Monday, December 1, 2014

KEHILANGAN KELUARGA YANG "ROSAK" DIGANTI KELUARGA & NAMA TERBAIK

KEHILANGAN KELUARGA YANG “ROSAK” DIGANTI KELUARGA &  NAMA TERBAIK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:84-86]) pada 29 November 2014. Antara isunya bagaimana Allah menggantikan kehilangan ni’mat keluarga nabi Ibrahim AS “YANG ROSAK” dengan nama dan keluarga yang jauh lebih baik.

Harum sekali nama Ibrahim AS dalam lipatan sejarah manusia. Semua agama utama dunia seperti Yahudi, Kristian dan Islam mencintai dan memuji baginda sebagai NABI YANG MULIA. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW, Musyrikin Quraysh yang bodoh menyembah patung pun bangga mendabik dada ber“DATUK”kan Ibrahim AS. Jika ditanya kepada mereka siapakah pengasas Ka’abah? Pastinya jawapan mereka “Ayahanda Ibrahim AS.” Sungguh ia bukan berlaku secara kebetulan tapi berkat doa baginda yang dimakbulkan Allah:

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآَخِرِينَ

Ertinya: (Ibrahim AS berdoa)"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; (al-Syu’ara’ [26:84]).

Allah mengabulkan doa baginda:

وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia (Maryam [19:50]).

Bukan setakat nama yang harum, baginda juga digelar “BAPA PARA NABI” kerana semua Rasul selepas baginda berasal dari keturunannya:

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ كُلًّا هَدَيْنَا وَنُوحًا هَدَيْنَا مِنْ قَبْلُ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَى وَهَارُونَ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (84) وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَى وَعِيسَى وَإِلْيَاسَ كُلٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ (85) وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ (86)

Ertinya: Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): (1) Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (2) (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh. Dan (3) (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Ilyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya) (al-An’am [6:84-86]).

Tiada ni’mat teragung bagi seorang ibu bapa melainkan mempunyai anak soleh yang dijamin tiketnya dalam syurga. Tiada tiket VVIP terbaik untuk ke syurga melainkan PANGKAT KERASULAN DAN KENABIAN.

Kedua kurniaan agung kepada baginda itu tidak datang percuma. Ia adalah ganjaran duniawi kepada baginda kerana teguhnya perjuangan Tawhid baginda:

فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا (49) وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا (50)

Ertinya: Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi. Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia (Maryam [19:49-50]).

Ia juga menjadi gantian atas HIJRAH dan kehilangan “KELUARGA BAGINDA YANG ROSAK DEK SYIRIK.” Sungguh Allah Maha Penyayang kepada hambaNya yang mengutamakan Hak-NYA:

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ (99) رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ (100)

Ertinya: Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar). "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (al-Saffat [37:99-100]).

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mungkin Allah menarik sesuatu dari kita kerana IMAN, INTEGRITI dan KESOLEHAN kita, namun yakinlah Allah pasti akan mengganjari kita dengan sesuatu yang lebih baik di dunia dan di akhirat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...