Monday, March 16, 2015

MUSA MENGUNGKIT NI'MAT SAMBIL MENAMPAR BANI ISRA'IL

MUSA MENGUNGKIT NI’MAT SAMBIL MENAMPAR BANI ISRA’IL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:20-21]) pada 13 Mac 2015. Antara isunya adalah strategi nabi Musa AS mengungkit segala macam ni’mat Allah kepada Bani Isra’il.

Mengungkit adalah sifat yang tidak bagus, ia menunjukkan ketidakikhlasan yang berjasa. Pelik sekali, mengapa nabi Musa AS mengungkit segala macam ni’mat Allah kepada Bani Isra’il? Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنْبِيَاءَ وَجَعَلَكُمْ مُلُوكًا وَآَتَاكُمْ مَا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ (20) يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ (21)

Ertinya: Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "WAHAI KAUMKU! KENANGLAH NIKMAT ALLAH (YANG DIBERIKAN) KEPADA KAMU KETIKA IA MENJADIKAN DALAM KALANGAN KAMU BEBERAPA ORANG NABI, DAN IA MENJADIKAN KAMU BEBAS MERDEKA (SETELAH KAMU DIPERHAMBA OLEH FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA), DAN IA MEMBERIKAN KEPADA KAMU BARANG YANG TIDAK PERNAH DIBERIKAN KEPADA SESEORANG PUN DARI UMAT-UMAT (YANG ADA PADA MASA ITU)". (Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)" (al-Ma’idah [5:20-21]).

Pastinya tindakan nabi Musa AS bukan kosong bernafsu kerana baginda senantiasa dalam bimbingan Allah. Tidak lain, ia adalah strategi bagi menyedarkan Bani Isra’il yang kelihatan “tanduk syaitannya” sudak tumbuh selepas bebas merdeka dari cengkaman Fir’awn.  Jika ditelusuri dari al-Quran, perangai buruk dan kedegilan Bani Isra’il mulai muncul selepas kematian Fir’awn. Apa nak buat, itulah sifat manusia yang senang lupa setelah hilangnya zaman susah.

Ungkitan tersebut adalah “tamparan rohani” yang berguna untuk menimbulkan kembali sifat hamba yang semakin hilang. Ia berulang kali diguna dalam al-Quran. Antaranya:

قُتِلَ الْإِنْسَانُ مَا أَكْفَرَهُ (17) مِنْ أَيِّ شَيْءٍ خَلَقَهُ (18) مِنْ نُطْفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ (19) ثُمَّ السَّبِيلَ يَسَّرَهُ (20)

Ertinya: Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? (TIDAKKAH IA MEMIKIRKAN) DARI APAKAH IA DICIPTAKAN OLEH ALLAH? - DARI AIR MANI DICIPTAKANNYA, SERTA DILENGKAPKAN KEADAANNYA DENGAN PERSEDIAAN UNTUK BERTANGGUNGJAWAB; Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih); (‘Abasa [80:17-20]).

Dalam kisah nasihat lelaki beriman kepada temannya yang kaya lagi sombong juga Allah menunjukkan “bicara ungkitan” turut digunakan:

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا (34) وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَذِهِ أَبَدًا (35) وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَى رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا (36) قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا (37)

Ertinya: Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. Berkatalah rakannya (yang soleh lagi beriman) kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: "PATUTKAH ENGKAU KUFUR INGKAR KEPADA ALLAH YANG MENCIPTAKAN ENGKAU DARI TANAH, KEMUDIAN DARI AIR BENIH, KEMUDIAN IA MEMBENTUKMU DENGAN SEMPURNA SEBAGAI SEORANG LELAKI?” (al-Kahf[18:34-37]).

Ini adalah antara banyak cara yang Allah gunakan untuk menyedarkan manusia yang sombong. Asal kejadian mereka sebenarnya sangat lemah iaitu “air mani.” Air pekat hina itu tiada nilainya jika tumpah ke bumi. Itik tak sudu, ayam tak patuk. Walaupun begitu, Allah menempatkannya pada tempat yang sepatutnya, lalu lahirlah si manusia. Malangnya manusia yang asalnya sungguh lemah itu tampil pula menentang Allah.

Kadangkala “ungkitan” berguna untuk menggerakkan sifat kemanusiaan seseorang. Contohnya anak kita agak liat membantu di rumah. Sebagai ibu bapa, kita kadangkala terpaksa menggegar jiwa mereka dengan dialog sebegini:

“Kira beruntung kakak dapat jadi anak Ummi dan Walid, makan cukup, minum cukup, pakai cukup, rumah selesa, telefon pun ada. Spek mata kakak pun nilainya sehingga RM 650. Ramai anak orang susah di luar sana tak memiliki apa yang kakak ada. Syukur ye kakak atas kurniaan Allah ini. Nanti lepas makan, kakak tolong basuh semua pinggan dalam sinki. Ummi letih sangat ni.”

Dialog itu seakan menjadi suatu “steroid” yang mampu menghilangkan segala rasa malas si anak. Sefaham saya, kaedah ini juga yang digunakan oleh nabi Musa AS kepada Bani Isra’il dalam ayat di atas.  Bagaimana pula penerimaan Bani Isra’il, lain ceritanya. Ia mampu anda baca sendiri dalam ayat berikutnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...