Monday, November 2, 2015

POSTMORTEM JEREBU DARI TEROPONG AL-QURAN

POSTMORTEM JEREBU DARI TEROPONG AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (Hud[11:52]) pada  28 Oktober 2015.

" Jerebu yang melanda negara adalah kitaran musim dan acara tahunan. Apabila datang hujan, hilanglah ia dan nanti kita jumpa lagi tahun hadapan dalam kalendar 2016."

Jika ada orang Islam mengeluarkan kenyataan di atas, dia perlu di"sekolah"kan kembali dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana lain pula firman Allah:

ثُمَّ بَدَّلْنَا مَكَانَ السَّيِّئَةِ الْحَسَنَةَ حَتَّىٰ عَفَوْا وَقَالُوا قَدْ مَسَّ آبَاءَنَا الضَّرَّاءُ وَالسَّرَّاءُ فَأَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Ertinya: Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya (al-A'raf [7:95]).

Musibah jerebu yang melanda negara sangat menyesakkan dada. Setiap kali jerebu datang, mata ditumpu menjangkau selat Melaka dan jari terus dituding kepada negara jiran yang menjadi tempat lahirnya jerebu. Kemarahan ini kadangkala menjadikan kita lupa bahawa alam ini mempunyai Tuhannya yang Maha bijaksana dalam segala tindakan-Nya. Tinggal lagi bagaimana kebijaksanaan kita sebagai orang Islam meneropong hikmah dan rahsia di sebalik musibah ini.

Sungguh Allah sayangkan hambaNya.  Buktinya Dia bekalkan al-Quran sebagai panduan hidup kita agar kekal bahagia. Kepentingan bahagia akhirat mendapat ketenangan syurga memang sudah dimaklumi, namun bahagia dunia bebas dari desakan molekul kasar jerebu memerlukan analisis mengikut neraca al-Quran.

Kelas Tafsir saya untuk orang awam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia malam tadi (28 Oktober 2015) hangat membincangkan kisah nabi Hud AS dan kaumnya. Kaum 'Ad sangat hebat dan luar biasa tamadunnya. Mereka pernah menjadi empayar dunia di Tanah Arab. Faktor utama kemewahan mereka adalah kekuatan fizikal dan ekonomi. Firman Allah:

أَوَعَجِبْتُمْ أَنْ جَاءَكُمْ ذِكْرٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ مِنْكُمْ لِيُنْذِرَكُمْ ۚ وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِنْ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً ۖ فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: (Nabi Hud AS menegur kaumnya): "Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu BANGSA PENGGANTI SESUDAH KAUM NABI NUH, DAN ALLAH TELAH MENAMBAHKAN KAMU KELEBIHAN (DAN KEKUATAN) PADA BENTUK KEJADIAN TUBUH KAMU. Maka kenanglah segala nikmat Allah (itu) supaya kamu berjaya" (al-A'raf [7:69]).

Kaum 'Ad adalah bangsa penyembah berhala yang sangat sombong dengan kekuatan mereka. Segala ni'mat Allah disalah guna dengan wewenangnya. Ia banyak direkodkan Allah dalam al-Quran, antaranya:

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً ۖ أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Ertinya: Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: "Siapakah yang lebih kuat dari kami?" Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya) (Fussilat [41:15]).

Kisah kejahatan dan kesombongan mereka turut diperincikan  Allah dalam surah al-Syu'ara' ayat  [26:123 - 140]).

Nabi Hud yang diutus merawat kebejatan akhlak mereka pun turut ditentang hebat. Kejahatan dan kesombongan mereka kemudiannya mengundang murka Allah yang menimpakan mereka dengan kemarau panjang (Tafsir al-Qurtubi).  Kemarau ini sebenarnya "rotan didik" bagi menyedarkan mereka. Setelah itu selaku "Ketua Agama,"  nabi Hud menasihatkan mereka agar bertaubat kepada Allah kerana besar sekali peranan taubat dalam mengubah nasib malang mereka:

وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ

Ertinya: Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Hud [11:52]).

Rupanya kitaran jahat, engkar,  ditimpa musibah dan ditegur sudah berlaku pada zaman nabi Nuh AS. Setelah kaumnya dilanda musibah, nabi Nuh turut berpesan dengan pesanan yang sama:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12)

Ertinya: "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya) (Nuh [71:10-12]).

Juga firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَا فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا أَخَذْنَا أَهْلَهَا بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَضَّرَّعُونَ

Ertinya: Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur) (al-A'raf [7:94]).

Ia juga berlaku kepada kaum Fir'awn pada zaman nabi Musa AS:


وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran (al-A'raf [7:130]).

Bahkan Musyrikin Mekah zaman Rasulullah SAW juga turut diuji dengan kemarau yang mengundang asap jerebu kerana kedegilan mereka menentang Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10)
يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ (11)

Ertinya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat),
Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan"
(al-Dukhan[44:10]).

Dalam ayat lain Allah merotan didik kita lagi sekali dengan firmanNya:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu (al-Syura [42:30]).

Mungkin ada yang berkata jerebu, banjir atau kejatuhan ekonomi adalah fenomena alam. Lupakah kita bahawa jerebu dan ekonomi dunia adalah "sejenis makhluk" dan di belakangnya ada Tuhan yang mencipta atau memusing kitarannya.  Jika kehendak Tuhan Pemilik bumi dan alam ini dipenuhi pasti Dia dengan RahmatNya yang Maha luas akan mengubah yang sukar menjadi senang.

Boleh sahaja Allah mengarahkan sang angin agar menepis asap jerebu ke laut kerana angin sebagai agen pembawa senantiasa tunduk kepada kehendak-Nya:

وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنْتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ

Ertinya: Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya (al-Hijr [15:22]).

Tidaklah saya katakan rakyat Malaysia yang beragama Islam banyak melakukan dosa sehingga saban tahun kita dilanda jerebu atau bencana alam dan ekonomi, tetapi sekurang-kurangnya taubat dan usaha rohani yang berterusan membersihkan negara dari musibah dosa mampu menganugerahkan rahmat Allah. Jika tidak, masakan para Rasul  dalam ayat terdahulu bersungguh mengulangi saranan taubat kepada kaumnya.  Pastinya saranan bertaubat dan menjaga diri serta masyarakat secara berterusan akan mengubah keadaan dan memberi sesuatu perubahan positif kerana Pemilik alam ini sudah redha dengan kita.

Hukum Allah menetapkan, maksiat serta dosa yang dilakukan segelintir manusia mampu mengundang musibah umum kepada semua:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya (al-Anfal [8:25]).

Buktinya dalam kes jerebu dan banjir yang melanda negara. Yang rakus membakar hutan di negara Seberang atau menggondolkan bukit di Cameroon Highland hanya segelintir manusia sahaja, tetapi kesannya menimpa sebuah negara. Oleh itu, penglibatan semua mencegah dosa dan membudayakan taubat mampu mengubah keadaan.

Selepas ini jika berlaku bencana alam, para pemimpin tertinggi negara serta "ketua agama Islam" perlu bertindak mengingatkan rakyat Malaysia agar kembali kepada agama dan bertaubat. Jika perlu, gunakan "kuasa veto" untuk menutup lubang yang bakal mengundang kemurkaan Allah seperti wujudnya "PUSAT JUDI BERLESEN, HIDANGAN ARAK DI UDARA DAN PAKAIAN MENDEDAHKAN AURAT PEKERJA WANITA ISLAM DALAM SEBUAH SYARIKAT PENERBANGAN MILIK NEGARA."  Percayalah, pakaian taqwa penduduk sebuah negara pasti mengundang rahmat berpanjangan dari Allah:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Ertinya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan (al-A'raf  [7:96]).

Jangan dirosakkan kemakmuran Malaysia yang dibina sekian lama dengan kerakusan melakukan dosa seperti gejala seks bebas, homoseksual, rasuah, kejahilan agama, pengabaian solat, kelahiran anak luar nikah dan sebagainya. Bimbang sekali nasib kita bertukar rupa seperti nasib orang Mekah pada zaman Rasulullah yang dihukum kerana dosa mereka  (Tafsir Ibn Kathir):

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Ertinya: Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan (al-Nahl [16:112]).

Belajarlah dari sejarah para nabi yang direkodkan al-Quran. Al-Quran bukan hanya "bacaan ritual" pada waktu tertentu sahaja tetapi memberi panduan kepada kita untuk hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Ya Allah gerakkan hati kami untuk senantiasa bertaubat dan mentaati segala perintahMu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...