Saturday, May 9, 2015

NABI SALIH AS MEMANG DIHARAP MENJADI PEMIMPIN

NABI SALIH AS MEMANG DIHARAP MENJADI PEMIMPIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota kelas Tafsir Dhuha Jumaat (Hud [11:62]) pada 8 Mei 2015. Antara isunya ketinggian karisma, integriti dan keperibadian nabi Salih AS yang mengundang harapan dan kepercayaan kaumnya.

Mana satu pilihan hati? Calon berintegriti atau calon yang sedang diburu Suruhanjaya Pencegah Rasuah? Calon pemimpin yang rekodnya akhlak dan kerjanya bertaraf “CGPA 4 PENUH” atau calon yang wujudnya hanya tempelan penghabis beras rakyat? Usahnya menjawab kerana jawapannya sudah terang lagi bersuluh! Rupanya nabi Salih AS sebelum diangkat menjadi Rasulullah sudah “dibuah mulutkan” oleh kaum Thamud sebagai manusia paling layak memimpin mereka:

قَالُوا يَا صَالِحُ قَدْ كُنْتَ فِينَا مَرْجُوًّا قَبْلَ هَذَا أَتَنْهَانَا أَنْ نَعْبُدَ مَا يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا وَإِنَّنَا لَفِي شَكٍّ مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ مُرِيبٍ

Ertinya: Mereka menjawab dengan berkata: "WAHAI SOLEH, SESUNGGUHNYA ENGKAU SEBELUM INI ADALAH ORANG YANG DIHARAP DALAM KALANGAN KAMI (UNTUK MEMIMPIN KAMI)”; patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya" (Hud [11:62]).

Harapan mereka pada nabi Salih memuncak kerana baginda memiliki segala kualiti yang wujud pada pemimpin terbaik. Baginda suka menolong orang susah, amanah, bertanggungjawab, tidak berdusta, bijaksana dan sebagainya. Pendek kata kualiti pemimpin dalam erti kata “MAMPU DAN AMANAH” serba lengkap pada baginda:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Ertinya: Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia (nabi Musa AS)  menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah ORANG YANG KUAT (MAMPU MELAKSANAKAN TUGASAN DENGAN JAYA), LAGI AMANAH" (al-Qasas[28:26]).

Malang seribu kali malang, segala harapan kaum Thamud terhadap nabi Salih hancur berkecai setelah baginda tampil menegur kesesatan akidah dan kebejatan akhlak mereka. Inilah jadinya jika manusia memaksa agama tunduk kepada nafsu mereka. Akibatnya mereka dihukum keras oleh Allah. Setelah kemusnahan mereka, nabi Salih AS melangkah sedih seraya berkata:

فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ (78) فَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَكِنْ لَا تُحِبُّونَ النَّاصِحِينَ (79)

Ertinya: Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: "WAHAI KAUMKU! AKU TELAH MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU PERUTUSAN TUHANKU, DAN AKU TELAH MEMBERI NASIHAT KEPADA KAMU, TETAPI KAMU TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMBERI NASIHAT" (al-A’raf [7:78-79]).

Moralnya, memilih pemimpin yang berakhlak lagi berintegriti tinggi adalah fitrah manusia zaman berzaman. Semua Rasul utusan Allah memiliki kualiti tersebut. Selepas ini jika mahu memilih pemimpin, pasak kriteria itu terlebih dahulu semoga kepimpinan mereka membawa bahagia kepada kita di dunia dan akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...