Sunday, April 26, 2020

TADABBUR JUZUK 3 – BERANI HANYUTKAN KAYU BERSAMA DUIT?

TADABBUR JUZUK 3 – BERANI HANYUTKAN KAYU BERSAMA DUIT?

Ramadhan tahun ini kita Qiyam sepenuhnya bersama keluarga kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Banyak hikmahnya dan carilah ia supaya kita tetap hidup dalam syukur dan sabar. Setiap malam kami solat dengan pilihan ayat mengikut malam dan juzuk. Malam tadi saya dan anak sulung bergilir baca juzuk 3. Usai solat saya berkongsi Tafsir ayat pilihan:

 وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُمْ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (75) بَلَى مَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ وَاتَّقَى فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ (76)

Ertinya: Dan antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan satu dinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang yang Ummi (orang Arab) dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaqwa (Ali ‘Imran 3:75-76).

Islam tidak rasis dan tidak pukul borong. Dalam ayat ini Allah puji dan cela sebahagian ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) berdasarkan sikap mereka dan bukannya kerana bangsa atau warna kulit. Islam tidak ajar kita benci bulat-bulat atau cinta terus tanpa fikir. Yang amanah kita suka walaupun dia bukan daripada golongan kita, manakala yang kedok menipu kita cela dan tegur walaupun dia daripada golongan kita. Inilah semangat didik al-Quran (al-Ma’idah 5:8).

Dalam tazkirah malam tadi saya bawa 2 kisah pengajaran untuk anak-anak dan isteri:

1) JANGAN TINDAS ORANG YANG LEMAH. Dalam ayat 75 menceritakan Ahli kitab berasa tak salah untuk mereka menipu serta menindas orang yang buta huruf (orang Arab) kerana mereka manusia yang bodoh tak bertamadun. Ini sikap yang wajib umat Islam elakkan. Seorang lelaki bertanya Abdullah ibn ‘Abbas tentang sikap sesetengah tentera Muslim yang merampas kambing dan ayam milik kafir Dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam). Mereka beranggapan tindakan itu tidak mendatangkan dosa kerana yang ditindas itu bukan Islam. Abdullah ibn ‘Abbas segera menegur secara tegas menggunakan ayat 75 di atas. Jika begitu sikap umat Islam, maka perangai mereka sama buruk dengan perangai Ahli Kitab yang pernah menindas orang Arab dahulu. Lihat! Islam agama yang sangat adil (Tafsir Ibn Kathir).

2) UMAT ISLAM MESTI AMANAH. Saya bawa kisah ajaib 2 lelaki Bani Isra’il yang sangat amanah:

Rasulullah SAW pernah menceritakan kisah seorang lelaki soleh Bani Isra’il yang meminjam 1000 dinar daripada temannya. Oleh kerana tiada saksi dan penjamin atas pinjaman itu, si peminjam menjadikan Allah sebagai saksi dan penjamin pada pinjamannya itu. Temannya yang soleh setuju menerima Allah menjadi saksi dan penjamin mereka. Si peminjam kemudiannya keluar negeri untuk urusannya dan berjanji akan pulang membayar duit tersebut pada waktu yang sudah mereka setujui bersama. Selesai urusannya, si peminjam mahu pulang tetapi tiada kapal yang boleh membawanya sampai pada waktu yang dijanjikannya. Dalam resah dan buntu itu dia mengambil sebatang kayu lalu ditebuknya. Kemudian dia masukkan duit 1000 dinar temannya bersama sepucuk surat ke dalam kayu itu, lalu dia berdoa:

“Ya Allah! Engkau memang tahu aku meminjam duit temanku. Ketika dia minta saksi dan penjamin, aku jadikan Engkau sebagai Saksi dan Penjamin. Dia pula redha menerima-Mu sebagai Saksi dan Penjamin. Sekarang aku tak mampu mencari kenderaan untuk memulangkan duitnya ini pada waktu yang kami tetapkan. Oleh itu, Aku serahkan segalanya pada-Mu.”

Si peminjam lalu mencampakkan kayu berisi duit dan surat itu ke laut. Pada hari yang dijanjikan, pemilik duit menunggu temannya pulang di pelabuhan. Ketika itu dia melihat ada sebatang kayu hanyut, lalu diambilnya untuk dijadikan kayu api di rumahnya. Setelah dibelah kayu itu dia menemui duit dan surat temannya (Musnad Ahmad, hadith no 8571).

Subhanallah! Allah memang benar-benar menjadi saksi dan penjamin untuk kedua lelaki soleh ini.

Anak-anak dan isteri saya melopong mendengar kisah ini, lalu saya panjangkan kisah ini kepada anda semua supaya kita menghargai sifat soleh, taqwa dan amanah. Semoga bantuan Allah mudah sampai kepada kita kerana kita menjaga sifat tersebut. Insya-Allah!

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
26 April 2020 (3 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...