teduh ini” cukup berkesan mendidik jiwa kita. Ya Allah! Bantulah kami untuk berusaha mendapat teduhan syurga di akhirat kelak.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment