BAHAYA ZALIM BERBANDING SYIRIK
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:117]) pada 30 Disember 2015. Antara isunya adalah bahaya kezaliman yang mudah mengundang azab Allah.
Syirik sudah dahsyat dosanya kerana ia langsung tiada ampun dari Allah. Pun begitu kita sering tertanya mengapa bukan semua pelaku syirik dimusnah terus oleh Allah? Seakan mereka masih diberi tangguh. Rupanya ayat ini menjawab soalan itu:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Ertinya: Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri (Hud [11:117]).
Perkataan – بظلم - “yang bermaksud dengan zalim” dalam ayat ini ditafsirkan dengan 2 makna iaitu:
1) Allah tidak akan membinasakan sesebuah negeri SECARA ZALIM tanpa sebab kukuh, selagi penduduknya tidak berlaku zalim sesama sendiri.
2) Allah tidak akan membinasakan sesebuah negeri YANG BERLAKU ZALIM DENGAN MENSYIRIKKAN ALLAH selagi penduduknya tidak berlaku zalim sesama sendiri.
Fokus nota ini adalah tafsiran kedua. Dalam sesetengah keadaan perkataan zalim ditafsirkan dengan syirik seperti nasihat Luqman kepada anaknya:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), “SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR" (Luqman [31:13]).
Kita mungkin terfikir mengapa sesetengah negara Barat yang tidak bertuhankan Allah masih teguh berdiri sedangkan sesetengah negara Islam pula tak kunjung padam ditimpa konflik. Rupanya pakej pemusnahan Allah kepada umat lampau berpunca dari 2 sebab iaitu (1) kejahatan penduduk sesebuah negeri dan (2) akidah mereka yang syirik.
Lihat sahaja umat lampau, jenayah syirik semata belum cukup kuat untuk menjadi sebab bagi kemusnahan mereka. Kaum Nuh AS yang mensyirikkan Allah dimusnahkan setelah mereka berlaku zalim kepada nabi Nuh AS:
قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا نُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمَرْجُومِينَ
Ertinya: Mereka (mengugut dengan) berkata: "Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!" (al-Syu’ara’ [26:116]).
Begitu juga kaum ‘Ad, kemusnahan mereka berlaku setelah mereka zalim kepada orang lain. Firman Allah:
وَإِذَا بَطَشْتُمْ بَطَشْتُمْ جَبَّارِينَ
Ertinya: (Nabi Hud AS menegur kaumnya) "Dan apabila kamu (wahai kaum ‘Ad) memukul atau menyeksa (tawanan atau banduan kamu), kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? (al-Syu’ara’[26:130]).
Sama juga kaum Thamud. Negeri mereka dikuasai oleh 9 jahanam yang licik merancang:
وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (48) قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (49)
Ertinya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ADA 9 ORANG YANG HANYA TAHU MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN LANGSUNG TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN. MEREKA BERKATA (SESAMA SENDIRI): "HENDAKLAH KAMU SEMUA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KITA AKAN MEMBUNUH SOLEH DAN PENGIKUTNYA SECARA MENGEJUT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN KITA AKAN BERKATA KEPADA WARISNYA: ` KAMI TIDAK HADIR (DI TEMPAT) PEMBUNUHAN (SOLEH APALAGI MEMBUNUHNYA ATAU MEMBUNUH) PENGIKUTNYA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH BERKATA BENAR “(al-Naml [27:48-49]).
Kaum Madyan juga bukan dimusnahkan Allah semata-mata kerana syirik tetapi kerana kezaliman mereka menindas orang lain dalam perniagaan serta kegiatan melanun:
وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (85) وَلَا تَقْعُدُوا بِكُلِّ صِرَاطٍ تُوعِدُونَ وَتَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آَمَنَ بِهِ وَتَبْغُونَهَا عِوَجًا وَاذْكُرُوا إِذْ كُنْتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ وَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ (86)
Ertinya: Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Dia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, “SEMPURNAKANLAH SUKATAN DAN TIMBANGAN, DAN JANGANLAH KAMU KURANGKAN BAGI MANUSIA AKAN BENDA-BENDA DAN PERKARA-PERKARA YANG MENJADI HAKNYA; DAN JANGANLAH KAMU BERBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI SESUDAH ALLAH MENJADIKANNYA (MAKMUR TERATUR) DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.” Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman. "DAN JANGANLAH KAMU DUDUK PADA SETIAP JALAN LALU-LALANG, DENGAN MENAKUT-NAKUTKAN DAN MENGHALANGI ORANG YANG BERIMAN DARI MELALUI JALAN ALLAH,” dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang yang berbuat kerosakan (al-A’raf [7:85-86]).
Melihat kepada hakikat ini, ternyata zalim dan jahat sangat bahaya. Kita tidak katakan sesetengah negara Barat sangat adil dan mulia, tetapi integriti, kebersihan serta keadilan sistem mereka kelihatan lebih tinggi dari sesetengah negara Islam sehingga Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata:
“I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam.”
Umat Islam sudah memiliki Tawhid tetapi hilang sesetengah nilai Islam sehingga kucar kacir dan cacat integirti sesetengah negara Islam seakan memfitnah Islam. Sudah samai masanya kita buktikan kepada semua bahawa Islam adalah agama terbaik dan bukan hanya bernostalgia dengan tamadun Islam silam. Kembalilah kepada Islam sebenar nescaya kita akan gemilang.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment