Tuesday, November 3, 2015

JANGAN KELUAQ AYAQ MATA

JANGAN KELUAQ  AYAQ MATA!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Jangan keluaq ayaq mata! Jangan keluaq ayaq mata! Jangan menangis!”

Saya terpegun seketika apabila terdengar suara kuat seorang lelaki berdialek utara mengingatkan ahli keluarga si mati agar jangan menangis. Kisahnya, arwah dijemput Allah secara mengejut semasa dalam urusan kerja di Sarawak. Atas ihsan TUDM mayatnya diterbangkan balik ke Kuala Lumpur. Sebelum dihantar ke kubur, ahli waris dan keluarga mahu menatap wajah arwah buat kali terakhir. Pada ketika itulah suara si lelaki dengan tegas melarang air mata keluar. Soalnya mengapa perlu dilaungkan kata-kata yang sangat menongkah fitrah itu?

Tangisan sedih bukan boleh ditahan keluarnya. Apabila tiba masa, ia akan mencurah keluar bak hujan yang menjunam turun dari awan. Masakan mampu ditahan deruan itu. Menangis dan ketawa adalah “rasa” yang menunjukkan kehebatan Allah:

وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَى

Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah (Allah) yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (al-Najm [53:43]).

Rupanya ada hadith menyatakan tangisan orang hidup akan menyeksa mayat. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْمَيِّت لَيُعَذِّب بِبُكَاءِ أَهْله عَلَيْهِ

Ertinya: Sesungguhnya mayat benar-benar akan diseksa kerana tangisan keluarganya ke atasnya (Sahih Muslim).

Lalu ramailah orang Melayu berpaut erat pada hadith ini sehingga menampakkan Islam sebagai agama yang kaku, keras, tiada kasih sayang dan kedekut air mata. Orang yang berpegang hanya pada hadith itu belajarnya hanya “sekerat.” Lalu dengan ilmu separuh masak itu dia berlagak alim sehingga menyinggung perasaan keluarga si mati. Jika bertemu dengan "si alim sekerat" seperti kisah ini, tanyakan kepadanya mana mahu kita letakkan banyak hadith lain yang menunjukkan Rasulullah SAW sendiri pun menangis dan menitiskan air mata apabila berlaku kematian:

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
لَمَّا قُتِلَ أَبِي جَعَلْتُ أَكْشِفُ الثَّوْبَ عَنْ وَجْهِهِ أَبْكِي وَيَنْهَوْنِي عَنْهُ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنْهَانِي فَجَعَلَتْ عَمَّتِي فَاطِمَةُ تَبْكِي فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبْكِينَ أَوْ لَا تَبْكِينَ مَا زَالَتْ الْمَلَائِكَةُ تُظِلُّهُ بِأَجْنِحَتِهَا حَتَّى رَفَعْتُمُوهُ

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA menceritakan: "Ketika ayahku meninggal dunia aku menutup wajah ayahku dengan kain dan menangis. Kaumku lalu menegahku dari menangis sedang nabi tidak pula melarangku. Berikutan itu ibu saudaraku Fatimah turut menangis." Nabi pun bersabda: "(Sama sahaja) jika kamu menangis atau tidak menangis kerana para malaikat tetap menaunginya dengan sayap mereka sehinggalah kamu semua mengangkat jenazahnya" (Sahih al-Bukhari).

Pada ketika lain Rasulullah SAW sendiri menangis ketika melihat kewafatan cucunya (bayi kepada Zainab binti Rasulullah SAW). Ketika baginda menangis, Sa’ad bin ‘Ubadah RA  bertanya mengapa baginda menangis. Rasulullah SAW bersabda:

هَذِهِ رَحْمَة جَعَلَهَا اللَّه فِي قُلُوب عِبَاده وَإِنَّمَا يَرْحَم اللَّه مِنْ عِبَاده الرُّحَمَاء

Ertinya: "(Tangisan) ini adalah tanda kasih sayang yang Allah letakkan ke dalam hati para hambaNya. Sesungguhnya Allah senantiasa merahmati hambaNya yang pengasih" (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Menarik sekali ulasan Imam al-Nawawi terhadap hadith ini. Sa’ad bertanya kenapa baginda menangis “kerana beranggapan semua jenis tangisan kepada kematian adalah haram.” Berikutan itu Rasulullah SAW menjelaskan tangisan yang lahir dari fitrah kasih sayang dibenarkan Islam asal sahaja ia tidak membawa kepada  ratapan dan raungan seperti yang dilakukan orang jahiliah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Ketika bayi Rasulullah yang bernama Ibrahim wafat pun baginda menangis. Lalu Abdul Rahman bin ‘Awf RA turut bertanya:

وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ

Ertinya: “Engkau pun turut menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wahai Ibn ‘Awf ia adalah tanda kasih sayang.” Baginda menyambung lagi: “Sesungguhnya mata mengalirkan airnya, hati juga boleh bersedih dan kami tidak berkata sesuatu melainkan yang diredhai Tuhan kami, dan sesungguhnya kami sangat bersedih dengan pemergianmu wahai Ibrahim” (Sahih al-Bukhari).

Ketika anak perempuan Rasulullah iaitu Ummu Kalthum RA wafat (isteri ‘Uthman bin ‘Affan RA), baginda turut menitiskan air mata. Ia diceritakan sendiri oleh Anas bin Malik RA (Sahih al-Buhari).

Pernah Rasulullah SAW bersama para sahabatnya datang menziarahi Sa’ad bin ‘Ubadah RA yang sedang sakit. Pada ketika itu Rasulullah dan semua yang hadir menangis. Baginda pun bersabda:

أَلَا تَسْمَعُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يُعَذِّبُ بِدَمْعِ الْعَيْنِ وَلَا بِحُزْنِ الْقَلْبِ وَلَكِنْ يُعَذِّبُ بِهَذَا وَأَشَارَ إِلَى لِسَانِهِ

Ertinya: Tidakkah kamu semua mendengar. Sesungguhnya Allah tidak akan menyiksa (seseorang) kerana tangisan mata, tidak juga kerana kesedihan hati. Akan tetapi Dia menyiksa seseorang kerana ini. Baginda kemudiannya mengisyaratkan kepada lidahnya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Pelik sekali hadith di atas. Satunya melarang tangisan kerana ia bakal menyiksa mayat, manakala hadith lain pula menyebut baginda SAW sendiri berulang-ulang menangisi kematian insan yang baginda cintai. Tunggu dahulu dan jangan cepat menggaru kepala sebagai tanda kehairanan. Rupanya hadith larangan menangis itu tidak dipersetujui oleh Aishah RA kerana beliau berhujahkan ayat ini:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Ertinya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; (Fatir[35:18]).

Seakan Aishah RA menyanggah, mengapa pula Allah nak menghukum si mati yang tak bersalah kerana tangisan ahli keluarganya?  Para ulama kemudiannya menjelaskan, Aishah RA benar dalam pendapatnya tidak mempersetujui hadith tersebut dan sahabat yang meriwayatkan hadith tentang mayat terseksa juga benar. Rupanya mayat akan tersiksa dengan tangisan ratapan ahli keluarganya jika tangisan itu adalah wasiat si mati sebelum kematiannya. Sukar untuk kita fahami? Memang sukar kerana ia adalah budaya jahiliah kerana orang Arab jahiliah biasa berpesan agar kematiannya diratap secara bersungguh-sungguh. Wasiat ini menjadi wasiat mungkar lagi dosa yang menyebabkan si mati diseksa Allah (Syarh Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Kesimpulannya, tangisan yang dilarang adalah tangisan ratapan yang sangat hodoh rupanya. Mayat pula akan tersiksa dengan tangisan itu jika ia memang wasiat si mati sebelum kematiannya. Jika tangisan itu berpunca dari kasih sayang yang masih terkawal seperti lagak laku Rasulullah SAW dalam hadith terdahulu ia masih dibenarkan. Apa perasaan kita jika ketika hati sedang bersedih dan jiwa mendesak agar air mengalir keluar dari mata kerana kasih sayang yang murni, tiba-tiba datang seseorang berlagak alim berkata “JANGAN MENANGIS! JANGAN KELUAR AIR MATA!” Demi Allah! Ia sangat tidak patut dan menongkah fitrah manusia.

Islam itu indah dan meraikan fitrah kasih sayang manusia. Janganlah dirosakkan keindahan ini dengan kejahilan kita yang memiliki ilmu “separuh masak.” Bimbang nanti  wajah Islam yang indah terpalit dengan kekakuan yang mengeraskan jiwa.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...