Sunday, August 23, 2015

KISAH REZEKI HAJI RAHIM DAN KEKAYAAN NAJIB

KISAH REZEKI HAJI RAHIM DAN KEKAYAAN NAJIB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Haji Rahim dan Haji Najib adalah sahabat baik yang berkawan semenjak kecil. Haji Najib adalah orang kaya kawasan kerana banyak mewarisi harta serta perniagaan ayahnya Haji Razak yang juga penggawa kawasan. Pada suatu hari ketika minum pagi di Restoran Thaqwa Sri Gombak, Haji Najib merungut:

“Rahim! Kamu sebenarnya jauh lebih beruntung dari aku. Hidupmu ala kadar tapi nampak tenang. REZEKIKU MEMANG MELIMPAH RUAH, harta bertimbun, teman berderet tapi masalahku pun bertimbun. Musuh perniagaan pun ramai. Isteriku sangat tinggi kehendaknya. Anak-anakku banyak masalah. Anak keduaku baru bercerai dengan suaminya. Yang bongsu liat belajar. Bila disuruh belajar sedap ayatnya “Papa kan banyak harta! Kalau adik tak belajar pun. Tak habis makan harta papa sampai ke tua.” Anak-anakmu yang 11 orang itu semuanya soleh dan baik. Tak banyak memberimu masalah. Rumahku besar tapi jiwaku sesak. Malamku panjang kerana tidurku tak lena. Apa rahsiamu?”

Sambil menghirup tek tariknya dengan tenang Haji Rahim berkata:

“Najib! Salah sebenarnya fahamanmu tentang rezeki. Rezeki bukan hanya duit atau kekayaan! Rezeki itu luas ertinya. Ketenangan hidup adalah rezeki. Kesempatan mencari ilmu dan menambah amal soleh juga rezeki. Pasangan hidup dan anak yang soleh juga rezeki. Teman baik yang selalu mengingatkan kita juga rezeki. Pemimpin negara yang amanah juga rezeki. Bumi yang subur dengan hasil mahsul melimpah juga rezeki. Hujan yang lebat menyamankan bumi juga rezeki.”

Benar kata Haji Rahim. Rezeki bukan hanya wang ringgit atau harta menimbun. Bahkan keduanya boleh menjadi bencana jika bersumberkan punca yang haram. Berapa ramai si kaya yang mandul dan sangat mahukan zuriat untuk mewarisi segala kekayaannya? Berapa ramai orang yang tegap sasa jasadnya tetapi miskin rohani tidak mengenal Allah? Besi beratus kilogram mampu diangkat, tapi gagal mengangkat kelopak mata menyahut seruan Allah pada subuh hari. Berapa ramai jutawan yang terkecur air liurnya melihat juadah sedap di depan mata tapi tak mampu makan kerana hambatan berbagai penyakit kronik.

Berapa ramai ilmuwan yang pangkat akademiknya panjang berjela tapi gagal menghadam ilmunya untuk menjadi seorang hamba Allah yang sebenar setaraf ilmunya. Lihat sahaja ilmuwan dan penyair Quraysh Umayyah bin Abi al-Salt. Syairnya sarat Tawhid sehingga baginda Rasulullah SAW suka mendengarnya, tapi tuannya tetap kufur kerana TIDAK DIREZEKIKAN HIDAYAH dari Allah. Rasulullah SAW menyebut:

وَكَادَ أُمَيَّةُ بْنُ أَبِي الصَّلْتِ أَنْ يُسْلِمَ

Ertinya: Hampir sahaja Umayyah bin Abi al-Salt itu Islam (Sahih al-Bukhari).

Lihat sahaja berapa ramai petani yang lauknya hanya ikan kering berulamkan pucuk paku tapi kenyangnya mampu menegakkan tulang belakangnya untuk beribadat kepada Allah. Berapa ramai si miskin yang tidurnya hanya beralas tikar tapi nyenyaknya bagai sang puteri tanpa runsing memikirkan deretan hutang. Lihat sahaja apakah pengertian sebenar “REZEKI” menurut nabi Nuh AS ketika menegur umatnya yang degil:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12)

Ertinya: "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya) (Nuh [71:10-12]).

Bicara nabi Nuh AS dalam ayat ini jelas menunjukkan keluasan TAKRIF REZEKI. Selepas ini, jangan mengeluh ketika melihat kelebihan orang lain dengan anggapan rezekinya lebih banyak dari kita. Mungkin, nun jauh dalam hatinya dia turut mencemburui banyak REZEKI yang dikurniai Allah pada kita. Bersyukur dan pohonlah kepada Allah Yang Maha Memberi Rezeki:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Ertinya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (MAKA BERUSAHALAH KAMU) DAN POHONKANLAH KEPADA ALLAH AKAN LIMPAH KURNIANYA. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Nisa’ [4:32]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...