Sunday, December 7, 2014

BIJAK ORANG MELAYU DENGAN PERUMPAMAANNYA "MUNGKIN" DIINSPIRASIKAN AL-QURAN

BIJAK ORANG MELAYU DENGAN PERUMPAMAANNYA “MUNGKIN” DIINSPIRASIKAN AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:41 & 43]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya kepentingan analogi, perumpamaan, misalan, bidalan dan perbandingan dalam menyampaikan sesuatu mesej secara lebih berkesan:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (al-‘Ankabut [29:41]).

Hipotesis saya ini mungkin ada benarnya. Tinggal lagi suatu kajian perlu dilakukan untuk membuktikan kesahihannya. Semalam ketika rancak mengulas isu perumpamaan kerapuhan sarang lelabah seperti kerapuhan akidah penyembah berhala (dalam ayat di atas) saya berteori bahawa Datuk Nenek Moyang kita (orang Melayu) yang kaya dengan perumpamaan “MUNGKIN” banyak mendapat ilhamnya dari al-Quran.

Perumpamaan orang Melayu sangat unik dan bersifat “ALAMI” (merujuk alam sekitar sebagai objek contoh). Bagai aur dengan tebing, bagai mencurah air ke daun keladi, bagai mengharapkan pisang berbuah dua kali, bagai menangguk di air yang keruh, bagai pungguk merindukan bulan dan sebagainya.

Ternyata al-Quran banyak juga menggunakan perumpamaan yang juga berbentuk “ALAMI”  seperti perumpamaan gandaan pahala sedekah dengan sebiji benih yang menumbuhkan 7 tangkai:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama SEPERTI SEBIJI BENIH YANG TUMBUH MENERBITKAN TUJUH TANGKAI; TIAP-TIAP TANGKAI ITU PULA MENGANDUNGI SERATUS BIJI. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya (al-Baqarah[2:261]).

Perumpamaan sia-sianya amalan si pengungkit, pencemuh dan orang yang riyak menunjuk dengan DEBU HALUS ATAS BATU LICIN YANG DISAPU HUJAN LEBAT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا لَا يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah SEPERTI BATU LICIN YANG ADA TANAH DI ATASNYA, KEMUDIAN BATU ITU DITIMPA HUJAN LEBAT, LALU DITINGGALKANNYA BERSIH LICIN (TIDAK BERTANAH LAGI). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir (al-Baqarah[2:264])

Juga perumpamaan Iman dan Kufur dengan air serta emas dengan buih banjir serta buih bakaran logam:

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ

Ertinya: Dia (Allah) menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. ADAPUN BUIH ITU MAKA AKAN HILANG LENYAPLAH IA HANYUT TERBUANG, MANAKALA BENDA-BENDA YANG BERFAEDAH KEPADA MANUSIA MAKA IA TETAP TINGGAL DI BUMI. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan (al-Ra’d[13:17]).

Tambah menarik perumpamaan al-Quran juga mengambil kira persekitaran sasaran mesej. Surah al-Baqarah turunnya di Madinah iaitu sebuah Negara pertanian, lalu perumpamaan dalamnya banyak menyinggung aspek pertanian. Surah al-Ra’d pula turunnya di Mekah iaitu Negara industri dan perniagaan yang tidak subur, lalu perumpamaannya disesuaikan dengan kebiasaan perniagaan emas perak orang Mekah.

Subhanallah! Ini antara beberapa contoh cara al-Quran berinteraksi dengan manusia dan ALAM. Pemerhatian mendalam kepada isi al-Quran akan menghubungkan manusia kepada alam dan dengan inilah tamaddun Islam silam yang berteraskan wahyu mampu melonjakkan umat islam ke puncak alam. Sedihnya, apabila al-Quran sudah dikesamping sebagai sumber ilmu, maka umat Islam semakin jauh dari ROH ILMU AL-QURAN walaupun saban hari mentadaruskan ayatnya. Ayuh kembalikan kegemilangan Islam dengan interaksi sebenar dengan al-Quran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...