Tuesday, June 18, 2019

DISIHIR' PETUA SI DOKTOR?

'DISIHIR' PETUA SI DOKTOR?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Sungguh! Ini topik yang sukar ditangani walaupun ia nampak mudah. Kali ini saya ingin kongsi beberapa garis panduan agar kita ADIL  atau WASATIY (JUSTLY BALANCED) dalam isu ini:

1) Sihir dan jin memang wujud kerana ia disebut al-Quran. Menolak keduanya “mentah-mentah” atas alasan tak nampak di mata atau tidak saintifik sangat bahaya kerana ia seperti menolak nass al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun begitu, terlalu obsess dengan keduanya juga jauh lebih bahaya kerana ia seumpama penjara minda kronik yang menjadikan Muslim bodoh dan mundur.

2) Merujuk kepada bomoh atau “Ustaz perawat jadian” ketika sakit juga sangat bahaya kerana mereka biasanya cenderung menuding jari kepada bangsa jin atau angkara sihir atas SEBARANG SAKIT yang dialami. Tuding jari tanpa bukti memang mudah kerana ia tidak memerlukan modal besar atau bukti forensic daripada makmal jenayah. Pun begitu impaknya sangat besar kerana ia bakal membuka pintu fitnah yang lebih besar seperti MENUDUH ORANG YANG TIDAK BERSALAH dan MENGHANGUSKAN PAHALA SOLAT. Sabda nabi SAW:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Ertinya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkara, tidak akan diterima (tiada pahala) solatnya selama 40 malam (Sahih Muslim).
 
Contoh MANGSA TUDUH akibat sabitan jenayah daripada cakap bomoh atau “Ustaz perawat” sangat banyak. Tertuduh yang tidak tahu menahu perihal tuduhan akan dipandang serong dan dilihat jelik oleh anggota masyarakat. Dalam Islam, sebarang tuduhan tanpa bukti boleh membawa petaka dosa yang sangat besar. Ini satu contoh yang pernah saya tulis:

https://www.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/posts/10202297779271261

3) Selain itu, terlalu berpegang dengan sesetengah petua tanpa pembuktian saintifik juga tidak sihat kerana ia akan membantut pemikiran progresif umat Islam. Sepatutnya sebarang petua perlu dibuktikan kebenarannya dengan kajian saintifik kerana orang dulu-dulu melihat berdasarkan pengalaman mereka yang panjang.

Mungkin ada kebenaran pada pemerhatian mereka atau sebaliknya. Contohnya, orang Arab Jahiliah melihat kemunculan bintang di langit sebagai tanda berubahnya musim. Itu contoh “astronomi” mengikut bahasa sains moden, namun begitu apabila mereka percaya bahawa sang bintang adalah dewa yang menurunkan hujan, kepercayaan itu bertukar menjadi “astrologi” yang haram Akidah inilah yang dibanteras keras oleh nabi Ibrahim AS dahulu (al-An’am 6:76-79). Perhatikan sabda nabi SAW ini:

هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ وَأَمَّا مَنْ قَالَ بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ

Ertinya: Adakah kamu tahu apa yang dikatakan oleh Tuhanmu? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda menyambung, Allah berfirman: Ada hamba-Ku berpagi-pagi dalam keadaan beriman kepada-Ku atau kufur kepada-Ku. Adapun sesiapa yang berkata kami mendapat hujan kerana kurniaan dan rahmat Allah, maka dia telah beriman kepada-Ku dan kufur kepada bintang-bintang. Manakala sesiapa yang berkata (kami mendapat hujan) kerana munculnya bintang sekian dan bintang sekian maka itulah yang kufur padaKu dan beriman kepada bintang-bintang (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Tambahan pula zaman ini adalah zaman ilmu. Banyak petua orang tua-tua boleh “DIBUKTIKAN” kebenarannya dengan kajian saintifik. Antara contoh yang patut dipuji adalah hasil kajian Pensyarah Kanan dan Pengarah Institut Infrastruktur Tenaga, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Madya Dr. Rohayu Che Omar. Ketika kecil beliau selalu melihat ibunya membuang sisa sayur di tepi Sungai Kelantan. Kesannya tanah tempat sayur dibuang menjadi kukuh. Bertitik tolak daripada petua itu, beliau membuat kajian berkenaannya. Utusan Malaysia pernah melaporkan hasil kajiannya. Baca di sini:

http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/sisa-sayur-elak-tanah-runtuh-1.705605

Lalu apa cara terbaik untuk tangani masalah pertembungan antara cakap bomoh, jenayah tanpa bukti para jin, buatan orang, petua orang tua dan diagnose para doktor? Berikut cadangan saya:

1) Sebarang sakit perlu terlebih dahulu dirujuk kepada para doctor. Mengapa? Pernah seorang sahabat mengalami sakit dada, lalu nabi SAW tidak terus menyalahkan buatan orang atau gangguan jin. Sebaliknya  menggunakan khidmat doktor terkenal Arab yang bernama al-Harith bin Kaladah:

عَنْ سَعْدٍ قَالَ مَرِضْتُ مَرَضًا أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ ثَدْيَيَّ حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَهَا عَلَى فُؤَادِي فَقَالَ إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْئُودٌ ائْتِ الْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أَخَا ثَقِيفٍ فَإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ فَلْيَأْخُذْ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةِ الْمَدِينَةِ فَلْيَجَأْهُنَّ بِنَوَاهُنَّ ثُمَّ لِيَلُدَّكَ بِهِنَّ

Ertinya: Dari Sa’ad: Aku sakit lalu Rasulullah SAW menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya di tengah dadaku sehingga terasa sejuk tangan baginda di dadaku. Baginda bersabda: Kamu sedang sakit dada, pergilah berjumpa al-Harith bin Kaladah dari kabilah Thaqif kerana dia tahu mengubat. (Nabi mencadangkan) Hendaklah Al-Harith mengambil 7 biji kurma Ajwah Madinah, kisar dengan bijinya kemudian menyuapnya (Sa'ad)” (Sunan Abu Dawud).

2) Sebarang petua perlu dinilai dengan ilmu moden. Kajian saintifik dengan melihat kesan akibat sangat seiring dengan roh Islam. Bahkan saintis Islam silam menerajui tamadun dunia kerana kajian saintifik yang diambil semangatnya daripada al-Quran (al-Baqarah 2:260).

3) Orang awam yang sakit perlu bijak ketika berubat. Jangan menempah dosa murahan kerana merujuk bomoh atau “ustaz perawat jadian.” Siapa sahaja mendakwa tahu yang ghaib, maka dia adalah bomoh yang wajib dihindari walaupun janggutnya panjang ke lutut dan jubahnya meleret ke lantai. Ini kerana hanya Allah Tahu yang ghaib (al-Naml 27:65). Usahkan bomoh atau ustaz, para nabi pun tidak tahu yang ghaib melainkan setelah diwahyukan Allah (al-An’am 6:50, 59, al-A’raf 7:188, al-Jinn 76:26-27). Pastinya bomoh atau pak ustaz tidak mungkin menerima wahyu sebaliknya mereka mendengar bisikan palsu syaitan yang mahu mencetus api kebencian sesama manusia (al-Syu’ara’ 26:221-223).

Timbang sebarang langkah dengan dosa pahala serta halal haram kerana Abdullah Ibn Mas’ud menegaskan:

وَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ فِي السَّكَرِ إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Ertinya: Ketika Abdullah bin Mas’ud RA ditanya tentang hukum berubat dengan benda yang memabukkan, beliau berkata: “Sesungguhnya Allah tidak seali-kali menjadikan penyembuhan kepada sakitmu pada perkara yang diharamkannya ke atas kamu (Sahih al-Bukhari).

Jangan “mudah” percaya sebarang dakwaan ubat ajaib kerana di luar sana ramai sekali syaitan bertubuh manusia yang sentiasa mencari peluang mengaut untung di atas ujian sakit yang anda alami. Rujuklah para doctor terlebih dahulu kerana ia seiring dengan roh agama yang mahu kita merujuk pakar bidang (al-Nahl 16:43 & al-Anbiya’ 21:7). Pastinya para doctor yang menghabiskan masa bertahun meneliti tubuh manusia lebih arif tentangnya berbanding penjual ubat yang dilatih menyihir auta menjadi fakta.

4) Para doktor Muslim perlu sedar mereka hanya berikhtiar berdasarkan usaha dan ilmu mereka. Ilmu mereka adalah amanah Allah. Bukan semua orang bernasib baik dikurnia ilmu perubatan. Jangan sesekali lupa kuasa Allah yang memberi kesembuhan. Sains tanpa Tuhan akan cacat kerana PEMILIK SEGALA SAINS adalah Allah. Oleh itu, KUASA ALLAH perlu diketengahkan dalam setiap rawatan dalam erti kata galakan berdoa. Antara bentuk doa adalah menyarankan pesakit yang “disangsikan” sakit fizikalnya agar berubat dengan perubatan alternative seperti “rawatan rohani yang patuh syariah!” Rawatan rohani patuh syariah mesti lengkap 3 komponennya iaitu “akidah, syariat dan akhlak.” Pincang satu daripadanya akan melucutkan status patuh syariahnya walaupun si perawat dilihat turun bersama iringan cahaya dari langit sekalipun.

Kesimpulannya, rujuklah Islam secara menyeluruh kerana di dalamnya sudah ada panduan dan jawapan kita cari. Orang Islam sangat beruntung kerana segala ruang hidupnya dibimbing agama termasuklah cara menghadapi ujian sakit dan cara berubat. Semoga panduan dalam rencana ini mampu memberi peluang setiap orang Islam mendapat bahagia bersulam pahala walaupun ketika menghadapi sakit. Maka ni’mat agama mana lagikah yang kita cari?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...