Sunday, November 27, 2016

MUHASABAH DAN NASIHAT SUCI UNTUK ORANG BELAJAR AGAMA

MUHASABAH DAN NASIHAT SUCI UNTUK ORANG BELAJAR AGAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ustaz! Keliru sungguh saya dengan tingkah laku orang belajar agama. Semakin lama mengaji agama nampak akhlak mereka semakin buruk. Susah berlapang dada, banyak buruk sangka, suka melabel, mudah menunggang agama untuk kepentingan diri dan gilakan dunia.”

Kenyataan di atas sebenarnya bersifat borong dan tidak adil untuk orang belajar agama, namun apakan daya itulah sikap orang awam yang lebih mudah melihat “SATU TITIK HITAM PADA SEBUAH PAPAN PUTIH.” Walaupun warna putih mendominasi keseluruhan papan putih, titik hitam itu jugalah yang menjadi fokusnya.

Agak sukar menangkis pandangan buruk orang awam terhadap sikap negatif “SESETENGAH” orang agama. Usahkan kita, Rasulullah SAW sendiri pun masih dicari cacat celanya oleh musuh Islam. Pun begitu, orang agama tetap perlu meletakkan sasaran tertinggi pada akhlak mereka dan bukannya memberikan penafian. Budaya  penafian sebenarnya tidak bagus untuk kredibiliti orang agama.

Menyalahkan mata orang awam yang mudah melihat SATU TITIK HITAM sebenarnya tidak bagus. Oleh itu, nota Tafsir kali ini akan mengajukan beberapa muhasabah untuk orang agama agar mereka benar-benar mewakili WARNA PUTIH pada keseluruhan papan putih. Semoga muhasabah ini akan menjadi pemadam yang akan memadam terus titik hitam tersebut dari mata orang awam. Biar mereka melihat yang putih semata.

Pada asasnya orang yang dimuliakan Allah dengan ilmu agama perlu menjadi contoh kepada yang lain. Hayatilah hujung firman Allah ini:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ

Ertinya: Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya dia berkata): "HENDAKLAH KAMU MENJADI ORANG RABBANIYIN (YANG HANYA MENYEMBAH ALLAH TAALA - DENGAN ILMU DAN AMAL YANG SEMPURNA), KERANA KAMU SENTIASA MENGAJARKAN ISI KITAB ALLAH ITU, DAN KERANA KAMU SELALU MEMPELAJARINYA (Ali ‘Imran [3:79]).

Dalam dunia serba mencabar hari ini, saya cadangkan orang agama agar melakukan muhasabah dalam TIGA perkara:

1)  Meletakkan niat yang ikhlas dalam mendalami agama iaitu mencapai keredhaan Allah dan bukannya mengaut habuan dunia atau menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ilmu agama adalah amanah Allah yang sangat berat. Sepatutnya semakin dalam ilmu agama seseorang, maka semakin dalam gerunnya pada Allah (Fatir[35:28]). Semakin tinggi ilmu agamanya, semakin tinggi akhlak lidah dan jari jemarinya (dalam konteks hubungan sesama manusia dalam media sosial). Jauhilah ancaman Allah pada hadith ini:

مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ لِيُبَاهِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيَصْرِفَ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ فَهُوَ فِي النَّارِ

Ertinya: Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan untuk berdebat dengan manusia bodoh yang jahil, atau berbangga dengan ulama atau menarik perhatian manusia kepadanya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka (Sunan Ibn Majah).

3)  Belajar berbaik sangka dan berkasih sayang sesama muslim. Semakin tinggi ilmu agama yang didalami, sepatutnya akhlak baik sangka semakin tinggi dan sifat buruk sangka semakin nipis atau hilang. Kepentingan akhlak ini diulang sebut oleh al-Quran (al-Nur [24:12] dan al-Hujurat[49:12]). Banyak krisis aliran pemikiran dalam pengajian agama berpunca dari buruk sangka. Setiap pihak cenderung melihat pandangan pihak lain dalam kaca mata mereka dan tidak dalam kaca mata sebenar pihak lawan. Umpamanya pihak lawan menyebut “itik” tapi kita berkata mereka memaksudkan “ayam.” Lalu bagaimana kedua aliran ini boleh bertemu jika tiada keadilan dalam menilai atau memahami pihak lawan? Allah menganjurkan kita agar teliti dan bersikap adil walaupun kepada pihak yang tidak sealiran dengan kita:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (al-Ma’idah [5:8]).

Adil kepada pihak lawan adalah tanda IMAN kerana pangkal ayat di atas Allah mulai dengan panggilan “WAHAI ORANG BERIMAN.”

Tambahan pula pihak yang tidak sealiran dengan kita masih lagi berkongsi Tuhan dan nabi yang satu. Sikap orang beriman sesama mereka adalah SALING BERKASIH SAYANG dan bukan bermusuhan. Jangan sampai membidik peluru kepada saudara seagama. Inilah sikap kaum yang bersama Rasulullah SAW:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

Ertinya: Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya BERSIKAP KASIH SAYANG SERTA BELAS KASIHAN KASIHAN SESAMA SENDIRI (UMAT ISLAM) (al-Fath [48:29]).

Cara terbaik yang perlu diguna untuk menjaga tautan kasih sayang antara sesama Muslim adalah dengan PENGGUNAAN BAHASA YANG SOPAN DAN BERAKHLAK. Perhatikan ayat ini:

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا

Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); kerana sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (al-Isra’ [17:53]).

Janganlah menyelar atau mengelar-luka jiwa teman seagama kita dengan ayat pedas melalui lidah atau jari jemari dalam media sosial. Allah sangat kasihkan orang beriman kerana menamakan mereka sebagai – عبادي – PARA HAMBAKU dalam ayat di atas. Sungguh! Ini bukan panggilan biasa. Ini adalah panggilan manja penuh kasih sayang. Oleh itu, balaslah kasih sayang Allah dalam ayat itu dengan mempraktikkan akhlak mulia pada bahasa kita.

3) Menasihati pemerintah dan bukannya mengampu. Jika berdamping tanpa sebab adalah sesuatu  yang baik, pastinya Rasulullah SAW tidak mengingatkan kita dengan sabdanya ini:

مَنْ سَكَنَ الْبَادِيَةَ جَفَا وَمَنْ اتَّبَعَ الصَّيْدَ غَفَلَ وَمَنْ أَتَى أَبْوَابَ السُّلْطَانِ افْتَتَنَ

Ertinya: Sesiapa yang tinggal di pedalaman akan keras jiwanya (kerana jauhnya mereka dari majlis ilmu), sesiapa yang mengikut haiwan buruan (bukan untuk keperluan makanan) akan lalai (kerana asyiknya dengan aktiviti tersebut), sesiapa yang mendatangi pintu sultan atau pemerintah (tanpa keperluan seperti kerana ingin mendidik atau menegur) akan terfitnah (tercemar agamanya) (Sunan al-Tirmidhi).

Jika perlu berdamping untuk menasihati para pemerintah, tegurlah dengan ikhlas dan hikmah dan bukannya diam menikus apatah lagi mengampu. Tindakan mengampu kerana mahu menjamin sesuap nasi atau secubit jawatan dari pemerintah adalah akhlak buruk yang wajib dijauhi orang agama. Ketahuilah bahawa pemerintah ada kitaran naik turunnya sedangkan Allah adalah Raja dan Pemerintah sebenarnya alam ini. Jangan sampai tersilap memilih Tuhan yang memberi rezeki.

Menyentuh perihal menasihati pemerintah, saya suka membawa kisah Imam Abu Zur’ah yang sangat tegas menyatakan kebenaran. Kisahnya, pada suatu hari Khalifah al-Walid bin Abdul Malik bertanya adakah khalifah akan dihisab oleh Allah? Setelah mendapat izin beliau menegur khalifah dengan kata-katanya:

يا أمير المؤمنين أنت أكرم على الله أو داود؟ إن الله -عز وجل-جمع له النبوة والخلافة ثم توعده في كتابه:

يَادَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Ertinya: Wahai Amir al-Mu’minin, Kamu lebih muliakah atau nabi Dawud? (Pastinya nabi Dawud lebih mulia kerana) Allah telah mengumpulkan padanya pangkat kenabian dan pemerintahan, pun begitu Allah tetap memberinya amaran yang keras tentang amanah kepimpinan dalam firmannya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (Sad [38:26]) (Tafsir Ibn Kathir).

Semoga 3 nasihat ini menjadi “jentik manja” kepada diri saya yang serba kekurangan dan kepada semua penuntut agama di luar sana. Allah sayangkan kita semua dengan pengutusan agama ini. Agama adalah “UBAT” yang berguna untuk merawat dan membimbing manusia. Janganlah disalah gunakan ubat ini dengan akhlak buruk kita. Bimbang nanti orang jahil akan melihat agama dari kaca mata yang salah, lalu mereka semakin menjauhi agama kerana melihat ia adalah punca perpecahan atau pemutus kasih sayang manusiawi. Atau lebih parah lagi, orang awam akan melihat agama adalah sejenis tunggangan untuk mencapai kehendak nafsu atau sejenis produk yang mampu menjana kekayaan. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...