Saturday, December 5, 2015

JANGAN JADIKAN KAMI SEBAB "ISLAM KELIHATAN LEMAH DAN HODOH"

JANGAN JADIKAN KAMI SEBAB “ISLAM KELIHATAN LEMAH DAN HODOH”
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Tazkirah Tafsir ringkas (15 minit) pagi Sabtu 5 December 2015 di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Surah (Yunus [10:84-87]).
Bani Isra’il gentar ketakutan. Kemarahan Fir’awn kali ini nampak sangat membara. Watikah penghapusan etnik Bani Isra’il seakan sangat hampir diwartakan si Fir’awn. Jika watikah itu dilepaskan, bermakna nyawa Bani Isra’il bakal bergantung pada sehelai rambut. Jauh lebih murah dari nyawa seekor nyamuk. Di tengah kegawatan ini, Allah memberikan ubat rohani kepada mereka dalam bentuk “PIL TAWAKKAL dan SOLAT BERJEMAAH” melalui lidah nabi Musa AS:
وَقَالَ مُوسَى يَا قَوْمِ إِنْ كُنْتُمْ آَمَنْتُمْ بِاللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُسْلِمِينَ (84) فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85) وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86) وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (87)
Ertinya: Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, (1) “MAKA HENDAKLAH KAMU BERSERAH DIRI KEPADANYA”, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)". Lalu mereka berkata: "KEPADA ALLAH JUALAH KAMI BERSERAH. WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU JADIKAN KAMI LANDASAN FITNAH KESENGSARAAN BAGI KAUM YANG ZALIM GANAS. "DAN SELAMATKANLAH KAMI DENGAN RAHMATMU DARI ANGKARA KAUM YANG KAFIR". Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, (2) “DAN JADIKANLAH RUMAH-RUMAH KAMU TEMPAT SEMBAHYANG, SERTA DIRIKANLAH SEMBAHYANG DI DALAMNYA; DAN SAMPAIKANLAH BERITA GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)" (Yunus [10:84-87]).
Ayat ini sarat dengan hikmah, antaranya:
1) Tawakkal atau berserah kepada Allah adalah terapi jiwa yang baik untuk meredakan ketakutan. Tawakkal ditekadkan oleh seorang hamba setelah segala usaha dan doa dilakukan. Walau sehebat mana sekalipun ancaman musuh, Allah jualah yang Maha Memberi Mudarat atau Manafaat.  Manusia yang bertawakkal sebenarnya sedang berlindung dalam wilayah kekuasaan Allah. Wilayah ini sangat kebal dan kalis ancaman.
2) Solat berjemaah juga terapi hati yang berguna memugarkan semangat jihad dan meredakan keresahan. Ketika solat didirikan, sentuhan fizikal teman bersebelahan bersama keseragaman gerakan mengukuhkan keyakinan bahawa kita tidak berseorangan menghadapi ujian. “SEBATANG PANAH SENANG DIPATAHKAN, JIKA SEGUGUS CALANG-CALANG TANGAN BUKAN TANDINGAN UNTUK MEMATAHKANNYA.”
3) Doa yang dilantunkan Bani Isra’il juga sangat unik – “JANGANLAH ENGKAU JADIKAN KAMI LANDASAN FITNAH KESENGSARAAN BAGI KAUM YANG ZALIM GANAS.” Imam Ibn Kathir mentafsirkan doa ini dengan lafaz: “YA ALLAH! JANGAN BIAR MEREKA MENGALAHKAN ATAU MENAKLUKI KAMI. JIKA ITU BERLAKU, MEREKA AKAN MENYANGKA KEMAMPUAN MEREKA MENAKLUKI KAMI DISEBABKAN KEBENARAN AGAMA MEREKA. MEREKA JUGA AKAN BERPENDAPAT KAMI TEWAS KERANA KESESATAN AGAMA KAMI (Tafsir Ibn Kathir).
Dalam konteks zaman ini, doa Bani Isra’il itu sangat releven dengan isu akhlak sesetengah umat Islam. Berapa banyak akhlak buruk orang Islam telah memfitnah Islam tanpa sedar. Mereka berat menerima Islam kerana menilai Islam atas keserakahan nafsu sesetengah orang Islam. Pernah seorang teman perdakwah tertunduk malu di hadapan seorang Tok Batin di sebuah perkampungan orang Asli setelah Tok Batin bersuara: “MACAM MANA AGAKNYA KAMI NAK TERIMA AGAMA ISLAM YANG PENGANUTNYA SELALU SAHAJA MENCURI TANAMAN KAMI. JIKA MASUK AGAMA INI, NANTI KAMI MENJADI PENCURI SEPERTI MEREKA.”
Oleh itu, berusaha sedaya mungkin untuk tidak merosakkan Islam dengan kelemahan rohani, akhlak dan fizikal kita. Kukuhkan Islam dengan akhlak mulia. Tanamkan kesatuan seperti yang dipamerkan dalam solat berjemaah. Bertawakkal kepada Allah setelah segala usaha dan doa dipanjatkan. Inilah resepi kejayaan nabi Musa dan Bani Isra’il dalam kisah di atas.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...