Wednesday, December 9, 2015

KAMU TIADA NILAI TANPA AGAMA

KAMU TIADA NILAI TANPA AGAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (al-Ma’idah [5:68]) pada 30 Julai April 2015. Antara isunya adalah hilangnya kemuliaan Ahli Kitab setelah mereka mengabaikan agama.

Lama sungguh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) dimuliakan Allah berbanding bangsa dan agama lain. Mencecah ribuan tahun bermula selepas nabi Ya'qub sehingga nabi Musa dan Isa AS. Ketika orang lain terumbang ambing meraba-raba mencari sekelumit cahaya mereka dimuliakan dengan suluhan cahaya kitab langit melalui para nabi. Pun begitu, kemuliaan itu disentap Allah apabila mereka mulai meninggalkan isi kandungan Tawrat dan Injil:
 

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَسْتُمْ عَلَى شَيْءٍ حَتَّى تُقِيمُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Ertinya: Katakanlah: "WAHAI AHLI KITAB! KAMU TIDAK DIKIRA MEMPUNYAI SESUATU UGAMA SEHINGGA KAMU TEGAKKAN AJARAN KITAB TAURAT DAN INJIL (YANG MEMBAWA KAMU PERCAYA KEPADA NABI MUHAMMAD) DAN APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU DARI TUHAN KAMU (IAITU AL-QURAN)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu (al-Ma’idah [5:68]).

Sifirnya mudah sahaja. Iman sejati kepada isi kitab terdahulu yang “ASLI” pasti akan menemukan iman mereka kepada satu lorong sahaja iaitu “IMAN KEPADA MUHAMMAD SAW.” Itulah sebabnya, para sahabat dari kalangan Ahli Kitab seperti Abdullah bin Salam dan Salman al-Farisi tidak langsung ragu dengan baginda SAW pada saat pertama melihat baginda. Kebanggaan dengan agama tanpa mengimani Rasulullah SAW sebenarnya sebuah iman palsu yang tidak bernilai di sisi Allah.

Adakah ayat ini hanya mengetuk kedegilan ahli kitab sahaja? Tidak! Ia pastinya turut mengetuk umat Islam. Seakan dikata:

“Wahai umat Islam! Kamu juga tidak bernilai di sisi Allah jika turut mengabaikan agama.”

Tegas sekali firman Allah dalam ayat ini bagi menghindarkan penyakit “perasan bagus” sesetengah umat Islam:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Ertinya: “(BALASAN YANG BAIK DAN SYURGA YANG DIJANJIKAN OLEH ALLAH ITU) TIDAK AKAN DIDAPATI HANYA DENGAN ANGAN-ANGAN KAMU SEMATA-MATA (WAHAI UMAT ISLAM), DAN TIDAK PULA DENGAN ANGAN-ANGAN AHLI KITAB (YAHUDI DAN NASRANI).” Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya (al-Nisa’ [4:123]).

Jangan pula sesetengah kita ingat pengabaian agama hanya berlaku apabila seorang Islam memilih untuk hidup ala kebaratan atau murtad meninggalkan bahtera penyelamat Islam sahaja. Islam adalah agama ilmu dan bukan “RITUAL SEMATA.” Islam dikukuhkan dengan 3 tiang utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Sebarang kejahilan dalam pakaian Islam wajib dihindari. Sebarang tingkah laku yang merosakkan 3 tiang Islam itu sebenarnya termasuk dalam bentuk pengabaian agama.

Banyak sekali kita lihat ahli kelab surau masjid turut juga menjadi ahli kelab bomoh dan pawang. Iman mereka kepada bomoh seakan sama dengan imannya kepada Allah. Ini adalah pengabaian Islam tanpa sedar.

Ada juga kita lihat sesetengah orang Islam yang berjubah berkopiah berjanggut ala pak lebai tapi galak menghisap najis rokok secara terbuka. Ini adalah pengabaian Islam tanpa sedar.

Ada sesetengah orang Islam yang selamba membuang sampah merata-rata tanpa menganggapnya suatu dosa. Ini adalah pengabaian Islam tanpa sedar.

Ada juga sesetengah orang Islam yang kuat "tahlil"nya tapi culas majlis ilmu. Ada juga yang tekun menadah kitab dalam majlis ilmu tapi mengabaikan tanggungjawab mendidik anak isteri dengan agama. Ini adalah pengabaian Islam tanpa sedar.

Ada juga kita lihat sesetengah orang Islam yang bergegar-degar memperjuangkan Islam tapi gagal membendung akhlak buruk dalam diri sehingga akhlak buruknya menjadi mata panah bertukar arah menyerang Islam. Ini adalah pengabaian Islam tanpa sedar.

Saya sendiri terpukul ketika menulis nota ini. Setiap patah ayatnya seumpama tukul besi mengetuk ego diri yang selama ini berasa sudah cukup Islam berbanding orang lain. Marilah kita sama-sama muhasabah segala pengabaian kita terhadap ajaran Islam. Usah menuding jari kepada orang lain kerana sebatang jari yang menunjuk kesalahan orang lain akan bertembung dengan 3 lagi jari yang mengarah kepada diri sendiri. Ayuhlah kita luaskan skop penghayatan Islam dan hindari sedaya mungkin segala pengabaian Islam. Semoga kita datang menghadap Allah kelak dengan “NILAI SEBENAR ISLAM YANG MENJADI TIKET MEMPEROLEHI RAHMAT DAN SYURGA ALLAH.”

 
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...