ALLAH MAMPU GANTI KAMU BILA-BILA MASA SAHAJA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:89]) pada 6 Disember 2014. Antara isunya Allah mampu menggantikan generasi yang degil dengan generasi yang lebih baik dan mengenang budi.
Jauh bezanya seumpama langit dan bumi. Yang satunya mengusir keluar dengan penuh kebencian, manakala yang satu lagi tidak sabar tertunggu-tunggu dan menerima dengan penuh gembira. Itulah hakikat 2 negara yang pernah didiami Rasulullah SAW. 13 tahun pertama dalam fasa dakwahnya, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak putus merana dikeronyok penduduk Mekah dari segenap penjuru.
Bukannya mereka tidak mengenal Rasulullah. Kenal sungguh sehingga tiada siapa boleh menyangkal integrity dan amanah baginda. Namun apakan daya, taqlid buta pada legasi sesat datuk nenek dan kepentingan peribadi sudah meracun minda sesetengah penduduk Mekah sehingga intan permata di depan mata dianggap kaca yang cuba menggores melukakan mereka. Penolakan, kedegilan dan kesombongan mereka lantas ditempelak Allah:
أُولَئِكَ الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ فَإِنْ يَكْفُرْ بِهَا هَؤُلاءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ
Ertinya: Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, JIKA ORANG-ORANG (MEKAH YANG KAFIR) ITU MENGINGKARINYA, MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENYERAHKANNYA KEPADA KAUM (LAIN IAITU PENDUDUK MADINAH) YANG TIDAK AKAN MENGINGKARINYA (al-An’am [6.89]).
Juga firman lain:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
Ertinya: Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) DIA AKAN MENGGANTIKAN KAMU DENGAN KAUM YANG LAIN; SETELAH ITU MEREKA TIDAK AKAN BERKEADAAN SEPERTI KAMU (Muhammad[47.38]).
Juga firmanNya:
وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ إِنْ يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنْ بَعْدِكُمْ مَا يَشَاءُ كَمَا أَنْشَأَكُمْ مِنْ ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ آَخَرِينَ
Ertinya: Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. JIKA IA KEHENDAKI, NESCAYA IA BINASAKAN KAMU DAN MENGGANTIKAN SESUDAH (BINASANYA) KAMU DENGAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, SEBAGAIMANA IA TELAH MENJADIKAN KAMU DARI KETURUNAN KAUM YANG LAIN (al-An’am [6:.133]).
Pada kemudian hari, walau sudah menerima Islam, sesetengah penduduk Mekah pasti berasa rugi kerana lewat dan pernah menolak ni’mat terbesar kurniaan Allah ini. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah sebahagian mereka masih sempat beriman kepada baginda SAW setelah Mekah disucikan kembali oleh Rasulullah SAW pada tahun ke 8 Hijri.
Ayat di atas memang menyorot sejarah lampau, namun ia seakan sindirian sinis kepada kita yang sudah lama selesa dengan tiket Islam warisan. Pewarisan Islam belum cukup untuk dibanggakan jika orang bukan Islam di Malaysia semakin jahil tentang Islam. Tampak secara beransur-ansur generasi Islam warisan semakin diganti Allah dengan generasi saudara baru (mualaf) yang berjaya menunjukkan warna indah sebenar Islam.
Saya memang malu dengan generasi pilihan di kalangan saudara baru kerana setakat hidup saya yang sudah mencecah 40 tahun ini, masih belum ada orang bukan Islam memeluk Islam di tangan saya. Nampaknya saudara baru yang baru menemui Islam jauh lebih baik dari saya kerana sudah berjaya meramaikan ahli syurga berbanding saya. Ayuh, marilah kita sama-sama muhasabahlah diri sendiri.
No comments:
Post a Comment