Friday, December 19, 2014

HIJRAHLAH DEMI IMANMU DAN YAKINLAH REZEKIMU PASTI TERJAMIN

HIJRAHLAH DEMI IMANMU DAN YAKINLAH REZEKIMU PASTI TERJAMIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:56 dan 60]) pada 16 Disember 2014. Antara isunya adalah arahan hijrah kepada umat Islam Mekah yang tertindas dan jaminan rezeki mereka.

Apa salah mereka sehingga melayakkan mereka disiksa dan ditindas? Tidak lain ia berlaku hanya kerana keputusan mereka mahu beriman kepada Allah satu-satuNya dan keluar dari kepompong taklid buta amalan datuk nenek penduduk Mekah yang sesat. Penderitaan para sahabatnya meruntun jiwa Rasulullah SAW, sehingga baginda mencadangkan mereka berhijrah ke Habsyah dan kemudiannya ke Madinah. Langkah hijrah memang dituntut agama:

يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ أَرْضِي وَاسِعَةٌ فَإِيَّايَ فَاعْبُدُونِ

Ertinya: Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu (al-‘Ankabut[29:56]).

Cabaran hijrah sangat besar. Apa tidaknya segala hak milik perlu ditinggalkan. Setelah ditinggal tiada pula jaminan harta mereka dijaga. Lihat sahaja rumah kesayangan keluarga Abdullah bin Jahsy yang dirampas Muysrikin Quraysh. Perkara ini dilaporkan oleh Abdullah bin Jahsy kepada Rasulullah SAW, lalu baginda menenangkannya dengan janji sebuah rumah yang lebih baik dalam syurga kelak. Kisah sedih penuh pancaroba keluarga ini yang kehilangan rumah kerana hijrah kemudiannya diabadikan oleh Abu Ahmad ‘Abd bin Jahsy dalam qasidahnya (Sirah Ibn Hisyam).

Sebut saja hijrah, hati pasti tertanya, apakah nasib rezekiku di tempat baru yang asing? Adakah tempat baru menjanjikan sinar bahagia atau derita? Itulah antara persoalan yang muncul berkecamuk dalam minda. Gelojak itu kemudiannya dipujuk Allah dengan menyatakan hakikat sebenar rezeki:

وَكَأَيِّنْ مِنْ دَابَّةٍ لَا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Ertinya: Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-‘Ankabut[29:60]).

Nah! Kamu sebagai manusia semestinya jauh lebih mulia dan baik berbanding haiwan. Jika haiwan yang naif sekalipun sudah terjamin rezekinya, apatah lagi rezeki kamu wahai manusia. Otak, kudrat tulang empat kerat kurniaan Allah padamu sudah semestinya menjadi beliung yang bakal memecahkan timbunan rezekimu di tempat baru. Berusaha dan yakinlah pada Allah:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Ertinya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’[4:100]).

Benar sekali janji Allah, para sahabat yang berkorban meninggalkan Mekah tidak pula jatuh miskin papa kedana, sebaliknya Allah membuka ruang rezeki penuh keberkatan yang sangat luas untuk mereka. Hijrahlah kerana Allah, yang lain pasti diuruskanNya dengan jaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...