Tazkirah maghrib di Masjid Pusat Islam HUSM dalam program Tahfiz untuk anak-anak remaja staff HUSM (11 Dec 2014).
Tajuk MOTIVASI ORANG MUDA..antara isinya:
Orang muda banyak untung. Muda mereka yang bijak dimanafaat untuk ilmu dan taqwa banyak dipuji Allah.
Allah abadikan kisah mereka dalam al-Quran sehingga ia menjadi bacaan pujian yang kekal sampai kiamat. Allah puji mereka dalam al-Quran dengan LAFAZ فتى atau ORANG MUDA. Lihat pujian Allah kepada nabi Ibrahim AS dalam kisah pemusnahan berhala kaumnya:
قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ
(Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang ANAK MUDA bernama Ibrahim, mencacinya" (al-Anbiya'[21:60]).
Juga pujian kepada murid Nabi Musa AS yang mengiringi baginda dalam pengembaraan mencari Khidir:
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada ANAK MUDANYA (muridnya yang disebut sebagai Yusyak bin Nun): "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" (al-Kahfi [28:60]).
Juga pujian Allah kepada 7 pemuda gua:
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu ANAK MUDA yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk (al-Kahfi [18:13]).
Orang muda perlu cerdik dan jangan jadi pak turut. Kisah nabi Ibrahim yang kritis, tidak mengikut kaumnya yang membabi buta menganut berbagai agama sangat bagus dijadikan tauladan bagi orang muda.
Hebatnya minda muda baginda, di kala kaumnya rencam menyembah bintang, bulan, matahari dan berhala (al-An'am [6:74-82]), hanya kerana ianya warisan nenek moyang, Nabi Ibrahim mampu berfikir dengan logik betapa semua sembahan kaumnya tidak layak dianggap TUHAN.
Sama juga cerdiknya 7 pemuda gua yang kritis mengkritik kaumnya yang menyembah berhala kaku:
هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah (al-Kahfi [18:15]).
Dengan mata sayang kepada anak muda seperti peserta kem tahfiz anjuran Pusat Islam HUSM saya berpesan:
"Adik-adik sebagai anak muda perlu cerdik, bijak menilai. Jika kawan kita ajak merempit, merokok, berpakaian tak senonoh (bagi remaja perempuan), kita sebagai ANAK MUDA YANG CERDIK perlu contohi nabi Ibrahim dan 7 pemuda gua. Jangan dengan bodoh mengikut membabi buta."
Tokoh hebat seperti mereka itu bukan lahir secara ajaib di usia tua, tetapi tumbuh dengan siraman ilmu dan baja iman di usia muda. Lalu saya panjangkan bicara sayang saya kepada mereka di hujung tazkirah:
"Kalau Adik-adik mahu jadi hebat di usia tua, rebutlah peluang yang SEKALI INI di usia muda."
Semoga tazkirah ringkas itu mampu melahirkan anak muda mukmin yang mengkayakan lagi khazanah umat islam pada masa hadapan. Siapa tahu mungkin ada di antara mereka yang duduk mendengar tazkirah malam tadi bakal menjadi penggegar dunia atau pencetus kemuliaan ummah di masa hadapan. Insya Allah dan Amin!..
No comments:
Post a Comment