Friday, December 19, 2014

BENAR! AL QURAN ITU KITAB YANG PENUH BERKAT

[18/12 7:18 AM] Uia ustz abdullah bukhairi: BENAR! AL-QURAN ITU KITAB YANG PENUH BERKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:60]) pada 5 Disember 2014. Antara isunya adalah penurunan al-Quran yang menjadi sebab kemuliaan umat Islam.

Sungguh Allah adalah Tuhan yang sangat Pemurah dan Penyayang. Dia tidak melepaskan manusia terbiar di dunia selepas penciptaannya sebagaimana terlepasnya haiwan ternak tanpa tuan. Bangunnya haiwan di pagi hari, fikirnya hanya untuk mengisi tembolok perut, tapi bangun dan tidur manusia pula dengan matlamat yang satu iaitu menjadi hamba dan Khalifah Allah yang berguna. Ini yang membezakan manusia dengan haiwan. Jika manusia hanya fikirnya pada perut dan poket, apalah bezanya mereka dengan haiwan?

Allah tahu manusia jauh lebih mulia dari haiwan, lalu dikirim kepada manusia “BUKU PANDUAN” yang memandu mereka ke jalan lurus. Buku itu tidak lain adalah al-Quran yang DILIMPAHI KEBERKATAN BERGANDA. Berkat membawa maksud kebaikan banyak yang berganda:

وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ مُصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآَخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَهُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Ertinya: Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, YANG MENGANDUNGI BERKAT (BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya (al-An’am [6:92]).

Keberkatan al-Quran tidak mampu disangkal. Lihat sahaja bangsa Arab, sebelum datangnya al-Quran, mereka adalah bangsa bangsat tak laku jika digadai. Mati mereka tidak ditangisi, wujud pula hina dalam gelar jahiliah. Jahil yang meletakkan mereka jauh ke dasar padang pasir kontang. Tiada apa yang dapat dibanggakan.

Setelah Rasulullah SAW dimuliakan dengan al-Quran, nasib bangsa Arab terus berubah dalam putaran 360 darjah. Mereka mengatur langkah bangga menuju mercu tamadun dunia. Pastinya langkah maju mereka bukan disebabkan air jampi yang sudah ditenagakan 30 juzuk al-Quran seperti promosi sesetengah kapitalis agama moden, tetapi maju mereka kerana penghayatan dan tadabbur mereka terhadap buku panduan kiriman Allah ini.

Datangnya al-Quran juga terus mengalahkan Ahli Kitab yang jauh lebih awal menerima kitab langit. Setelah tangan jahat sesetengah Ahli Kitab mencemar kitab langit, Allah lantas merampas kemuliaan itu dan dianugerahkan kepada umat Islam.

Pun begitu, jangan salah faham bahawa keberkatan al-Quran hanya untuk “JAMPIAN” atau untuk dijulang junjung atas kepala sebagai tanda penghormatan sahaja. Sebaliknya, keberkatannya yang banyak berganda HANYA DIRASA DENGAN LAZAT jika ia dibaca, dihayati dan diamalkan:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Ertinya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -KITAB YANG BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA, UNTUK MEREKA MEMAHAMI DENGAN TELITI KANDUNGAN AYAT-AYATNYA, DAN UNTUK ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA BERINGAT MENGAMBIL IKTIBAR (Sad [38:29]).

Alhamdulillah, saya sudah mengecap lazatnya Tajwid al-Quran. Saya juga sudah mengecap manisnya menghafaz dan memelihara al-Quran sejak tahun 1993. Semenjak tahun 2005, saya juga mula mengecap lazatnya Tafsir al-Quran. Setelah lama bergelumang dengan al-Quran, barulah saya faham bahawa inilah antara maksud BERKATNYA AL-QURAN DENGAN KEBAIKAN BERGANDA. Oleh itu, demi al-Quran ini, saya sama sekali tidak akan melepaskannya kerana ia bukan sekadar memberi berkat tetapi turut memberi NYAWA YANG MENGHIDUPKAN ROH:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
.
Ertinya: Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (al-Syura[42:52]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...