Friday, September 30, 2016

HAIWAN TERNAK TURUN DARI LANGIT?

HAIWAN TERNAK TURUN DARI LANGIT?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Zumar [39:6]) pada 20 September 2016. Antara isunya adalah perbincangan mengenai makna HAIWAN TERNAK TURUN DARI LANGIT.

Memang pelik jika dikatakan bintang ternak yang 4 pasang iaitu kambing, biri-biri, lembu dan unta asalnya turun dari langit. Semua sedia maklum semua binatang ini sudah sedia ada di bumi ketika kita melihat bumi. Bagaimana persoalan ini boleh timbul? Apa faedahnya berbincang perihal turun atau tidaknya haiwan ini? Sesiapa yang menelaah al-Quran pasti akan menemui perbincangan tentang ini. Firman Allah:

خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ الْأَنْعَامِ ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ خَلْقًا مِنْ بَعْدِ خَلْقٍ فِي ظُلُمَاتٍ ثَلَاثٍ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ

Ertinya: Dia mencipta kamu dari diri (spesis) yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); “DAN DIA MENURUNKAN UNTUK KAMU BINATANG TERNAK 8 EKOR: (EMPAT) PASANGAN (JANTAN DAN BETINA).” Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)? (al-Zumar [39:6]).

Perkataan - وَأَنْزَلَ لَكُمْ - DAN DIA MENURUNKAN UNTUK KAMU – dalam ayat di atas memang menimbulkan perbincangan dalam kalangan ulama Tafsir. Mudahnya ada 2 pandangan mengenai maksud ayat di atas:

- Turunnya haiwan ternak dalam ayat ini adalah suatu “kiasan dan bukannya hakiki.” Ini kerana kewujudan haiwan ternak di dunia ini berdasarkan kehendak dan takdir Allah yang ditetapkan di Luh Mahfuz atau kitab induk alam semesta. Urusan kewujudan haiwan ternak ini kemudiannya direalisasikan Allah di bumi. Oleh kerana itu, kewujudan haiwan tersebut diibaratkan seperti turun. Selain itu, ada juga pendapat mengatakan ia adalah suatu kiasan kepada makanan mereka yang berasal dari tumbuhan bumi. Tumbuhan bumi seperti rumput pula berasal dari hujan yang turunnya dari langit. Oleh kerana itu, mereka disifatkan sebagai turun dari langit kerana tanpa tumbuhan dan air hujan, mereka tidak akan hidup atau wujud (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi). Pandangan berkaitan makanan mereka sangat logik kerana apabila kemarau panjang berlaku, haiwan ternak ini antara makhluk yang sukar meneruskan hidup kerana tiada makanan.

Jika diperhatikan, Allah juga menggunakan perkataan “TURUN” untuk pakaian manusia sebagaimana firmanNya:

يَابَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Ertinya: Wahai anak Adam! Sesungguhnya “KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU” (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur) (al-A’raf  [7:26]).

Ayat ini juga “suatu kiasan” kerana pakaian manusia berasal dari pokok atau bulu binatang. Kedua bahan itu pula tumbuh dan hidup kerana adunan “ADUNAN AIR HUJAN YANG TURUN DARI LANGIT” dan tumbuhan yang menjadi makanan haiwan ternak (Tafsir al-Razi).

Bukan hanya haiwan ternak dan pakaian, Allah turut menggunakan TURUN pada besi:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Ertinya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan “KAMI MENURUNKAN BERSAMA MEREKA KITAB SUCI DAN KETERANGAN” yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan “KAMI MENURUNKAN BESI” dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka seharian) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong para rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hadid [57:25]).

Ayat ini menjelaskan Islam ditegakkan dengan hujah dari kitab dan dengan jihad yang digerakkan oleh besi. Setelah hujah kitab ditolak, besi memainkan peranan bagi menyekat manusia yang kufur. Ayat ini menyifatkan besi DITURUNKAN kerana arahan jihad juga diturunkan Allah dari langit. Walaupun begitu perbincangan mengenai TURUNNYA besi dalam ayat ini ada perbincangan khusus yang panjang lebar. Ia tidak akan disentuh di sini.

- Haiwan ternak tersebut memang secara hakiki berasal dari langit atau syurga. Selepas dicipta di langit, mereka diturunkan ke bumi untuk mendiami bumi secara kekal. Ada juga para ulama berpandangan dengan pendapat ini. Ia dikiaskan kepada nabi Adam yang asalnya di langit kemudian diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah. Ia turut berlaku kepada kambing, biri-biri, lembu dan unta pertama yang dicipta Allah (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Razi dan Tafsir al-Qurtubi).  Walaupun begitu, Imam al-Alusi mengatakan pandangan ini tidak disandarkan pada nass yang sahih (Tafsir al-Alusi).

Apa yang penting bagi kita ketika meneliti ayat ini adalah bukannya sibuk mencari asal usul haiwan ternak tersebut tetapi mensyukuri segala ni’mat kurniaan Allah untuk kita di bumi. Bayangkan apa akan terjadi jika semua haiwan ternak ini tidak wujud. Manusia pasti sukar menjalani hidup dengan tenang kerana tidak memiliki protein yang cukup untuk meneruskan hidup. Dengan kewujudan mereka, tamadun manusia berkembang pesat. Kewujudan mereka juga memudahkan kita beribadat kepada Allah dengan ibadat korban, akikah dan sebagainya. Subhanallah dan Alhamdulillah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...