DATANGLAH SOLAT BERJEMAAH KERANA ANDA BELUM BUTA DAN TIDAK DIANCAM BUNUH.
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
“Ustaz! Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan bersabar mengajar aku membaca al-Quran. Aku pernah dimarahi seorang Ustaz lain kerana aku tak fasih membaca al-Quran. Apa nak buat, kami lama hidup dalam jajahan Komunis. Ibu bapa aku hanya mampu ajar aku baca al-Fatihah sahaja. Hidup kami sebagai Muslim di sana cukup sukar. Usahkan solat berjemaah di Masjid, mana-mana Muslim yang dilihat bersolat akan terus ditembak.”
Cerita pelajar saya yang berasal dari sebuah negara kecil jajahan Komunis ini sangat menginsafkan jiwa. Setelah menyambung pelajarannya di UIAM, beliau sangat komited belajar al-Quran. Setiap minggu beliau datang ke bilik saya mengusung al-Quran. Beliau juga komited solat berjemaah dalam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seakan mahu dilepaskan giannya untuk solat berjemaah setelah sekian lama dihalang oleh pemerintah negaranya. Saya pun malu dengan kegigihannya.
Solat berjemaah di surau atau Masjid bukan perkara enteng. Ia sangat ditekan agama. Usahkan zaman tenang tanpa gelora, suasana gawat ketika diancam musuh sekalipun tidak menggugurkan kewajipan solat berjemaah. Lihat sahaja kisah Bani Isra’il, walau gawat diburu Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka bersolat secara berjemaah:
وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (87)
Ertinya: Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, DAN JADIKANLAH RUMAH KAMU TEMPAT SEMBAHYANG, SERTA DIRIKANLAH SEMBAHYANG (SECARA BERJEMAAH) DI DALAMNYA; DAN SAMPAIKANLAH BERITA GEMBIRA KEPADA ORANG YANG BERIMAN (BAHAWA MEREKA AKAN DISELAMATKAN DARI KEZALIMAN FIRAUN DAN KAUMNYA)" (Yunus [10:87]).
Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, setelah Bani Isra’il dihalang solat berjemaah secara terbuka dan diancam bunuh oleh Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka solat berjemaah secara tertutup dalam rumah mereka (Tafsir Ibn Kathir).
Bukan setakat itu, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap diarahkan solat berjemaah ketika gawat berhadapan dengan pihak musuh:
وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ...
Ertinya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada bersama mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersamamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersamamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing…. (al-Nisa’ [4:102]).
Aduhai! Jika semasa gawat berhadapan musuh pun, Allah mengarahkan baginda solat berjemaah, maka bayangkan bagaimanakah hukum solat berjemaah ketika aman sentosa? Oleh kerana itu, sebahagian ulama mengatakan “SOLAT BERJEMAAH ITU WAJIB” berdasarkan arahan Allah dalam ayat ini.
Dalam sebuah hadith disebut permintaan seorang sahabat nabi yang buta agar tidak perlu ke masjid berjemaah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ فَرَخَّصَ لَهُ فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ فَقَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَأَجِبْ
Ertinya: Abu Hurayrah menceritakan seorang lelaki buta datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tiada siapa yang boleh membawaku ke masjid (untuk solat berjemaah).” Beliau kemudiannya meminta agar diberi kelonggaran untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Rasulullah SAW membenarkannya, namun setelah beliau berpaling mahu pulang Rasulullah memanggilnya dan bertanya: “Adakah kamu mendengar laungan azan?” Beliau menjawab: “Ya!” Rasulullah kemudiannya berkata: “Maka hendaklah kamu menyahut seruan itu (dan datang solat berjemaah)” (Sahih Muslim).
Hadith ini dibincangkan oleh para ulama dengan kesimpulan orang uzur seperti si buta dalam hadith ini diberikan kelonggaran untuk tidak berjemaah di Masjid. Pun begitu, Rasulullah masih memintanya datang berjemaah. Alhamdulillah! Kita belum buta.
Mari pula kita ikuti kisah seorang remaja yang buta dari United Kingdom. Namanya Mahomed Khatri. Walaupun buta, beliau tetap datang solat berjemaah di Masjid dengan ditemani anjingnya yang bernama Vargo. Kesungguhannya datang solat berjemaah mendorong pihak masjid untuk menyediakan sangkar khusus untuk anjingnya. Kisahnya boleh ditonton di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=GPX-74-KRdc
Subhanallah! Alangkah malunya sesetengah kita yang celik mata zahir, tapi rabun mata hati kerana malas datang solat berjemaah ke Masjid.
Solat berjemaah adalah syiar atau lambang kemuliaan Islam. Kalau bukan kita yang menegakkan syiar ini siapa lagi? Saya pasti negara kita belum berperang. Kita juga tidak diancam bunuh seperti Bani Isra’il. Kita juga belum buta mata sehingga perlu dipimpin si anjing ke Masjid. Oleh itu, ambillah peluang ketika aman dan sihat segar bugar ini untuk menjayakan Sunnah Rasulullah SAW ini. Semoga Allah merahmati kita semua.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment