Tuesday, September 13, 2016

"ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS" VERSI NABI YUSUF

“ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS” VERSI NABI YUSUF

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Eleh! Cakap tak serupa bikin! Baiki dahulu diri sendiri sebelum nak nasihatkan orang lain.”

Itu ayat pedas lagi sentap yang biasa digunakan orang apabila si pemberi nasihat hanya pandai menasihat tapi isi nasihat tidak dijiwainya sendiri. Umpama si penjual ubat jerawat yang mukanya penuh jerawat. Mana mungkin pelanggan membeli jika diri sendiri pun belum terubat jerawatnya.

Kita akui manusia tidak sempurna, namun begitu ketidaksempurnaan seseorang tidak sepatutnya menjadi penghalang dari menyampaikan nasihat. Jika si pemberi nasihat mesti sempurna terlebih dahulu baru boleh menegur atau menasihati, maka sukarlah proses penyampaian dakwah mahu dilaksanakan. Pun begitu, akhlak mulia tetap paling utama. Ia adalah “DAKWAH SENYAP YANG SUNGGUH KUAT SUARANYA. SUARANYA MAMPU MENEROBOS MASUK KE DALAM HATI RAMAI ORANG.”

Rupanya nabi Yusuf AS antara manusia pilihan Allah yang berjaya menggunakan AKHLAK MULIA sebagai kenderaan memacu dakwah. Setelah dianiaya dan disumbat masuk ke dalam penjara Mesir, nabi Yusuf AS bertemu 2 kawannya yang bermimpi ajaib. Ia dijelaskan Allah:

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانِ قَالَ أَحَدُهُمَا إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا وَقَالَ الْآخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Dan masuklah bersamanya ke penjara 2 orang khadam raja. Seorang dari mereka (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. SESUNGGUHNYA KAMI MEMANDANGMU: DARI ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN (UNTUK UMUM)" (Yusuf [12.36]).

Pengajaran penting dari ayat ini adalah frasa hujung ayat yang menyerlahkan akhlak Yusuf yang mengundang kepercayaan 2 teman sepenjaranya “SESUNGGUHNYA KAMI MEMANDANGMU: DARI ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN (UNTUK UMUM)."

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menjelaskan nabi Yusuf AS dikenali ramai oleh semua banduan dalam penjara sebagai seorang yang sangat pemurah, amanah, bercakap benar, berakhlak mulia, banyak beribadat, pandai mentafsir mimpi, selalu berbuat baik kepada banduan lain, selalu menziarahi banduan yang sakit dan sebagainya (Tafsir Ibn Kathir). Karakter ini menjadikan ramai banduan suka berdamping dengan baginda bagi mendapat haruman akhlak mulia. Inilah sebabnya teman sepenjara baginda memuji baginda dengan frasa yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Apa faedah terbesar dari akhlak baginda? Jika kita perhatikan ayat berikutnya (ayat 39 dan 40), baginda berjaya membuka lorong dakwah kepada 2 teman sepenjaranya itu. Memang itulah fitrah manusia, mereka lebih mudah mendengar nasihat dari orang yang mereka percaya. Samalah juga dengan penjual ubat jerawat, jika wajahnya licin mulus tanpa walau setitik pun lubang parut jerawat, pastinya para pelanggan berebut membelinya. Subhnallah! Inilah kebenaran kata-kata “ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS” dalam versi kisah nabi Yusuf AS yang wajib kita contohi. Ayuh sama-sama kita panjangkan dakwah Islam dengan  kenderaan “AKHLAK MULIA.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...