Friday, June 12, 2015

AQIDAH JABARIYYAH AUTA MUSYRIKIN QURAYSH

AKIDAH JABARIYYAH AUTA MUSYRIKIN QURAYSH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:47]) pada 5 Jun 2015. Antara isunya adalah alasan bodoh Musyrikin Qurasyh menolak saranan bersedekah.

“PANG!” Tamparan ke muka. Itulah jawapan terbaik kepada si bodoh yang cuba menyandarkan segalanya kepada Takdir. Jika dia bertanya mengapa awak menampar muka saya? Jawabnya:
“SUDAH TAKDIR ALLAH SAYA AKAN MENAMPAR AWAK TANPA SEBAB HARI INI!”

Itulah jawapan terbaik kepada penganut akidah Jabariyyah yang memperbodohkan manusia pada takdir semata. Mereka berkata manusia seumpama bulu yang hanyut berterbangan di udara tanpa pilihan, segalanya ditentukan Allah secara mutlak. Akidah ini nyata bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyebut bahawa manusia mempunyai pilihan terhadap apa yang mereka lakukan. Pun begitu keputusan akhir tetap pada kuasa dan izin Allah.

Dalam bicara Yasin, Allah mencela Musyrikin Quraysh yang mempersendakan isu takdir dengan menyandarkan segalanya atas kehendak Allah:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آَمَنُوا أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللَّهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dan apabila dikatakan kepada mereka:" Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): " PATUTKAH KAMI MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG JIKA ALLAH KEHENDAKI TENTULAH IA AKAN MEMBERINYA MAKAN?” Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata" (Yasin [36:47]).

Patah perkataan - مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ -   sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu sudah menjadi bukti harta mereka bukan mutlak milik mereka sebaliknya ia adalah pinjaman Allah. Bila sampai masa, Allah memintanya kembali dalam bentuk derma, sedekah atau zakat, si peminjam tak boleh menghalang:

آَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ فَالَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Ertinya: Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, “DAN BELANJAKANLAH (PADA JALAN KEBAJIKAN) SEBAHAGIAN DARI HARTA BENDA (PEMBERIAN ALLAH) YANG DIJADIKANNYA KAMU MENGUASAINYA SEBAGAI WAKIL.” Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar (al-Hadid [57:7]).

Rupanya bukan sekali mereka menggunakan alasan ketentuan atau takdir Allah bagi terus berada dalam kejahilan serta _kebodohan penyembahan berhala:

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آَبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِنْ شَيْءٍ كَذَلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ حَتَّى ذَاقُوا بَأْسَنَا قُلْ هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ عِلْمٍ فَتُخْرِجُوهُ لَنَا إِنْ تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ أَنْتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

Ertinya: Orang-orang musyrik akan mengatakan: "KALAU ALLAH MENGHENDAKI TENTULAH KAMI DAN DATUK NENEK KAMI TIDAK MEMPERSEKUTUKANNYA (DENGAN SESUATU YANG LAIN), DAN TIDAK PULA KAMI HARAMKAN SESUATU APA PUN". Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta" (al-An’am [6:148]).

Juga firman Allah:

وَقَالَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا عَبَدْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ نَحْنُ وَلَا آَبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِنْ دُونِهِ مِنْ شَيْءٍ كَذَلِكَ فَعَلَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَهَلْ عَلَى الرُّسُلِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Ertinya: Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: "KALAULAH ALLAH MENGHENDAKI, TENTULAH KAMI TIDAK MENYEMBAH SELAIN DARIPADANYA SESUATUPUN, - (TIDAK) KAMI DAN TIDAK JUGA DATUK NENEK KAMI; - DAN TENTULAH KAMI TIDAK MENGHARAMKAN SESUATU PUN DENGAN KETIADAAN PERINTAHNYA". Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata? (al-Nahl[16:35]).

Mereka ini perlu  diajar hakikat kehidupan dan ujian. Yang miskin diuji dengan kesusahan agar terus bersabar. Yang kaya diuji agar membantu yang miskin. Bantuan kepada si miskin sebenarnya baik untuk si kaya kerana hasad dengki pada hati si miskin akan hilang dengan pemurahnya si kaya. Memang hidup di dunia adalah ujian berterusan. Inilah yang ditegaskan Allah dalam firmanNya:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آَتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi “DAN MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA IA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU.” Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An’am[6:165]).

Selepas ini jika anda mengalami musibah atau kegagalan elakkan lafaz “SUDAH TAKDIR!” kerana ia menggambarkan tempias sakit Jabariyyah. Sebaliknya jawablah: “Ini ujian Allah untuk saya. Saya sudah berusaha dan berdoa sedaya mampu, namun Allah mahukan keputusan yang lain terhadap saya. Saya redha dan yakin sepenuh hati keputusan ini terbaik untuk saya. Pasti ada hikmah yang belum saya ketahui.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...