Wednesday, April 22, 2015

KEGEMBIRAAN BERGANDA PARA WALI ALLAH

KEGEMBIRAAN BERGANDA PARA WALI ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:64]) pada 22 April 2015. Antara isunya adalah kegembiraan berganda para wali Allah atau orang beriman.

Apa definisi kegembiraan pada manusia? Ada yang kata berharta dan mampu membeli apa sahaja yang dikehendaki. Ada berkata waktu lapang. Ada yang kata keluarga bahagia. Ada yang berkata badan yang sihat dan sebagainya. Semua jawapan itu ada lompongnya. Apa guna berharta jika badan sakit. Apa guna waktu yang lapang jika tidak berisi dengan amalan berguna. Apa guna keluarga bahagia dan sihat badan jika hidup dikekang susah. Lama kelamaan kebahagiaan dan kesihatan pasti hilang kerana kekurangan zat dan vitamin.

Begitulah mata manusia, kantanya hanya nampak yang zahir tetapi rabun yang batin. Dalam bicara al-Quran kegembiraan banyak merujuk kepada “kegembiraan selepas mati” kerana hidup selepas mati adalah hidup yang sebenar:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (64)

Ertnya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. “(WALI-WALI ALLAH ITU IALAH) (1) ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA PULA (2) SENTIASA BERTAQWA.” Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus [10:62-64]).

Maksud kegembiraan para wali Allah muncul dalam banyak rupa dan fasa:

FASA DUNIAWI dengan hidup yang aman sentosa kerana benar-benar mematuhi kehendak Allah. Sifirnya mudah, jika kita memenuhi segala hak Allah maka hidup kita akan diberkatinya. Segala tindak tanduk kita serba kena dan indah:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, “MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENGHIDUPKAN DIA DENGAN KEHIDUPAN YANG BAIK”; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan (Al-Nahl  [16:97]).

Kegembiraan mereka dalam ayat di atas juga merujuk kepada mimpi yang benar kerana kadangkala orang beriman berasa gembira setelah bermimpi melihat petanda kemenangan mereka dalam perjuangan atau mimpi melihat Rasulullah SAW. Tafsir kegembiraan orang beriman sebagai mimpi yang benar dijelaskan sebuah hadith:

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَوْلِهِ { لَهُمْ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا } قَالَ هِيَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُؤْمِنُ أَوْ تُرَى لَهُ

Ertinya: ‘Ubadah bin al-Samit melaporkan beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang makna ayat (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat [Yunus:64]). Rasulullah bersabda: “IA ADALAH MIMPI YANG BENAR YANG DIALAMI OLEH SEORANG YANG BERIMAN ATAU MIMPI YANG DIPERLIHATKAN PADANYA (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

FASA KEMATIAN, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia:

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: (Orang beriman adalah) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "SELAMAT SEJAHTERA KEPADA KAMU; MASUKLAH KE DALAM SYURGA DISEBABKAN AMAL BAIK YANG TELAH KAMU KERJAKAN" (al-Nahl[16:32]).

Kegembiraan ini disokong oleh sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ قَالَتْ عَائِشَةُ أَوْ بَعْضُ أَزْوَاجِهِ إِنَّا لَنَكْرَهُ الْمَوْتَ قَالَ لَيْسَ ذَاكِ وَلَكِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا حَضَرَهُ الْمَوْتُ بُشِّرَ بِرِضْوَانِ اللَّهِ وَكَرَامَتِهِ فَلَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا أَمَامَهُ فَأَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ وَأَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ ….

Ertinya: (‘Ubadah bin al-Samit menyebut, Rasulullah bersabda): Sesiapa yang suka bertemu Allah, Allah juga suka bertemunya. Sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, maka Allah juga benci bertemunya. Aisyah atau sebahagian isteri Rasulullah bertanya: (Mana mungkin begitu kerana) kami memang tidak sukakan kematian. Rasulullah menjawab: Bukan begitu maksudnya, akan tetapi (maksudnya) “ORANG BERIMAN KETIKA HAMPIR MATI DIBERI KHABAR GEMBIRA DENGAN KEREDHAAN ALLAH DAN KEMULIANNYA.” Maka tiada apa yang paling disukai melainkan apa (yang disediakan) di hadapannya (dari segala ni’mat syurga), maka dia pun sangat suka bertemu Allah dan Allah juga suka bertemunya…….(Sahih al-Bukhari).

FASA AKHIRAT sebelum melangkah masuk ke pintu syurga disapa mesra para malaikat:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ (30) نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ (31) نُزُلًا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ (32)

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, “DAN TERIMALAH BERITA GEMBIRA BAHAWA KAMU AKAN BEROLEH SYURGA YANG TELAH DIJANJIKAN KEPADA KAMU.” "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" (Fussilat [41:30-32]).

Sungguh beruntung orang yang mendapat kegembiraan dalam 3 fasa ini. Walau tampak begitu ekslusif, ia mampu dicapai dan menjadi realiti jika usaha digerakkan sedaya mungkin. Usah mengalah sebelum berjuang. Para wali Allah dan orang Soleh yang terlebih dahulu meninggalkan kita dalam sejarah umat Islam bukanlah “MANUSIA SUPER BERKUASA AJAIB” sehingga mampu mencapai intipati kegembiraan sebenar. Mereka diberikan tulang empat kerat yang sama dengan kita cuma mereka bermujahadah secara lebih demi memenuhi “KPI orang beriman” sebagaimana ditetapkan Allah. Jika mereka mampu, kita juga pasti boleh. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...