Monday, January 5, 2015

JANGAN SYIRIKKAN ALLAH DENGAN PROFESYENMU

JANGAN SYIRIKKAN ALLAH DENGAN PROFESYENMU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Eh Bro! Tak solat zohor lagi ke? Masa rehat dah nak habis ni.”

“Alah! Kerja ni nak kena siap segera, boss nak jam 2 atas meja dia.”

Itulah dialog manusia tak sedar diri yang sanggup mensyirikkan Allah dengan kerjanya, seakan kerjanya adalah PEMBERI REZEKI dan bukan ALLAH YANG MAHA PEMBERI REZEKI.

Mungkin si fulan ini lupa bahawa jika ALLAH PEMBERI REZEKI ingin menyentap rezekinya, kerja yang disiapkan dengan tungkus lumus serta ber “CAWAT EKOR” sehingga meninggalkan kewajipannya kepada PEMBERI REZEKI yang sebenar pasti akan dicampak kembali ke mukanya oleh si boss. Semua boleh berlaku. Mengabaikan solat kerana mengutamakan kerja adalah suatu “JENAYAH IMAN” yang wajib dihindari. Allah menegaskan:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. KAMI TIDAK MEMINTA REZEKI KEPADAMU, (BAHKAN) KAMILAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADAMU. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha[20:132]).

Allah juga menegaskan dalam ayat lain:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ (56) مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ (57) إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ (58)

Ertinya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia MELAINKAN UNTUK MEREKA MENYEMBAH DAN BERIBADAT KEPADAKU. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.  Sesungguhnya ALLAH DIA LAH SAHAJA YANG MEMBERI REZEKI (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya (al-Dhariyat[51:56-58]).

Penuhi hak Allah sebagai Tuhan kita, yang lain pasti diuruskanNya dengan baik kerana Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ

Ertinya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman, Wahai anak Adam bersungguhlah kamu mentaatiKu, nescaya akan Aku penuhi hatimu dengan kekayaan (rasa cukup) dan Aku akan tutup kefakiranmu. Jika kamu tidak beribadat padaKu, akan Aku penuhi tanganmu (hidupmu) dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutup kefakiranmu (Sunan al-Tirmidhi).

“JADILAH HAMBA ALLAH BUKAN HAMBA KERJA ATAU HAMBA BOSS!”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...