“DIRIKAN SOLAT” JANGAN SETAKAT MENGERJAKAN SOLAT
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:45]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya adalah kepentingan solat untuk mencegah kemungkaran pada seseorang individu.
Rumah yang teguh mesti disokong tiang yang kukuh. Usahkan serbuan ribut taufan, senggolan si anak kecil pun sudah cukup untuk meruntuhkan sebuah rumah yang tidak bertiang. Itulah perumpamaan solat bagi setiap Muslim. Bukan setakat meneguhkan tiang iman dari dalam diri, solat dengan penghayatan yang sebenar juga mampu antibodi iman bagi melawan segala macam penyakit batin, godaan syaitan dan tipuan dunia:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan DIRIKANLAH SEMBAHYANG (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29:45]).
Namun begitu, pelik bin ajaib juga jika ada manusia tidak pernah meninggalkan solat, tetapi pada masa yang sama tidak juga meninggalkan perlakuan dosanya. Kita lantas terfikir, mengapakah ia berlaku sedangkan ayat di atas menggambarkan seakan solat adalah antibodi melawan dan mencegah perkara mungkar. Ayat itu pasti benar kerana ia datang dari Tuhan alam semesta, tapi apa penjelasannya?
Mudah sahaja! Allah mengarahkan agar solat “DIDIRIKAN” dengan lafaz أقم dan bukannya “LAKUKANLAH” solat. Perkataan DIRIKANLAH SOLAT membawa maksud yang sangat kuat. Bak kata seorang tukang rumah yang baik adalah yang MENDIRIKAN RUMAH dengan tiang, pasak, dinding, bumbung dan semua bahan yang kukuh. Si tukang rumah mahu rumah itu benar-benar layak dipanggil rumah untuk melindungi tuannya dari panas, hujan, gempa, panahan mata manusia dan sebagainya. Demikianlah juga sebuah solat yang sebenar mengikut arahan Allah perlu DIDIRIKAN secara kukuh lagi teguh dengan penghayatan pada setiap rukun kata (Qawli), perbuatan (Fi’li) dan rukun batin (hati yang khusyu’).
Para sahabat pernah bingung melihat seorang pemuda Ansar yang tidak meninggalkan solatnya bersama Rasulullah SAW, tetapi rajin juga melakukan segala macam dosa. Mengetahui kebingungan para sahabatnya, Rasulullah bersabda: “Solatnya itu akan (lambat laun) menghalangnya dari melakukan dosa.” Tidak lama selepas itu, pemuda tersebut menjadi semakin baik dan meninggalkan dosanya (Tafsir Ibn Kathir).
Jika yang sudah bersolat walau tanpa sempurna MENDIRIKAN BANGUNANNYA masih terdedah kepada perlakuan dosa, bayangkan pula manusia malas atau sombong yang langsung tidak mengenal solat?
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
Ertinya: Kemudian mereka digantikan oleh KETURUNAN-KETURUNAN YANG MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) (Maryam[19:59]).
Solat kita tidak menguntungkan Allah kerana Allah senantiasa teguh KETUHANANNYA walau tanpa solat kita. Sebaliknya, solat bakal memberikan manafaat kembali kepada kita dalam pulangan keredhaan Allah, kasih sayangNya, ketenangan jiwa, keberkatan hidup dan sebagainya. Ayuh semarakkan budaya solat semoga ia menjadi antibody berguna untuk melayari hidup di dunia yang penuh pancaroba.
No comments:
Post a Comment