Saturday, March 21, 2015

TAMBAHAN UNTUK AHLI SYURGA

TAMBAHAN UNTUK AHLI SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:25-26]) pada 18 Mac 2015. Antara isunya adalah ni’mat tambahan untuk ahli syurga, iaitu ni’mat mendapat syurga rohani iaitu dipertontonkan wajah Allah.

Siti sangat meminati pelakon kacak Aron Aziz. Ketika Aron Aziz melancarkan kelab peminatnya, Siti adalah ahli pertama yang mengisi borang keahlian. Natijahnya, Siti dipilih sebagai tetamu istimewa Aron Aziz untuk hadir ke majlis pelancaran filem terbarunya. Waktu pertemuan adalah jam 3 petang, namun Siti sudah tiba seawal jam 2 dan disambut hangat oleh pengurus Aron Aziz. Pengurusnya tahu benar bahawa Siti adalah tetamu istimewa artis popular itu. Sementara menunggu ketibaan Aron Aziz, Siti dijamu mewah dengan segala hidangan ala-ala raja. Pun begitu, kegembiraan mahu bertemu Aron Aziz secara fizikal tetap menjadi tumpuan. Apabila Aron Aziz tiba dan menyapa Siti, “DIA LANGSUNG REBAH PENGSAN.”

Itu adalah analogi mudah bagi menggambarkan kerinduan ahli syurga kepada Allah. Hidangan istimewa, layanan bidadari, aliran 4 batang sungai air, susu, arak dan madu bukanlah matlamat utama mereka. Sapaan Allah dan peluang melihat wajah Allah adalah ni’mat yang tertinggi bagi ahli syurga. Demi mendapat redha Allah itu, mereka sanggup berkorban jiwa raga dan nyawa semasa di dunia bagi memenuhi segala hak Allah. Firman Allah:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (25) لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (26)

Ertinya: “UNTUK ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENJADIKAN AMALNYA BAIK DIKURNIAKAN SEGALA KEBAIKAN SERTA SATU TAMBAHAN YANG MULIA” dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya (Yunus[10:25-26]).

Apakah tambahan yang diberikan kepada ahli syurga? Mengulas perkara ini Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ قَالَ يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنْ النَّارِ قَالَ فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Ertinya: "Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah berfirman kepada mereka: "Apakah kamu semua memerlukan sesuatu yang perlu Aku tambah untukmu?" Jawab mereka, "Bukankah muka kami telah putih gilang-gemilang? Bukankah kami telah Engkau masukkan ke syurga dan Engkau bebaskan dari neraka?" Kata Rasulullah SAW selanjutnya, "Lalu Allah membukakan tabir yang menutupNya. Sekonyong-konyong penduduk syurga merasakan nikmat yang tiada taranya, selain memandang Allah 'Azza wa jalla."(Sahih Muslim).

Dalam ayat lain Allah mengukuhkan janji ini:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ (22) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)

Ertinya: Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;  Melihat kepada Tuhannya (al-Qiyamah[75:22-23]).

Marilah kita sama berdoa dan berusaha sedaya mungkin agar kerinduan asli kita kepada Allah akan membuahkan hasil dengan mendapat ni’mat fizikal dan ni’mat rohani melihat wajah Allah dalam syurga kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...