Sunday, January 24, 2016

BER"ISTIKHARAH"LAH - JANGAN TENUNG NASIB ATAU JUMPA BOMOH

BER"ISTIKHARAH"LAH - JANGAN TENUNG NASIB ATAU JUMPA BOMOH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:3]) di Surau Nur al-Syura, Selayang pada 22 Januari 2015. Antara beberapa perkara yang diharamkan Allah adalah amalan tenung nasib. Apabila mengharamkan sesuatu pasti ada alternatifnya yang bertunjangkan Tawhid.

Buntu! Bingung! Tak tahu apakah pilihan terbaik yang perlu dibuat antara persimpangan 2 pilihan. Mahu dipilih yang kanan nampak seakan kelabu dan kurang meyakinkan. Mahu diambil yang kiri pula nampak samar dan meragukan. Di tengah kebuntuan seperti ini, pendapat berbagai pihak mungkin membantu namun ketepatannya tetap tidak pasti.

Orang Arab jahiliah yang kebuntuan membuat pilihan akan menggunakan cara tersendiri yang cukup bodoh! Mereka meletakkan nasib pada bilah panah. Mereka memasukkan 3 bilah panah pilihan yang tertulis “KAMU BUAT” atau “KAMU JANGAN BUAT” dan sebatang bilah panah kosong. Sesetengah mazhab lain pula menulis “TUHANKU MENYURUHNYA” atau “TUHANKU MELARANGNYA” dan sebatang bilah panah kosong.

Lantas bekas terisi “nasib mereka” itu digoncang dengan ghairah bersulam harapan palsu. Selepas beberapa ketika mereka mencabut panah dari bekas tersebut dan lihatlah ke mana arah nasibnya. Budaya ini sudah berakar umbi dalam amalan masyarakat jahiliah. Adakah ia benar dan boleh dipercayai? Allah lantas memancung amalan bodoh ini secara tuntas dalam banyak firmanNya, antaranya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ

Ertinya: “DIHARAMKAN KEPADA KAMU” (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; “DAN (DIHARAMKAN JUGA) KAMU MERENUNG NASIB DENGAN UNDI BATANG-BATANG ANAK PANAH. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH PERBUATAN FASIK” (al-Ma’idah [5:3]).

Lebih tuntas dan tegas lagi Allah mencantas bahawa amalan tenung nasib ini adalah “AMALAN SYAITAN” yang sejijik “NAJIS” dalam tandas. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, “DAN MENGUNDI NASIB DENGAN BATANG-BATANG ANAK PANAH, ADALAH (SEMUANYA) KOTOR (KEJI) DARI PERBUATAN SYAITAN.” Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya (al-Ma’idah[5:90]).

Lalu dikata oleh sesetengah orang jahil “Inilah Islam! Asyik mengharamkan sahaja amalan kita. Jika semua benda haram, apa lagi panduan kami ketika buntu membuat pilihan?”

Jawabnya mudah sahaja. Takdirmu dipegang oleh Allah selaku Pencipta segalanya. Jika buntu janganlah bergantung harap pada bilah panah yang tak bernyawa atau “tilikan ustaz jadian atau bomoh penipu,” sebaliknya mohonlah pada Allah. Amalkan Sunnah Istikharah kerana pilihan Allah yang terbaik:

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Ertinya: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya (al-Qasas[28:68]).

Bahkan Rasulullah SAW mengajar para sahabat agar senantiasa bersitikharah dalam membuat pilihan kerana kita tidak mengetahui apa sebenarnya yang terbaik untuk kita. Jabir bin Abdullah RA mengatakan Rasulullah SAW selalu mengajar kami agar beristikharah dalam banyak urusan. Sabda baginda SAW:

إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي

Ertinya: Apabila kamu berhasrat melakukan sesuatu, maka bersolat sunatlah dua rakaat kemudian berdoalah dengan doa ini “Ya Allah! Ya Allah, aku memohon petunjuk dengan ilmuMu, memohon ketetapan dengan kekuasaanMu, dan aku memohon kurniaanMu yang agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut (Sahih al-Bukhari).

Selepas ini, jika mahu ke”TEPAT”an dalam sebarang keputusan beristikharahlah kepada Allah. Amalan istikharah bukan kosong kerana ianya bertunjang Tawhid iaitu meminta hanya kepada Allah, satu-satuNya kuasa yang mengurus takdir kita. Sungguh! Tiada yang lebih mengetahui yang terbaik untuk kita melainkan dia. Benarlah doa baginda “Janganlah Engkau biarkan diriku pada diri sendiri (tanpa bimbingan) walau sekelip mata:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، ولَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Ertinya: Wahai Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, aku mohon bantuan dari RahmatMu, perbaikilah urusanku keseluruhannya dan JANGAN ENGKAU BIARKAN DIRIKU PADA DIRIKU SENDIRI (TANPA BIMBINGAN) WALAU SEKELIP MATA  (Mustadrak al-Hakim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...