Tuesday, May 5, 2015

BERANI SUNGGUH BICARA HUD-HUD: "PATIK TAHU APA YANG TUANKU TAK TAHU!!"

BERANI SUNGGUH BICARA HUD-HUD: "PATIK TAHU APA YANG TUANKU TAK TAHU!!"

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:20-22]) pada 5 Mei 2015. Antara isunya adalah pengajaran hebat dari kisah nabi Sulayman AS dan burung Hud-hud.

“Saya tahu apa yang Tuan tak tahu.”

Ego sesetengah “manusia ternama” pasti tercalar jika perkataan itu keluar dari mulut seseorang yang lebih rendah darjat ilmu dan pangkatnya. Egonya pasti akan bertindak balas segera seumpama antibodi badan menangkis kemaraan sebarang penyakit yang bakal merosakkan jasad. Dakwaan “saya tahu dan awak tak tahu” sebegitu sangat tajam dan mengancam darjat ilmu dan pangkat sesetengah manusia yang tebal egonya. Walau wajah tersenyum, hati pasti berbicara “Wah! Siapa kamu sehingga biadab sekali mahu mendakwa lebih tahu dariku?”

Situasi itu rupanya pernah berlaku kepada nabi Sulayman AS. Sudahlah lewat tiba sehingga bakal dicabut bulu atau dipenggal kepala, si burung Hud-hud ini berani pula mendakwa mengetahui sesuatu yang Sulayman tidak tahu:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ (20) لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ (21) فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ (22)

Ertinya: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)". Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "AKU DAPAT MENGETAHUI SECARA MELIPUTI AKAN PERKARA YANG ENGKAU TIDAK CUKUP MENGETAHUINYA,” dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya (al-Naml [27:20-22]).

Nabi Sulayman AS berjiwa besar sebesar ni’mat mu’jizat dan ilmu yang dimilikinya. Tidak pula baginda AS terbangun melenting mengherdik si Hud-hud yang seakan berlagak lebih pandai darinya, sebaliknya baginda mendengar laporan seekor rakyatnya ini sehingga akhir. Kesabaran baginda AS merendah diri dan menerima laporan Hud-hud akhirnya menjadi sebab “ISLAMNYA SEBUAH EMPAYAR DI SABA.” Subhanallah! Inilah faedah besar dari sabar yang menundukkan ego.

Menurut Imam al-Zamakhsyari, ayat ini menjadi bukti para nabi pun tak mengetahui semua perkara. Ia juga menyangkal dakwaan orang Syiah yang terlebih memuja para imam mereka yang kononnya mengetahui semua benda secara sempurna dan tiada siapa pun yang lebih alim dari mereka (Tafsir al-Kasysyaf).

Kerendahan hati yang sama dapat disaksikan pada nabi lain seperti nabi Musa AS. Baginda sedia turun mencari Khidir setelah dikhabarkan Khidir lebih berilmu darinya:

إِنَّ لِي عَبْدًا بِمَجْمَعِ الْبَحْرَيْنِ هُوَ أَعْلَمُ مِنْكَ قَالَ مُوسَى يَا رَبِّ فَكَيْفَ لِي بِهِ قَالَ تَأْخُذُ مَعَكَ حُوتًا فَتَجْعَلُهُ فِي مِكْتَلٍ فَحَيْثُمَا فَقَدْتَ الْحُوتَ فَهُوَ ثَمَّ

Ertinya: Allah berfirman kepada Musa: Aku mempunyai seorang hamba yang tinggal di tempat pertemuan 2 laut yang lebih berilmu darimu. Musa lalu bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimana aku boleh mencarinya? Allah menjawab: Bawa bersamamu seekor ikan yang disimpan dalam bekas, jika ikan itu hilang maka itulah tempatnya (Sahih al-Bukhari).

Baginda Rasulullah SAW juga bersikap terbuka menerima saranan para sahabatnya dalam banyak peristiwa seperti pemilihan tempat berkubu dalam perang Badar (Sirah Ibn Hisyam) dan pembentukan cop mohor Negara sebelum menghantar surat kepada para pemimpin dunia (Sahih al-Bukhari). 

Semua contoh yang diberikan ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar lebih merendah diri. Kadang-kadang saranan orang bawahan sangat berguna untuk kebaikan bersama. Tiada guna melayan ego yang biasa menjadi tunggangan syaitan. Hukum alam ciptaan Allah sangat mudah, “merendah diri bakal mengangkat kemuliaan insan dan membuka pintu ilmu.” Marilah sama-sama kita memupuk sikap rendah diri dalam hidup dengan membuka hati dan telinga untuk mendengar pendapat orang lain tanpa mengira siapa dia, anak kita, isteri kita, suami kita, murid kita, orang bawahan kita dan sebagainya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...