Wednesday, October 14, 2015

APABILA MUSLIM ASKOLE, SHIGAR BALTISTAN BERTEMU MUSLIM MALAYSIA

APABILA MUSLIM ASKOLE, SHIGAR BALTISTAN BERTEMU MUSLIM MALAYSIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

12 Oktober 2015 di Hadapan Ka'abah, Masjidil Haram.

"Di negara kamu ada berlaku peperangan?"

Saya menggeleng kepala tanda tiada. Nampak sangat nama Malaysia begitu asing pada lelaki ini. Lantas Abdul Salam yang berasal dari Kampong pergunungan Askole, daerah Shigar dalam negeri Baltistan  (sebuah wilayah utara Pakistan) mengucapkan lafaz Alhamdulillah dan doa ringkas atas kesejahteraan Malaysia dari sebarang konflik.

Saya kagum dengan doanya yang spontan untuk kesejahteraan Muslim Malaysia.  Barangkali berhampiran daerahnya banyak berlaku konflik. Negeri Baltistan rupanya dekat dengan wilayah Jammu-Kashmir yang bergolak.

Kisahnya sesudah menunaikan Umrah pagi semalam saya duduk menunggu waktu zohor dalam Masjidil Haram. Abdul Salam yang duduk di sebelah saya mesra menegur  dengan bahasa Arabnya yang agak sederhana. Kami berbual panjang dan secara ringkasnya beliau adalah seorang petani berusia 40 tahun berasal dari kawasan pergunungan Askole. Bandar Askole dalam daerah Shigar, wilayah Baltistan adalah bandar terakhir disinggahi mana-mana pendaki gunung di dunia sebelum mereka mendaki puncak K-2 iaitu gunung kedua tertinggi di dunia selepas Everest.

Majoriti Muslim di negerinya iaitu Baltistan bermazhab Syiah, manakala Sunni  (Ahli Sunnah Wal Jamaah) sangat minoriti hanya 10% sahaja. Beliau adalah seorang Sunni-Salafi lepasan Universiti Islam Baltistan. Menurutnya, Askole begitu terpencil sehingga perjalanan dengan kereta ke Islamabad  (Pakistan) memakan masa selama 2 hari 2 malam atau lebih. Subhanallah! Walaupun terpencil di kawasan pergunungan Karakoram di Utara Pakistan, beliau tetap sampai ke Mekah. Tidak lain ini adalah kesan seruan mukjizat kekal nabi Ibrahim AS:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Ertinya: "Dan serukanlah  (Wahai Ibrahim) umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus YANG DATANGNYA DARI BERBAGAI JALAN (DAN CERUK RANTAU) YANG JAUH (al-Hajj [22:27]).

Siapa sangka selepas 40 tahun hidup, budak Kelantan ini diatur Allah agar bertemu dengan seorang lelaki Askole Baltistan di Tanah Suci, Mekah untuk satu tujuan iaitu menunaikan ibadah haji. Sungguh! Haji adalah muktamar tahunan umat Islam yang sangat besar manafaatnya kepada umat Islam. Pertemuan sebegini membuka luas mata saya betapa Islam adalah agama persaudaraan dan agama persatuan. Allah mencipta manusia dari seluruh dunia untuk kita saling mengenal dan mengambil manafaat:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI JADIKAN KAMU BERBAGAI BANGSA DAN BERSUKU PUAK, SUPAYA KAMU SALING MENGENAL (DAN BERAMAH MESRA ANTARA SATU SAMA LAIN). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (Al-Hujurat  [49:13]).

Suka saya berkongsi sebuah hadith yang menunjukkan betapa kuasa Allah sangat hebat mencipta manusia melalui nabi Adam hasil adunan dari tanah seluruh dunia. Mungkin tanah asal penciptaan saya berasal dari Malaysia, manakala tanah Abdul Salam berasal dari Asklone. Sabda Rasulullah:

" إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الأَرْضِ ، فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى ذَلِكَ : الأَحْمَرُ ، وَالأَسْوَدُ ، وَالأَبْيَضُ ، وَبَيْنَ ذَلِكَ ، وَالسَّهْلُ ، وَالْحَزْنُ ، وَالطَّيِّبُ ، وَالْخَبِيثُ

Ertinya: Sesungguhnya Allah Azzawajalla mencipta Adam dari segenggam (tanah) yang diambilNya dari seluruh bumi (seluruh dunia). Lalu lahirlah anak Adam berdasarkan kepada tanah itu. (Ada antara mereka) berwarna putih, merah, hitam dan (ada pula) antara (warna) yang demikian. Ada juga yang tanahnya lembut (sopan peribadinya), ada yang keras (kasar peribadinya), ada yang subur (sifat orang beriman) dan ada yang  kotor (sifat orang kafir) (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Walaupun kami berbeza tempat dan budaya, hakikatnya kita semua berasal dari bapa yang satu. Manisnya ibadah Haji menjadi sebab yang menyedarkan saya akan kesatuan ini. Benarlah firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Ertinya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu (al-Nisa'[4:1]).

Sebelum berpisah Abdul Salam mempelawa saya ke negerinya. Siap diberikan no telefon rumahnya di Askole. Katanya; "Jika anda sampai ke Askole, tunjukkan gambar saya kepada penduduk tempatan, mereka pasti mengenali saya kerana rumah di kampung saya cuma berjumlah 500 buah sahaja."

Semoga suatu hari nanti saya diizinkan Allah untuk sampai ke tempat beliau, kerana  berjalan serta mengembara memang dituntut Allah demi membuka mata hati melihat kebesaran Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Ertinya: Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan yang tersebut - mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada (al-Hajj [22:46]).

Maklumat ringkas mengenai Askole boleh didapati di sini:

https://en.m.wikipedia.org/wiki/Askole

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...