Wednesday, January 14, 2015

CIPTA MEJA JAUH LEBIH SUSAH DARI BAIKI MEJA YANG ROSAK

CIPTA MEJA JAUH LEBIH SUSAH DARI BAIKI MEJA YANG ROSAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Dhuha Selasa (al-Rum [30:27]) pada 13 Januari 2013. Antara isunya logik yang Allah gunakan untuk membuktikan kebangkitan manusia di akhirat adalah pasti.

Pada suatu hari, ketua jabatan memanggil anda dan mengarahkan anda “MENCIPTA” sebuah meja tanpa diberikan bahan mentah atau sebarang peralatan. Anda bergegas mencari kepingan besi buruk lalu membakarnya untuk dilentur menjadi kapak, gergaji, tukul dan paku. Setelah siap peralatan asas, anda menempuh perjalanan mencabar ke dalam hutan memilih balak atau kayu terbaik untuk digunakan dalam pembinaan meja tersebut. Setelah bertungkus lumus hampir berbulan-bulan, akhirnya meja yang dipinta siap diserahkan kepada ketua jabatan. Selepas 5 tahun menggunakan meja itu, sebatang kakinya patah dua. Ketua Jabatan memanggil anda dan bertanya adakah anda mampu membaiki meja yang sudah rosak. Pastinya ini jawapan anda:

“Jika membina meja ini dahulu dari bahan mentah yang kosong pun saya mampu buat, membaiki meja yang sudah sedia ada pastinya jauh lebih senang.”

Begitulah perihalnya kuasa Allah dalam menghidupkan manusia yang sudah mati di akhirat kelak. Tiada yang mustahil bagi Allah, namun kedegilan Musyrikin Quraysh sezaman dengan Rasulullah SAW sangat tegar. Segala hujah, logic dan contoh tidak mampu menembus gunung kufur yang menebal menutup pintu hati mereka. Logik inilah yang digunakan Allah:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ وَلَهُ الْمَثَلُ الْأَعْلَى فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Rum[30:27]).

Al-Quran mengajar kita berfikir dengan akal dan berhujah dengan menyerap segala logik yang diberikan Allah melalui al-Quran. Orang yang mampu menyerap hikmah al-Quran seumpama doktor yang mampu menyerap ubatan dari bahan mentah terbaik. Tiada apa yang lebih mujarab dari ubat al-Quran. Malang sekali manusia yang sayang “SAKIT IMAN DAN KUFUR” yang dihidapi dan enggan mengubatinya walaupun ubat sudah sekian lama terpamer depan mata. Mohon dijauhkan Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...