Friday, September 4, 2015

SITEMPANG YANG KEKAL UTUH JASADNYA SELEPAS 46 TAHUN KEMATIANNYA

SI TEMPANG YANG KEKAL UTUH JASADNYA SELEPAS 46 TAHUN KEMATIANNYA.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jika pada masa itu ada kamera atau segala macam teknologi moden, kisah sahabat Rasulullah SAW yang tempang ini akan menggemparkan seluruh dunia. Surat khabar utama dunia pasti akan berebut memilih tajuk utama: “JASAD SI TEMPANG KEKAL UTUH SELEPAS 46 TAHUN KEMATIANNYA!”

‘Amru bin al-Jamuh adalah seorang sahabat Rasulullah yang memeluk Islam di Madinah. Cerita pengislamannya sungguh menarik. Mu’adh bin Jabal RA dan anaknya Mu’adh bin ‘Amru bin al-Jamuh bertindak mencuri berhala kesayangan ‘Amru bin al-Jamuh yang bernama “MANAT” lalu membuangnya ke dalam parit kaumnya yang bercampur najis sebanyak 2 kali. Setiap kali menemui berhala itu, ‘Amru akan membersihkannya.

Selepas menemuinya pada kali kedua, ‘Amru menggantungkan pedang pada leher berhalanya dengan harapan si berhala mampu melawan pencurinya. Pada kali ketiga kedua remaja itu mengambil si berhala lalu mengikatnya pada bangkai anjing dan membuangnya ke dalam sebuah perigi lama kaumnya. Setelah menemui si berhala, barulah ‘Amru sedar betapa bodoh tindakannya selama ini menyembah makhluk yang tidak berdaya. Berikutan itu beliau memeluk Islam (Sirah Ibn Hisyam).

Tindakan berani 2 remaja dalam kisah ini seiring dengan keberanian nabi Ibrahim AS yang memusnahkan berhala kaumnya demi mengajar kaumnya berfikiran waras  (Tafsir Ibn Kathir). Kisah nabi Ibrahim AS itu boleh dirujuk pada surah al-Anbiya’[21:57-67]).

‘Amru bin al-Jamuh adalah seorang lelaki yang "tempang." Faktor usianya yang sangat tua dan kecacatannya ini menghalangnya terlibat dalam perang Badar. Pun begitu, anaknya Mu’adh bin ‘Amru bersama Mu’adh bin ‘Afra’ berjasa besar membunuh Abu Jahal dalam perang Badar (Sahih Muslim).

Keberanian anaknya ini sangat membanggakan ‘Amru sehingga beliau bersungguh mahu menyertai perang Uhud walau dihalang oleh anaknya. Kisah ini diriwayatkan dalam Musnad Ahmad:

أَتَى عَمْرُو بْنُ الْجَمُوحِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلْتُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى أُقْتَلَ أَمْشِي بِرِجْلِي هَذِهِ صَحِيحَةً فِي الْجَنَّةِ وَكَانَتْ رِجْلُهُ عَرْجَاءَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ فَقُتِلُوا يَوْمَ أُحُدٍ هُوَ وَابْنُ أَخِيهِ وَمَوْلًى لَهُمْ فَمَرَّ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْكَ تَمْشِي بِرِجْلِكَ هَذِهِ صَحِيحَةً فِي الْجَنَّةِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِهِمَا وَبِمَوْلَاهُمَا فَجُعِلُوا فِي قَبْرٍ وَاحِدٍ

Ertinya: ‘Amru bin al-Jamuh bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku berjuang pada jalan Allah sehingga gugu syahid, adakah aku akan berjalan kaki dengan sihat menggunakan kakiku (yang tempang) ini? Rasulullah menjawab: Ya! Akhirnya beliau, anak saudaranya dan bekas hambanya gugur syahid dalam perang Uhud. Ketika melewati mayatnya, Rasulullah SAW bersabda: “SEAKAN-AKAN AKU SEDANG MELIHATMU (WAHAI ‘AMRU) SEDANG BERJALAN DENGAN SIHAT MENGGUNAKAN KAKIMU (YANG TEMPANG) INI DALAM SYURGA. Rasulullah SAW kemudiannya mengarahkan agar mereka bertiga disemadikan dalam satu kubur (Musnad Ahmad ibn Hanbal).

Tambah hebat selepas 46 tahun kematiannya, banjir besar telah berlaku di Madinah. Aliran air banjir ini telah membongkar kubur ‘Amru bin al-Jamuh dan Abdullah bin ‘Amru bin Hiram RA. Jasad mereka berdua ditemui utuh seakan baru sehari wafat. Ketika proses pengkebumian semula, Abdullah bin ‘Amru bin Hiram dilihat sedang menahan tangan pada tempat luka perang Uhud. Ketika tangannya dialih dari tempat luka, darah segar mengalir dan darah itu hanya berhenti setelah tangan beliau dikembalikan pada tempat luka tersebut (Muwatta’ Imam Malik, al-Isabah Fi Ma’rifat al-Sahabah oleh Imam Ibn Hajar & Siyar A’lam al-Nubala’).

Subhanallah! Inilah kemuliaan luar biasa  yang diberikan kepada para sahabat Rasulullah SAW yang gugur syahid memperjuangkan Islam. Kisah ini menjadi bukti kebenaran firman Allah:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (169) فَرِحِينَ بِمَا آَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِمْ مِنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (170) يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ (171)

Ertinya: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman (Ali ‘Imran [3:169-171]).

Ya Allah! Berikan kami keikhlasan dalam perjuangan Islam seperti mereka dan anugerahkan kami “MATI YANG MENJADI PENGHABIS HIDUP YANG BAIK LAGI DIREDHAIMU.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...