Thursday, March 12, 2015

KAMU TIDAK MEMILIKI WALAU 10 PERATUS PUN KELEBIHAN MEREKA

KAMU TIDAK MEMILIKI WALAU 10 PERATUS PUN KELEBIHAN MEREKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba’ [34:45]) pada 6 Mac 2015. Antara isunya adalah teguran Allah kepada Musyrikin Quraysh yang perasan diri kuat dan kaya sehingga sanggup menentang Rasulullah SAW.

Anda kuat? Belum tentu anda yang terkuat kerana pasti ada yang lebih kuat seperti kaum ‘Ad. Anda bijak? Belum tentu anda yang paling bijak kerana masih ramai manusia bijak luar biasa di luar sana. Anda kaya? Belum tentu anda yang paling kaya kerana Qarun jauh lebih kaya sehingga namanya selalu digandingkan dengan harta - “HARTA QARUN.’ Jika cucur atap sudah tinggi, tinggi lagi pucuk kelapa. Jika pucuk kelapa sudah tinggi, tinggi lagi awan di atasnya. Jika awan sombong dengan ketinggiannya, bintang pula jauh lebih tinggi meninggalkan awan. Bicara “paling hebat, paling handal, paling kuat, paling kaya” tak akan habis kerana semuanya berakhir dengan Allah selaku Tuhan Yang Maha Hebat, Maha Handal, Maha Kuat, Maha Kaya dan Maha Sempurna. 

Bangsawan Quraysh sekampong dengan Rasulullah SAW sungguh sombong dengan segala macam kelebihan yang mereka. Jika tabiat “lawan tauke” sudah buruk, bayangkan pula dasar “lawan Allah?” Budak berhingus seperti mereka wajib ditempelak agar mereka tahu dan sedar diuntung. Tajam sekali Allah menyucuk ego mereka dalam ayat ini dengan sindiran “MATEMATIK” :

وَكَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَمَا بَلَغُوا مِعْشَارَ مَا آَتَيْنَاهُمْ فَكَذَّبُوا رُسُلِي فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ (45)

Ertinya: Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya), SEDANG MEREKA (YANG MENDUSTAKANMU) ITU TIDAK: MENCAPAI SATU PERSEPULUH (DARI KEKAYAAN, KEPANDAIAN DAN KEKUATAN) YANG KAMI BERI KEPADA UMAT-UMAT YANG TERDAHULU ITU; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka) (Saba’ [34:45]).

Itulah hakikat kamu wahai orang Mekah yang sombong. Kelebihan kamu tak sampai pun “10 peratus” kekuatan umat silam yang pernah dimusnahkan Allah. Jika mereka pernah dimusnahkan dengan segala macam musibah, pasti mudah sekali bagiNya mengajar kebiadaban kamu dengan hanya sekali hembus tiupan azab.

Walaupun ayat di atas dibidik kepada manusia sombong sezaman Rasulullah,  ia tetap sangat releven dengan manusia zaman ini. Usahlah sombong bangkit melawan arahan Allah hanya dengan sedikit kuasa, pangkat, harta, teknologi dan  ilmu yang kamu miliki kerana apa yang kita miliki tetap tidak sampai pun 10 peratus kekuatan dan kelebihan umat terdahulu.  Semoga contoh “cubitan ala-ala matematik” ayat ini mampu mengembalikan jiwa kita ke tempat selayaknya iaitu “maqam hamba.” Insya Allah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...