Sunday, September 27, 2015

KEAJAIBAN DOA DI TANAH SUCI

KEAJAIBAN DOA DI TANAH SUCI...

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Makkah @  12 Zulhijah 1436/ 27 September 2015.

Malam ini pihak pakej haji tidak menyediakan makanan kerana masih ada segelintir jemaah menunggu di Mina untuk Nafar Thani. Saya dan isteri cuba mengenal dan makan di restoran milik Felda Malaysia di tingkat 2 Menara Safwah depan masjidil haram.

Kami duduk semeja dengan pasangan suami isteri yang turut mengikuti pakej ASH-HAR travel.  Isterinya bercerita 2 kisah ajaib yang berlaku padanya..

1) Beliau sangat meminati dan mencintai Ummul Mukminin Siti Khadijah RA. Beliau khatam buku tentang Khadijah semasa di Malaysia. Rentetan itu setelah tiba di Mekah beliau berusaha menziarahi kubur bonda kita itu. Kerinduan beliau semakin sarat kepada Khadijah, lalu beliau berdoa...YA ALLAH! ENGKAU TEMUKAN LAH AKU DENGAN SESEORANG MIRIP SEPERTI SAYYIDATINA KHADIJAH RA. Setiap hari beliau panjatkan doa ini di hadapan Kaabah. Selepas 2 hari ketika asyik bermunajat di hadapan Kaabah, beliau disapa seorang wanita Arab yang tidak dikenali. Wanita itu menghulurkannya sebuah mushaf al-Quran dan mengajarnya membaca sehingga 1 muka surat penuh al-Quran. Wanita itu wajahnya tenang, tegas, sopan dan sederhana cantiknya. Dia tertanya-tanya adakah benar doanya itu dimakbulkan? Allahu A'lam.

2) Ketika di hadapan Kaabah beliau selalu berdoa..YA ALLAH! TUNJUKKAN PADAKU KEKUASAAN-MU YANG LUAR BIASA. Sejurus kemudian beliau melihat hujan turun dengan pelik di hadapan Ka'abah seakan si hujan itu "MURKA"...selepas itu satu pancaran kilat berdentum di langit dan....KREN JATUH DI DEPANNYA. Jarak kren itu sangat dekat dengannya. Beliau menjadi saksi mata peristiwa kren masjidil haram bahkan bertindak membantu ramai mangsa yang cedera.

Saya dan isteri tergamam mendengar cerita beliau. Saya cuma mampu membetulkan perkataan hujan seakan "MURKA" yang beliau ucapkan ketika menggambarkan keadaan hujan yang turun sebelum kejatuhan kren. Saya kata, hujan itu tidak "murka" tetapi ia tanda kekuasaan Allah sebagaimana DAHSYATNYA nabi Musa AS dipertontonkan kekuasaan Allah yang menghancur deraikan sebuah gunung:

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَٰكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN SANGGUP MELIHAT KU, TETAPI PANDANGLAH KE GUNUNG ITU, MAKA KALAU IA TETAP BERADA DI TEMPATNYA, NESCAYA ENGKAU AKAN DAPAT MELIHAT KU", SETELAH TUHANNYA "TAJALLA" (MENZAHIRKAN KEBESARANNYA) KEPADA GUNUNG ITU, (MAKA) "TAJALLI NYA" MENJADIKAN GUNUNG ITU HANCUR LEBUR DAN NABI MUSA PUN JATUH PENGSAN. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku) (al-A'raf [7:143]).

Subhanallah! Sungguh Mekah ini bumi yang mulia. Pembinaan semula Ka'abah oleh datuk kita nabi Ibrahim AS dahulu pun bukan atas pilihannya tetapi "SECARA TEPAT TANPA BERLEBIH ATAU BERKURANG WALAU SEINCI PUN KEDUDUKANNYA" oleh wahyu Allah:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَنْ لَا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang) (al-Hajj [22:26]).

Oleh kerana ia adalah tempat pilihan yang "DIKOORDINATKAN" secara tepat oleh Allah, sudah pasti berada dan berdoa pada "KOORDINAT ITU" sukar ditolak. Maha suci Allah dari sebarang kekurangan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...