Monday, March 30, 2015

BENAR YA ALLAH....TEDUHAN ITU ADALAH NI'MAT....

BENAR YA ALLAH. ..TEDUHAN ITU ADALAH  NI'MAT..

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Menitik peluh jantan menahan panas. Memang hari ini sangat panas. Ingin segera sampai ke rumah selepas selesai kelas tadi (28 Mac 2015). Mencari teduh setelah berpanas sebenarnya sangat "manusiawi." Inilah yang dilakukan nabi Musa AS setelah selesai membantu 2 perempuan terpinggir mengambil air di telaga Madyan:

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Ertinya: Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke "TEMPAT TEDUH" lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas [28:24]).

Masuk sahaja ke dalam rumah, sungguh  nyaman dirasa ni'mat TEDUHAN dan BAYANG. Fikiran lalu melayang menangkap beberapa ayat al-Quran menyebut BETAPA BESARNYA NI'MAT BAYANG DAN TEDUH:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ

Ertinya: Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: BENDA-BENDA UNTUK BERTEDUH, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya (al-Nahl [16:81]).

Alhamdulillah kira beruntung kita kerana ada juga rumah tempat berteduh. Dalam kembara Zulkarnain, baginda bertemu dengan satu kaum di Timur yang langsung tiada tempat berteduh melindung diri dari terik mentari:

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا

Ertinya: Kemudian dia (Zulkarnain) berpatah balik menurut jalan yang lain.

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَمْ نَجْعَلْ لَهُمْ مِنْ دُونِهَا سِتْرًا

Ertinya: Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami TIDAK MENJADIKAN BAGI MEREKA SEBARANG PERLINDUNGAN DARIPADANYA (al-Kahf [18:89-90]).

Syurga pun dikaitkan dengan TEGUH YANG PANJANG kerana Allah tahu manusia seksa dengan kepanasan:

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۖ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا ۚ تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوْا ۖ وَعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ

Ertinya: Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya KEKAL TIDAK PUTUS-PUTUS DAN NAUNGANNYA SENTIASA TEDUH. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka (al-Ra'd [13:35]).

Allah ketika mengkhabarkan nikmat syurga kepada Adam turut menyebut ni'mat TIDAK BERPANAS:

وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ

Ertinya: "Dan sesungguhnya engkau  (wahai Adam) juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari" (Taha [20:119]).

Dalam ayat lain, Allah menceritakan rahsia alam. Rupanya memanjang dan memendek setiap teduhan bayang sesuatu objek adalah Tasbih mereka kepada Allah. Subhanallah!

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَىٰ مَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ يَتَفَيَّأُ ظِلَالُهُ عَنِ الْيَمِينِ وَالشَّمَائِلِ سُجَّدًا لِلَّهِ وَهُمْ دَاخِرُونَ

Ertinya: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri? (Al-Nahl [16:48]).

Semua ini disediakan Allah secara percuma. Maka dengan ni'mat TuhanMu yang mana satukah kamu mahu dustai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...