Wednesday, March 18, 2015

LAPANG DADA DENGAN CAHAYA IMAN

LAPANG DADA DENGAN CAHAYA IMAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota kelas Tafsir Sabtu (al-An'am[6:125]) pada 7 Mac 2015. Antara isunya adalah keadaan hati manusia yang sedia menerima petunjuk Allah.

Sungguh ajaib! Lubang sempit sebuah penjara akan menjadi seluas alam semesta apabila hati lapang dan tenang. Lihat sahaja Buya Hamka dan Sayyid Qutb, tafsir agung kedua tokoh ini “lahir ke dunia” ketika mereka terperosok dalam lubang penjara. Lain pula perihalnya situasi berikut, dunia yang luasnya tidak bertepi dirasakan seperti sebuah lubang sempit penuh duri bak dipanggang di bawah api apabila hati sedang berduka dan kesusahan. Lapang atau sempitnya dada berkait rapat dengan pemilik hati iaitu Allah SWT. Jika mahu berhati lapang turutlah kehendak Tuan hati kita:

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman (al-An'am[6:125]).

Dari sudut saintifik, ayat ini menjelaskan teori “altitude” iaitu semakin tinggi kita mendaki, lapisan oksigen semakin nipis dan ia pasti menyempitkan dada serta menyukarkan pernafasan (Dr. Maurice Bucaille (1978), The Bible The Qur’an and Science, hal 182).

Seiring ayat di atas, sebuah riwayat:

قالوا: كيف يشرح صدره يا رسول الله؟ قال نور يقذف فيه فينشرح له وينفسح قالوا: فهل لذلك من أمارة يعرف بها؟ قال الإنابة إلى دار الخلود والتجافي عن دار الغرور والاستعداد للموت قبل لقاء الموت

Ertinya: Setelah ayat itu diturunkan, para sahabat bertanya petanda iman yang meresap masuk ke jiwa, Baginda menjelaskan: Cahaya yang terpencar masuk lalu melapangkan hati. Para sahabat bertanya: Adakah ia mempunyai tanda yang boleh dikenal? Baginda bersabda: (Rasa ingin) kembali kepada negeri yang kekal (akhirat), menjauhkan diri dari negeri penuh tipu daya (dunia), dan bersiap sedia untuk mati sebelum bertemu mati (Tafsir al-Tabari).

Hati menjadi lapang apabila cahaya iman melimpah berkat kesabaran mentaati Allah. Ia dijelaskan ayat lain:

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِنْ رَبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Jika demikian, “ADAKAH ORANG YANG TELAH DILAPANGKAN ALLAH DADANYA UNTUK MENERIMA ISLAM, LALU IA TETAP BERADA DALAM CAHAYA (HIDAYAH PETUNJUK) DARI TUHANNYA,” (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata (al-Zumar [39:22]).

Senang kata, ayat di atas adalah penanda aras mudah bagi menentukan adakah hati kita sudah sejuk dijamah "cahaya iman yang istimewa" atau tidak. Jika hati segera lapang tenang mendengar kalam Allah dan kalam Rasulullah SAW, maka bersyukurlah kerana jamahan cahaya itu memang sedang menyirami iman anda. Hati yang dijamah iman tidak berlagak seperti si pekak atau si buta apabila ayat Allah menujah telinganya:

وَالَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِآَيَاتِ رَبِّهِمْ لَمْ يَخِرُّوا عَلَيْهَا صُمًّا وَعُمْيَانًا

Ertinya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta (al-Furqan[25:73]).

Jika hati sering sahaja menjadi tawar, malas, resah, kelam dan tidak enak mendengar 2 kalam wahyu itu, itu tanda yang bahaya. Kita wajib segera koreksi diri kerana berdasarkan "diagnos rohani" hati kita mungkin sudah diresapi kuman munafiq. Segeralah ubatinya jangan sampai kuman itu merebak dan merosakkan tubuh dan memudaratkan antibodi iman. Apabila antibodi iman sudah dijangkiti kuman ini, dosa maksiat yang dilakukan sudah hilang rasa pahitnya dan ia bakal bertukar menjadi perencah nafsu perosak iman. Mohon dijauhkan Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...