Tuesday, March 10, 2015

MALAIKAT TAMPIL MEMBELA DIRI

MALAIKAT TAMPIL MEMBELA DIRI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba’ [34:40-41]) pada 6 Mac 2015. Antara isunya adalah keadilan Allah kepada semua makhlukNya. Antara makhluk Allah yang difitnah dengan sifat ketuhanan adalah para malaikat dan nabi Isa AS.

Hari kiamat adalah hari keadilan. Semua makhluk mendapat keadilannya walau ia hanya sekadar sebutir beras. Keadilan Allah adalah keadilan sejati yang tidak boleh dirasuah atau dibeli. Apa perlunya Allah menerima rasuah kerana Dia adalah Pemilik sebenar alam ini. Allah sudah sedia tahu siapa bersalah dan siapa yang bebas dosa, namun demi membuktikan keadilannya, setiap makhluk diberikan peluang membela diri. Hatta para malaikat yang suci dosa pun diberikan peluang menjawab tuduhan:

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَائِكَةِ أَهَؤُلَاءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا يَعْبُدُونَ (40) قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ (41)

Ertinya: Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya kepada malaikat: "ADAKAH ORANG-ORANG INI, (KAMU SETUJUI) MENYEMBAH KAMU DAHULU?" Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)" (Saba’ [34:40-41]).

Rupanya ada segelintir Arab menyembah berhala dengan anggapan bahawa para malaikat adalah anak perempuan Allah (Tafsir al-Tabari). Firman Allah:

إِنْ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا إِنَاثًا وَإِنْ يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَانًا مَرِيدًا

Ertinya: Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka; (al-Nisa’[4:117]).

Walau siapa atau apa sahaja dewa sembahan bukan Islam, hakikatnya mereka itu semua menyembah Iblis dan syaitan kerana matlamat utama mereka adalah “menjahanamkan seramai mungkin anak Adam.” Itu juga akujanji mereka yang kemudiannya menjadi “KPI” yang sudah berjaya mereka capai kerana sepanjang sejarah manusia memang sudah ramai anak Adam terjerat dengan helah mereka:

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ

Ertinya: "DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU TELAH MENYESATKAN GOLONGAN YANG RAMAI DI ANTARA KAMU; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin [36:62]).

Rupanya bukan hanya malaikat disoal serta diberi peluang membela diri, nabi Isa AS juga mendapat bahagiannya tersendiri. Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَهَيْنِ مِنْ دُونِ اللَّهِ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ إِنْ كُنْتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ إِنَّكَ أَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ (116) مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَا أَمَرْتَنِي بِهِ أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ وَكُنْتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنْتَ أَنْتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ (117)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman:"WAHAI ISA IBNI MARYAM! ENGKAUKAH YANG BERKATA KEPADA MANUSIA: `JADIKANLAH DAKU DAN IBUKU DUA TUHAN SELAIN DARI ALLAH? " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. "Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu (al-Ma’idah [5:116-117]).

Di kala itu para penyembah malaikat, pemuja Isa AS dan penganut semua agama sesat selain Islam akan tunduk malu dan menyesal kerana mempertuhankan yang bukan Tuhan. Akan tetapi apa gunanya sesalan pada hari itu? Ayuhlah kita segera memurnikan ketuhanan kita hanya pada Allah  semata agar kita tidak dikecewakan oleh “Harapan Tuhan Palsu” di akhirat kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...